Oleh Mudiana Mokhsin
10 Mei 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia sememangnya kaya dengan kepelbagaian budaya, cara hidup, adat, dan agama. Makanan tradisi merupakan satu faktor kepelbagaian dan warna-warni budaya yang terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contohnya, masyarakat Melayu terkenal dengan kuih, seperti kuih seri muka, kuih bom, karipap, lepat pisang, kuih bahulu, dan kuih koci. Manakala bagi masyarakat Cina pula, terkenal dengan kuih bulan dan kuih bakul. Bagi masyarakat India pula, terdapat makanan seperti vadai dan muruku.

Kuih tradisional di Malaysia menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak terdapat di negara lain. Hal ini menjadi satu sumber tarikan pelancong yang dapat menarik minat orang luar untuk mengunjungi negara yang penuh dengan kepelbagaian budaya ini. Oleh hal yang demikian, agak memalukan bagi warganegara Malaysia jika tidak mengenali kuih tradisional kaum mereka sendiri. Kini, kuih tradisional semakin hilang dalam kalangan generasi baharu. Remaja pada hari ini kebanyakannya tidak mengenali kuih-muih tradisional, seperti kuih pulut panggang, kuih serabai dan lain-lain. Sebagai persoalannya, mengapakah kuih tradisional di Malaysia semakin dilupakan dalam kalangan generasi baharu?

Tidak dapat disangkal lagi bahawa kemodenan yang berlaku pada hari ini telah membawa masuk banyak unsur budaya asing ke dalam diri sebahagian masyarakat, terutamanya golongan muda. Tidak perlu dilihat dengan jauh, dalam media sosial sahaja sudah penuh dengan unsur luar yang menyebabkan hilangnya jati diri dalam kalangan anak-anak muda. Hal ini dapat dilihat pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020 yang lalu, muncul satu makanan yang tular dan menjadi ikutan ramai, iaitu Kopi Dalgona, yang dipercayai berasal daripada negara luar.

Bukan itu sahaja, golongan muda pada hari ini sering didedahkan dengan makanan ala-ala Barat yang dianggap lebih mewah daripada kuih tradisional. Pemikiran mereka sudah dipengaruhi oleh perspektif yang melihat makanan seperti ini tampak lebih Begitu juga dengan kuih, rata-rata masyarakat Malaysia melihat kek coklat, brownies, tiramisu, kek krim keju dan lain-lain sebagai makanan yang mewah. Oleh hal yang demikian, kuih seperti ini sering digunakan sebagai pencuci mulut di hotel ternama, manakala kuih tradisi seperti kuih seri muka dan wajik semakin diabaikan.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kepupusan kuih tradisional tempatan ini adalah disebabkan oleh perspektif dan sikap masyarakat Malaysia terhadap makanan ini. Hal ini turut dijelaskan oleh Profesor Madya Dr. Shahrim Karim, Pakar Makanan Warisan Negara, bahawa seiring dengan perkembangan dunia masa ini yang mendedahkan kita kepada dunia luar, membuatkan masyarakat lebih gemar mencuba makanan moden, termasuklah kuih-muih, yang berasal dari luar.

“Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa orang Melayu sendiri tidak berbangga dengan makanan warisan. Sebaiknya dalam budaya makanan, kita perlu mencontohi masyarakat Jepun yang sentiasa berbangga dan memperkasakan sajian warisan, meskipun bergelar negara maju. Kita lebih mengagungkan makanan luar sehinggakan tidak mengetahui nama atau jenis makanan yang ada, sekali gus terus dilupakan.”

Dalam hal ini, bukanlah perkembangan dunia yang perlu dipersalahkan, tetapi sikap masyarakat terhadap makanan tradisi dan jati diri yang lemah dalam diri anak-anak muda. Mereka terlalu mengagungkan makanan Barat, tetapi tidak melihat keistimewaan makanan tradisi di Malaysia yang amat dikagumi oleh orang Barat, baik dari segi rasa, bentuk, dan cara pembuatan.

Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia perlulah sedar tentang keunikan makanan dan kuih tradisi Malaysia. Hal ini terbukti dalam sebuah makalah yang bertajuk “Western Tourists Perception of Malaysian Gastronomic Products” oleh Mohd Hairi Jalis, Mohd Salehuddin Mohd Zahari dan Muhammad Izzat dan Zulhan Othman, yang menunjukkan bahawa majoriti pelancong dari Barat memberikan respon positif kepada makanan Malaysia dan bersetuju bahawa makanan tradisional berupaya menjadi satu sumber tarikan pelancong.

Rakyat Malaysia pada hari ini, malangnya, tidak menyedari bahawa makanan tradisi Malaysia ini sebagai satu keunikan, sebaliknya sebagai adat yang ketinggalan zaman. Ramai yang tidak tahu cara-cara pembuatan kuih dan makanan tradisi yang terdapat dalam negara ini. Sebagai contohnya, kuih seperti bahulu amat menarik dari segi pembuatannya. Proses pembuatannya yang rumit sebenarnya penting untuk menjadikan kuih bahulu tersebut enak dan sedap dimakan.

Hal ini ditegaskan sendiri oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, iaitu En. Ahmad Hakimi Khairuddin. Menurut beliau, proses memukul telur secara manual amat penting bagi membolehkan kuantiti udara masuk ke dalam ramuan dan menjadikan sajian berkenaan lembut di bahagian dalam. Penyediaan kuih dengan menggunakan ketuhar adalah kurang baik dan tidak memberikan hasil yang sama seperti kaedah tradisional.

Oleh hal yang demikian, apakah yang perlu dilakukan agar kuih tradisional Malaysia dapat dikekalkan dan dihargai oleh generasi akan datang? Peranan utamanya terletak pada setiap individu. Seorang individu, terutamanya dari kalangan muda, perlu mengurangkan penerimaan unsur luar, bukanlah menyingkirkannya secara penuh, tetapi hanya untuk menghargai unsur kebudayaan yang terdapat dalam negara sendiri.

Peranan kedua terletak pada sistem pendidikan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya bertindak dengan lebih tegas dan proaktif untuk memastikan makanan tradisi, termasuklah kuih-muih tradisional, diterapkan dalam kandungan pengajaran di sekolah. Penerapan ini perlu bermula sejak sekolah rendah lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak pada umur ini lebih mudah menerima, berbanding dengan golongan dewasa.

Usaha ini dapat dilakukan dengan memanfaatkan keluasan penggunaan media sosial pada hari ini. Pihak yang berminat sewajarnya memperkenalkan kuih tradisional melalui laman web atau mempromosikan kuih-muih tempatan secara dalam talian. Pelbagai aplikasi media sosial dapat dimanfaatkan, seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok. Penggunaan media sosial sangat berkesan kerana masyarakat pada hari ini terdedah dengan aplikasi sedemikian.

Sebagai kesimpulannya, tidak dapat disangkalkan lagi bahawa kuih tradisional Malaysia sedang mengalami kepupusan. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya unsur luar yang menyebabkan masyarakat Malaysia mula meninggalkan tinggalan tradisi nenek moyang mereka. Lemahnya jati diri masyarakat, terutamanya golongan muda, menyebabkan makanan tradisi dilihat sebagai sudah lapuk. Sikap dan perspektif yang negatif ini perlu diperbaik agar makanan tradisional Malaysia tidak pupus dan ketinggalan zaman. Titik tolak usaha ini terletak pada diri rakyat Malaysia itu sendiri dengan meletakkan kebanggaan mereka terhadap makanan dan kuih tradisi tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.