Oleh Jamil Hashim
26 April 2021, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kekuatan penampilan Abu Bakar Omar dalam lakonan drama di televisen ialah pada gaya renungan mata dan mimik mukanya yang serius ketika mendengar bicara pelakon lain kepadanya. Dialog itu akan terus diamatinya dengan penuh minat tanpa mengangguk atau mengungkapkan sebarang bicara beberapa ketika.

Keupayaan kamera memberikan tumpuan penuh kepada wajahnya itu pula jelas menunjukkan dirinya sebagai seorang pendengar yang baik. Situasinya yang mendengar secara tenang, menyusul keluar pula kata-kata bersahaja daripada mulutnya. Ada ketikanya, tiada dialog pun yang diungkapkan dan beliau terus membisu sambil merenung kepada watak di depannya atau memandang ke arah lain.

Jika ada pun dialog yang akan keluar daripada mulutnya selepas itu mungkin  terlalu pendek sebagai respons kepada watak yang berbicara dengannya.   Biasanya bermula dengan dialog yang pendek tanda respons, menyoal atau menyatakan pandangannya melalui bicaranya yang tersusun patah demi patah. Apabila watak di depannya berusaha mempertahankan hujahnya atau mengemukakan persoalan, beliau terus memerhati, seperti mula adegan tadi, dan kemudiannya akan berbicara lagi.

Begitulah kebiasaan gaya penampilan yang agak ketara Allahyarham Haji Abu Bakar Omar yang menampakkan kematangannya ketika meniti usia emas.  Penampilannya memegang pelbagai watak memang sudah tidak asing lagi kepada penonton yang menjadi kekuatan dalam lakonannya yang bermula dengan Sandiwara dan Panggung Drama di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula era 1970-an, kemudiannya berlakon dalam drama televisen terbitan RTM.

“Ketika membaca sesuatu skrip yang dihantar oleh penulis, saya sudah dapat membayangkan watak ini sesuai dilakonkan oleh Allahyarham, lalu terus menghubunginya,” kata Zuraidah Mohd. Noh, penerbit drama radio di Radio Nasional FM dan Radio Klasik, yang kerap mengundangnya berlakon sejak 40 tahun lalu.

“Suaranya yang jelas dan tegas mampu memegang sebarang watak yang mencerminkan keteguhan pendirian juga kerap berlakon dalam drama berbentuk purbawara yang tidak banyak pelakon mempunyai nada suara yang sesuai untuk menggayakannya,” kata Zuraidah.

“Allahyarham yang gemar bersyair, bergurindam dan menyanyi bersedia memberikan maklum balas tentang dialog atau penambahbaikan pada akhir jalan cerita kepada penerbit, malah bersedia berkongsi kebolehan dan  membantu menunjuk ajar pelakon lain ketika berlakon agar mereka benar-benar dapat menghayati watak,” tambah Zuraidah.

Kecemerlangan bakat seni lakonnya itu turut diiktiraf dalam beberapa anugerah, bermula dengan Anugerah Seri Angkasa RTM pada 1983 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik melalui drama televisyen, Senja Belum Berakhir, dan kategori yang sama bagi drama radio pada 1990 melalui drama Igauan Semalam karya Emilia Hashim.

Dalam Anugerah Skrin pula, Allahyarham pernah memenangi dua kali dalam  kategori pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 1999 melalui drama Mata Hati dan pada tahun 2012 sebagai Pelakon Lelaki Terbaik  melalui drama Gincu Ayah. Melalui Festival Filem Malaysia pada tahun 1983, 1991 dan 2015 juga, Allahyarham pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Pelbagai watak yang dilakonkannya sama ada bersifat protagonis yang berusaha menegakkan kebenaran, atau antagonis yang sentiasa hendak membantah dan menentang, berjaya dibawanya dengan baik.  Kejayaan membawa kedua-dua sifat wataknya itu bukan sahaja terletak pada suaranya yang besar dan tegas, tetapi juga melalui mimik muka dan aksi lakonannya.

Suaranya yang besar dan jelas ketika melafazkan bicara secara tersusun menggambarkan kematangannya menguasai watak yang diserahkan.  Perwatakannnya dengan wajah yang serius menyumbang dalam menghidupkan perjalanan sesebuah cerita. Keupayaan ini menjadikan beliau antara pelakon tersohor yang mewarnai perjalanan bidang seninya yang bermula dengan drama radio dan televisyen RTM.

Allahyarham juga turut berlakon dalam beberapa buah drama televisyen terbitan syarikat swasta. Selain berlakon memegang pelbagai watak dalam drama, Allahyarham Abu Bakar juga pernah membintangi beberapa filem pecah panggung, seperti Fenomena, Hingga Hujung Nyawa dan Duyung. Kehadiran wataknya yang hebat, sama ada sebagai pemegang watak utama atau pembantu, cukup penting yang menyumbang kepada perjalanan kisah yang dipaparkan. Hal ini termasuklah ketika melakonkan aksi sedih yang mengundang simpati penonton untuk menangis.

Berita kembalinya Haji Abu Bakar Omar ke Rahmatullah di Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar pada 16 April 2021 secara pantas tersebar melalui media sosial dianggap sebagai suatu kehilangan besar.  Bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi juga dunia seni lakonan tanah air yang turut dirasai oleh pendengar dan penonton.  Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat  orang anak, serta 15 orang cucu.  Allahyarham dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, pada 25 April 1948.

Anak ketiganya, Afandi Abu Bakar, 43 tahun, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ayah yang sentiasa berusaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan anak dan cucu agar sentiasa menghormati orang yang lebih tua, terutamanya ibu bapa, dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menyusahkan orang lain.

Menurut Afandi, ketika usianya yang semakin meningkat dalam tempoh lima tahun ini, ayahnya  yang pernah berniaga sebelum ini sudah kurang aktif berlakon  walaupun banyak mendapat tawaran. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau ingin berehat daripada bidang lakonan, memberi peluang kepada pelakon-pelakon lain dan menumpukan perhatian  kepada rutin kehidupan seharian.

Bagi Harun Hasan, seorang sahabat baiknya di kampung sejak kecil, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah bergaul dan disenangi oleh masyarakat, terutamanya kawan-kawan, suka membantu dan pemurah. Begitu juga dengan teman-teman seperjuangannya dalam bidang lakonan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah mesra, walaupun wajahnya kelihatan serius.

Walaupun Allahyarham kini sudah tiada, tetapi gaya dan penampilannya yang tersendiri pasti tetap diingati oleh khalayak, terutamanya  apabila dapat menonton kembali lakonannya melalui filem atau drama televisyen yang diulang siar.

Marilah kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah untuk Allahyarham Haji Abu Bakar Omar. Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.