24 April 2021, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program Cakna Ilmu: Luar Jendela yang telah diadakan pada 24 April 2021.  Tema program tersebut pada kali ini ialah “Anime dan Manga dalam Kalangan Muda-Mudi Jepun” dan diadakan secara lintas langsung ke Tokyo, Jepun di Facebook DBP.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menarik minat masyarakat supaya berbahasa Melayu dengan betul dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang minat orang asing terhadap bahasa Melayu. Program tersebut menampilkan lima orang panel iaitu Kaito Ishikawa (Kamil), Rio Kamimura (Roziah), Towa Kawamura (Tijah), Koseki Ayumi (Amani) dan Riho Moriyama (Rohana). Mereka membincangkan tentang budaya dan bahasa Melayu serta Jepun.

Towa Kawamura (Tijah) menyatakan bahawa anime dan manga dijadikan sebagai alat pendidikan semenjak di sekolah rendah lagi. Tambahnya lagi, kebanyakan cikgu sekolah menengah atau sekolah tinggi di Jepun menggunakan anime atau manga untuk menjelaskan perkara yang sukar diajar kepada para pelajar. Riho Moriyama (Rohana) pula menambah bahawa anime dan manga mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kalangan golongan muda-mudi di Jepun.

Selain itu, muzium anime dan manga di Jepun tumbuh seperti cendawan selepas hujan kerana sambutan yang hangat daripada masyarakat tempatan dan luar. Anime dan manga boleh menjadi medium untuk mengajar golongan muda-mudi Jepun tentang kebudayaan tradisional Jepun. Kaito Ishikawa (Kamil) menyatakan bahawa golongan muda Jepun boleh mempelajari nilai-nilai positif yang diterapkan dalam anime dan manga. Contohnya, penulis dan pelukis anime dan manga “Naruto” menyelitkan unsur-unsur yang positif seperti tidak mudah berputus asa, sentiasa menolong orang lain, menghormati guru, bersikap mesra dengan orang ramai dan lain-lain lagi.

Selain itu, sewaktu mereka melanjutkan pelajaran di Malaysia, mereka juga mempelajari budaya Malaysia seperti makanan, perayaan, permainan tradisional dan lain-lain lagi. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat luar sangat berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dan kebudayaan unik Malaysia. Muhamad Rafiq Abd Rahman, Penolong Perancang Bahasa bertindak selaku moderator dalam program tersebut.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan oleh DBP untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi