12 Mac 2021, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepanjang dua dasawarsa ini, minat masyarakat terhadap seni lukis semakin bertambah dari tahun ke tahun. Hal ini dapat dilihat dengan kewujudan para pelukis yang hebat di negara ini dalam pelbagai jenis dan aliran lukisan, seperti surealisme, impresionisme dan kubisme, yang setanding dengan pelukis antarabangsa. Pelbagai pengiktirafan telah diberikan oleh pihak luar terhadap para pelukis tempatan dengan kemahiran dan bakat yang ditampilkan, seperti anugerah seni, pameran antarabangsa, dan sebagainya.

Walaupun begitu, rata-rata masyarakat mungkin tidak mengetahui kewujudan “pelukis aksi” di Malaysia. Lukisan aksi, atau lebih dikenali sebagai gesture painting, merupakan satu daripada genre lukisan yang terkenal di dunia dengan gaya sapuan cat secara spontan ke kanvas, bukannya diaplikasikan secara berhati-hati, untuk mendapatkan kesan titisan dan percikan yang menarik. Di Malaysia, tidak banyak pelukis yang menjadikan gaya lukisan aksi sebagai identiti dalam berkarya, namun bagi Ngdawiyah Ismail, gaya ini memberikan kebahagiaan dan kebebasan terhadap jiwa seninya.

Pertama kali melihat video Ngdawiyah melukis di Facebook, penulis yakin bahawa beliau ini bukanlah calang-calang pelukis. Masakan tidak, aksi Ngdawiyah melukis sambil menari mengikut rentak muzik yang dimainkan sungguh menakjubkan dan memukau mata para penonton yang melihatnya. Lantaran itu, sidang editorial Dewan Budaya membuat keputusan untuk ke Kelantan dengan satu matlamat, iaitu untuk mengenali dengan lebih dekat karyanya dan melihat dengan mata sendiri kehebatan melukis susuk tubuh yang berasal dari Grik, Perak ini.

Ngdawiyah, atau lebih mesra disapa sebagai Gee, memulakan perjalanan seni dengan melukis dan menjual lukisan potret seawal usia 15 tahun. Sejak zaman persekolahan, beliau banyak menghabiskan masa untuk melukis. Yang menariknya, beliau pada ketika itu menuntut di Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, Ipoh, atau kini dikenali sebagai Kolej Vokasional Lebuh Cator, tidak pernah mengikuti pendidikan secara formal dalam bidang seni lukis dan hanya dijadikan sebagai hobi.

Kejayaan Ngdawiyah memenangi Hadiah Melukis Potret Peringkat Sekolah Negeri Perak pada tahun 1990 menjadi titik tolak kepada beliau untuk bergiat secara aktif dalam bidang seni lukis. Beliau yang pernah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik bagi sekolah vokasional pada tahun 1992 menyatakan bahawa penghijrahan beliau daripada bidang elektronik kepada bidang seni merupakan suatu keputusan yang tepat dalam hidupnya.

Dalam penghasilan setiap karyanya, Ngdawiyah sentiasa mempunyai idea atau lakaran dalam mindanya untuk melahirkan perasaan melalui limpahan warna. Bakat seni lukis dalam dirinya diwarisi daripada ibunya. Bahkan, melalui ibunya juga, Ngdawiyah belajar beberapa teknik lukisan. Menurut beliau, antara idola dalam bidang seni lukis termasuklah Leonardo Da Vinci kerana kegeniusan pelukis itu mencipta penceritaan dalam karya lukisannya. Bagi beliau, lukisan yang baik ialah lukisan yang mampu untuk bercerita kepada khalayak.

Menceritakan pengalaman hidupnya, wanita kental berusia 46 tahun ini menyatakan bahawa pernah bekerja sebagai penebar roti canai dan penjual burger untuk kelangsungan hidup. Pengalaman tersebut mengajarnya erti kecekalan dan mahu mengekspresikan kehidupannya melalui lukisan. Sebelum bergiat secara aktif dalam bidang seni lukisan, Ngdawiyah juga pernah bekerja sebagai pereka grafik bebas dan aktif menghasilkan rekaan grafik, khususnya penerbitan buku.

Pengalaman menjadi pereka grafik bebas banyak membantu dan memberikan kesan terhadap penglibatan beliau dalam bidang seni lukisan kerana perlu bermain dengan imaginasi yang mampu difahami oleh para pembaca. Dalam hal ini, beliau pernah memenangi anugerah buku grafik terbaik berdasarkan lakaran yang dihasilkan dengan gabungan warna dan subjek yang berkaitan rapat dengan pengalaman hidupnya.

Muzium Fantasi Tujuh Dimensi

Sidang editorial Dewan Budaya tiba di satu rumah yang terletak di Kubang Batang, Pasir Mas, dengan berpandukan lokasi yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp oleh Siti Zuraida Awang, AJK Pemasaran Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan dan juga rakan karib Ngdawiyah. Melihat bentuk luaran rumah banglo itu, tiada apa-apa yang membezakannya dengan deretan rumah di kawasan itu, selain dipenuhi dengan rimbunan pohon yang menghijau.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang tamu rumah itu, kami terpegun melihat lukisan seakan-akan “hidup” yang memenuhi setiap inci dinding, lantai dan siling rumah itu. Lukisan ala-ala tujuh dimensi itu memaparkan watak daripada sebuah buku yang berjudul Hikayat Kota Dewa hasil tulisan Faran Yusof. Yang menariknya, lukisan tersebut dihasilkan oleh Ngdawiyah seorang diri sejak tahun 2018, bermula dari ruang dapur dan kini hampir siap sepenuhnya hingga ruang tamu.

Menurut Siti Zuraida, yang juga merupakan pemilik rumah tersebut, idea asal menjadikan rumahnya sebagai muzium bermula apabila Ngdawiyah datang ke rumah ini untuk melukis di satu ruangan sebagai hadiah kepadanya. Beliau yang amat meminati seni lukisan memberikan kepercayaan kepada Ngdawiyah untuk “menghias” rumah tersebut dengan hasil tangan sahabat karibnya itu. Bagi Siti Zuraida, keperibadian Ngdawiyah yang jujur dalam setiap perbuatan dan pengkaryaannya membuatkan beliau yakin untuk membenarkan rumahnya dijadikan muzium.

Dalam diri saya ini penuh dengan sifat kasih sayang. Apabila saya melihat Ngdawiyah melukis watak Hikayat Kota Dewa ini, naluri saya mengatakan bahawa lukisan ini dapatkan menenangkan perasaan saya. Daripada situlah timbulnya idea untuk menjadikan rumah ini sebagai muzium tujuh dimensi berdasarkan watak dalam hikayat tersebut. – Siti Zuraida

Sejak itu, Ngdawiyah dan Siti Zuraida telah bekerjasama dengan penulis hikayat tersebut untuk menjayakan projek muzium tujuh dimensi yang pertama di Malaysia. Pada awalnya, lukisan tersebut hanyalah dilukis di satu sudut di bahagian dapur yang mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan. Dengan sokongan ahli keluarga Siti Zuraida dan penat lelah Ngdawiyah melukis sehingga pernah tidak tidur selama dua hari, kini rumah ini dijangka siap sepenuh sebagai muzium menjelang penghujung tahun ini.

Cabaran utama projek ini ialah untuk menghasilkan 313 watak hikayat dalam bentuk lukisan. Sepanjang proses tersebut, Ngdawiyah perlu membaca dan memahami lebih dahulu jalan penceritaan novel tersebut. Selepas itu, beliau menghasilkan sinopsis inti pati ringkas setiap bab dalam novel tersebut dan mula melakar setiap watak satu demi satu. Selepas selesai proses lakaran itu, beliau  menyusun semula lakaran tersebut mengikut alur penceritaan sebelum dipindahkan dalam bentuk lukisan.

Proses penghasilan setiap watak dalam novel tersebut turut mempunyai cabarannya yang tersendiri. Sebagai contohnya, penulis novel tersebut memberikan cabaran kepada Ngdawiyah untuk menghasilkan watak Tok Jubah, iaitu satu watak yang sangat menakutkan, menggunakan subjek sehelai rambut. Dalam hal ini, Ngdawiyah perlu menggunakan daya imaginasinya untuk mencipta dan menggambarkan watak Tok Jubah itu berdasarkan ciri-ciri yang ditulis dalam novel dan gambaran yang diberikan oleh Faran Yusof. Maka itu, beliau mencipta watak lakaran Tok Jubah dengan tidak menampakkan mukanya dan hanya memaparkan rambut. Antara watak terawal yang dicipta oleh beliau termasuklah watak Tok Jubah dan Nagasari.

Penghasilan lakaran setiap watak bermula dengan watak yang mudah lebih dahulu. Faran Yusof memberikan gambaran tentang watak itu kepada Ngdawiyah sebelum beliau menterjemahkannya dalam bentuk lukisan. Bagi beliau, watak yang dilakarkan perlu lain daripada lain dan tiada pengaruh luar, seperti watak novel Harry Potter, bahkan lebih hebat berbanding lakaran watak novel fantasi Barat itu. Hasil lakaran watak tersebut akan dilukis di setiap penjuru rumah ini sebagai bahan bukti dan rujukan orang ramai, seakan-akan seperti sedang membaca Hikayat Kota Dewa apabila melihat lukisan yang dihasilkan dalam rumah ini.

Proses penghasilan watak tersebut mempunyai dua fasa, iaitu proses lakaran dalam kertas dan seterusnya menggunakan perisian Adobe Photoshop. Proses ini memerlukan kemahiran melukis dan kebolehan menggunakan perisian grafik dengan baik bagi membolehkan watak tersebut dihasilkan dengan cantik. Beliau berasa bersyukur kerana berpeluang mempelajari kemahiran perisian grafik ketika bekerja sebagai pereka grafik. Hal ini sangat penting pada era ini untuk tujuan pendokumentasian dan juga menyesuaikan diri dengan seni grafik digital.

Tambah Ngdawiyah, pengetahuannya dalam bidang elektrik pada zaman persekolahan dapat diaplikasikan dalam projek muzium tujuh dimensi ini. Hal ini dikatakan demikian kerana untuk menghasilkan kesan yang membuatkan lukisan itu kelihatan seperti “hidup”, beliau perlu memasang beberapa peralatan elektronik, seperti lampu dan pancaran cahaya, untuk digabungkan dengan lukisan yang dihasilkan. Projek ini sememangnya memberikan kepuasan kepada dirinya kerana dapat menggabungkan seni lukis dengan kemahiran bertukang dan elektronik yang dipelajarinya di sekolah.

Melukis dengan Rentak Muzik

Satu daripada keistimewaan Ngdawiyah dalam bidang seni lukis ini ialah teknik “lukisan aksi”, iaitu melukis sambil mengikut rentak muzik. Beliau gemar menggunakan muzik dalam setiap karya yang dihasilkan kerana membantu memberikan ekspresi tanpa sedar yang lebih baik ketika melukis. Maka itu, setiap lukisan yang dihasilkan dalam rumah ini turut menggunakan gaya lukisan “aksi”. Yang menariknya, setiap lagu yang dimainkan perlu selaras dengan watak atau keadaan yang ingin dilukis. Jika lukisan itu memerlukan “suasana” meriah atau watak ceria, maka lagu rancak akan dimainkan, dan begitu juga sebaliknya.

Dalam hal ini, Ngdawiyah menyatakan bahawa beliau sangat teruja ketika melukis lukisan aksi, dan menjadikannya sebagai fokus utama dalam pengkaryaan dan identiti dirinya. Bagi dirinya, tidak semua orang menyukai bidang seni lukis, tetapi jika digabungkan dengan muzik, pastinya dapat menarik perhatian mereka kerana semua orang menyukai muzik. Bahkan, melukis dan mendengar muzik merupakan satu daripada terapi yang berkesan bagi mereka yang mengalami tekanan atau keletihan.

Disebabkan oleh keunikan gaya lukisannya, Ngdawiyah sering menerima undangan untuk membuat persembahan dalam pelbagai majlis di sekitar negeri Perak. Pada kebiasaannya, persembahan dalam gimik perasmian mengambil masa kira-kira tujuh minit dengan menggunakan lagu genre epik atau lagu yang bersesuaian dengan tema majlis tersebut. Persembahan gimik perasmian yang paling diingati pernah dilakukan oleh Ngdawiyah ialah ketika melukis lukisan aksi di panggung wayang TGV Kuala Lumpur yang dihadiri oleh pengarah terkenal, Dato Yusoff Haslam dan delegasi dari China.

Beliau pernah bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak dalam satu projek lukisan “World of Bunder Asia Painting Show Music Perak”. Antara usaha beliau untuk mempromosikan lukisan aksi ialah memuat naik video penghasilan lukisan aksi ke platform YouTube. yang memiliki pengaruh yang sangat besar pada peringkat global. Selain itu, Ngdawiyah juga membuat siaran langsung melukis lukisan watak Hikayat Kota Dewa di Facebook dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.

Sepanjang penglibatan Ngdawiyah dalam dunia seni lukis ini, beliau menjadikan seni sebagai wadah untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Bagi beliau, seni itu penuh dengan nilai kasih sayang, dan semua orang, tanpa mengira umur, pangkat dan darjat, berhak menikmati nilai yang terdapat pada seni. Pada kebiasaannya, beliau tidak menetapkan kadar bayaran yang tidak munasabah bagi setiap karya lukisannya kerana baginya, jalinan hubungan baik lebih penting berbanding wang ringgit.

Perjalanan karier Ngdawiyah sebagai pelukis bermula dengan lukisan realistik, potret, abstrak, dan kemudiannya terjun ke dalam lukisan aksi fantasi. Beliau menyatakan bahawa gabungan ciri-ciri lukisan realistik dan abstrak berjaya menghasilkan lukisan fantasi yang menarik. Tambahnya lagi, beliau turut menggabungkan gaya lukisan lama, seperti zaman Renaissance, dengan gaya warna moden untuk menghasilkan lukisan fantasi. Gabungan warna gaya lukisan lama dengan lukisan fantasi moden ini menghasilkan warna purba fantasi dengan gaya lukisan aksi.

Selain menghasilkan karya untuk dijual atau dipamerkan, Ngdawiyah turut terbuka untuk menerima undangan mengajar masyarakat awam tentang seni lukis, terutamanya lukisan aksi. Pada kebiasaannya, beliau akan mengajarkan teknik lukisan aksi kerana teknik ini tidak banyak dipraktikkan oleh pelukis tempatan. Beliau turut mempunyai kumpulan lukisan aksi tersendiri di Perak, iaitu Ngdawiyah Gesture Drawing Team. Setiap undangan yang diterima, tiada yuran atau bayaran yang akan dikenakan untuk mempelajari teknik lukisan daripada beliau. Tiada juga had umur dan bangsa yang ditetapkan oleh beliau untuk mempelajari teknik lukisan ini.

“Kelas pengajaran lukisan ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka bersama-sama mengambil bahagian dalam kelas lukisan yang dianjurkan. Dalam hal ini, saya suka memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk melukis atau melakukan apa-apa sahaja dalam kehidupan, asalkan memiliki keyakinan diri,” ujar Ngdawiyah ketika ditemu ramah oleh sidang editorial Dewan Budaya.

Dalam hal ini, tujuan utama Ngdawiyah untuk mengajar teknik lukisan “gesture” atau aksi kepada masyarakat kerana apabila berjaya menguasai teknik tersebut, maka mereka mudah untuk melukis pelbagai genre lukisan yang lain, seperti potret, abstrak dan sebagainya. Untuk menjadi pelukis yang berjaya, seseorang itu harus menguasai teknik lukisan aksi kerana teknik itu merupakan teknik asas dalam lukisan. Teknik aksi ini juga dapat memupuk keyakinan diri seseorang dan juga menjadi terapi minda.

Secara umumnya, teknik lukisan aksi ini lebih tepat berbanding lakaran. Kemahiran terpenting yang perlu dikuasai oleh pelukis untuk mahir dalam teknik ini ialah kemahiran bermain dengan garisan. Melalui teknik lukisan aksi, khalayak dapat melihat cerminan emosi pelukis berdasarkan kepada garisan yang terdapat pada lukisan tersebut kerana teknik ini memerlukan pelukisnya memasukkan emosi dalam lukisan. Lukisan yang menggunakan teknik ini dikatakan jujur kerana merupakan luahan perasaan pelukis. Teknik lukisan ini sewajarnya diajarkan kepada para pelajar sejak sekolah rendah bagi mengetahui cara mengekspresikan diri dan nilai yang terdapat dalam seni lukisan aksi ini.

Kini, beliau merancang untuk membuat kombinasi antara persembahan muzik tradisional yang diadakan secara langsung dengan demonstrasi lukisan aksi untuk menarik perhatian lebih banyak orang. Tambahnya lagi, kombinasi tersebut sangat unik kerana tidak pernah diadakan sebelum ini di negara ini. Dalam setiap aksi melukisnya, Ngdawiyah tidak mengehadkan pilihan genre muzik dan memainkan setiap genre muzik berdasarkan perasaan yang ingin disampaikan dalam lukisan.

Apabila menceritakan tentang perkembangan seni lukis tanah air, Ngdawiyah berpandangan bahawa seni itu tidak akan mati, tetapi hanya zaman yang membezakannya. Dalam hal ini, golongan muda kini dilihat lebih menonjol dalam bidang seni kerana perkembangan teknologi masa kini. Seni pada zaman ini lebih banyak dihasilkan secara digital menggunakan komputer, berbanding di atas kanvas atau kertas. Bagi beliau, satu cara terbaik untuk mendapatkan hasil seni yang optimum pada masa ini ialah menggabungkan kedua-dua kaedah era dahulu dan kini.

“Kedua-dua generasi, iaitu generasi lama dan baharu, harus saling bekerjasama dan belajar antara satu sama dengan yang lain untuk membaiki dan meningkatkan kemahiran mereka, tidak kira dalam bidang apa-apa sekali pun. Perkembangan teknologi maklumat era moden banyak memberikan kelebihan kepada generasi muda kerana mereka lebih terdedah kepada limpahan maklumat daripada internet. Mereka dapat mempelajari sesuatu perkara dengan lebih pantas dan banyak berbanding dengan generasi terdahulu,” kata Ngdawiyah.

Terkenal sebagai seorang pelukis potret dan abstrak, Ngdawiyah mengakui bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk melukis lukisan fantasi purba. Peluang untuk menghasilkan lukisan fantasi purba berdasarkan watak Hikayat Kota Dewa memberikan nafas baharu bagi dirinya dan berjaya menarik minat masyarakat untuk melihatnya. Menurut beliau, waktu yang sesuai untuk melukis lukisan fantasi ialah pada waktu malam.

“Cuaca memainkan peranan dalam penghasilan warna ketika proses melukis. Apabila melukis pada waktu siang, kita cenderung untuk mengambil warna yang berunsur panas kerana pengaruh cuaca. Lukisan fantasi sesuai dilukis pada waktu malam kerana suasana pada ketika itu sejuk dengan cahaya yang suram. Apabila melukis pada cahaya yang suram, kita terdorong untuk menggunakan warna yang suram, tetapi terang. Hal ini merupakan tip untuk menghasilkan lukisan yang mempunyai warna yang sesuai dan cantik,” katanya.

Secara puratanya, modal yang diperlukan untuk menyiapkan muzium tujuh dimensi ini mencecah RM45 ribu secara keseluruhan. Kos pembelian cat sahaja hampir mencecah RM15 ribu memandangkan cat yang digunakan diimport dari luar negara bagi menjaga kualiti. Proses menyiapkan muzium ini sememangnya memakan masa yang panjang kerana di samping melukis, Ngdawiyah perlu mencipta konsep, menyusun turutan babak berdasarkan novel tersebut untuk diterjemahkan dalam bentuk lukisan dan mencipta tarikan baharu untuk menarik perhatian khalayak. Usaha untuk menyiapkan muzium tersebut turut dibantu oleh ahli keluarga Siti Zuraida dan penduduk setempat. Hal ini jelas membuktikan bahawa seni berupaya merapatkan hubungan sesama manusia.

Pengalaman melawati muzium tujuh dimensi ini sudah tentunya berbeza berbanding melawat muzium lain yang terdapat di negara ini. Pelawat akan merasai pengalaman baharu menikmati lukisan menggunakan setiap pancaindera. Dalam hal ini, Ngdawiyah perlu mencipta bahan paparan yang sesuai dengan latar yang terdapat dalam novel tersebut bagi memaksimumkan penggunaan pancaindera pelawat. Pengalaman beliau ketika menetap di Eropah selama dua bulan digunakan untuk mencipta konsep muzium tujuh dimensi ini. Muzium di Eropah misalnya, konsep penceritaan narator secara maya digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada pelawat. Ngdawiyah mahu menggunakan konsep itu dalam muzium tersebut untuk menarik perhatian masyarakat.

Pada akhir pertemuan kami, Ngdawiyah menyatakan hasratnya untuk mewujudkan satu galeri kesenian di tempat kelahirannya iaitu di Perak. Galeri itu bukan sekadar galeri biasa, tetapi menjadi pusat sehenti kesenian dengan mengalu-alukan kedatangan masyarakat untuk berkarya di situ. Galeri itu juga dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda untuk berjaya dalam bidang kesenian, dan menjadi satu daripada tarikan pelancongan dalam negara. Bagi Ngdawiyah, bakat yang dikurniakan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang perjalanan bergelar insan seni tidak akan disia-siakan dengan mengembalikannya kembali untuk kegunaan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.