13 April 2021, 05:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Sembang Seni dan Budaya yang telah diadakan pada 13 April 2021. Program yang diadakan pada kali ini menyentuh tentang filem “Butak” arahan Sabri Yunus. Program tersebut menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Maizura Ederis; penulis skrip, U-Wei Haji Saari; pengarah filem dan Fadli Al- Akiti yang merupakan editor majalah Dewan Sastera. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah  bertindak selaku moderator dalam program tersebut.

Maizura Ederis menyatakan bahawa filem “Butak” mempunyai unsur-unsur yang boleh mendidik masyarakat. Beliau juga menambah beliau lebih cenderung untuk menghasilkan skrip yang mempunyai unsur-unsur mendidik dan islamik. Hal ini demikian kerana karya kreatif secara tidak langsung boleh mendidik masyarakat dan memberikan nilai tambah yang positif.

U-Wei Haji Saari pula menyatakan bahawa filem merupakan cerminan hidup yang terpilih dan seharusnya memberikan pengajaran dan nilai baharu kepada penonton. Pengarah “Butak”, Sabri Yunus menampilkan banyak ragam masyarakat seperti dialek utara, timur dan lain-lain lagi. Ramai pengarah filem gemar membikin filem dari kaca mata kanak-kanak kerana kanak-kanak mempunyai sifat murni. U- Wei juga menambah bahawa masyarakat tidak mempunyai budaya menonton dan tidak menonton filen tempatan.

Fadli Al- Akiti berkata “Butak” menampilkan elemen kosmologi Melayu Islam dan perkembangan jalan cerita yang manusiawi. Mesej yang dibawakan dalam filem tersebut ialah manusia mempunyai peluang untuk berubah menjadi lebih baik. Beliau juga menyatakan aspek pemasaran sangat penting untuk mempromosikan filem kepada masyarakat. Selain itu, masyarakat masih lagi menganggap filem hanyalah menumpukan aspek hiburan semata-mata. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak didedahkan dengan aspek filem yang baik dan kurang menyentuh tentang mesej dan nilai budaya yang dibawakan dalam suatu filem. Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat Kelantan masih lagi kuat berpegang kepada nilai budaya tradisional Melayu. Oleh sebab itu, filem “Butak” banyak menampilkan nilai kebudayaan masyarakat Melayu.

Majlis yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook ­­­­­­­­­Dewan Bahasa dan Pustaka ini diadakan mengikut prosedur operasi standard seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.