26 Mei 2021, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhamad Hakimi Abd Rani

Hari Wesak tahun ini disambut secara sederhana dan dalam suasana norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pandemik COVID-19. Walaupun penganut agama Buddha tidak dapat hadir secara fizikal ke tokong, pihak rumah ibadat dan persatuan giat melakukan penstriman langsung sambutan tersebut melalui media sosial seperti Subang Jaya Buddhist Association dan Bandar Utama Buddhist Society.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah antara yang terawal memberikan ucapan kepada penganut Buddha. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat hari Wesak dengan memanfaatkan media sosial. Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyatakan bahawa perayaan itu disambut dengan aman dan harmoni selaras dengan amalan kebebasan beragama yang menjadi lambang perpaduan negara.

“Pengamalan dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat hari ini sewajarnya diperkukuhkan lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19. “Marilah kita bersama-sama bersatu hati memerangi COVID-19 ini tanpa garis pemisah. Dalam masa yang sama marilah kita memanfaatkan peluang dan kesempatan yang ada ini untuk menjiwai erti perpaduan yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, tokong-tokong Buddha di Pulau Pinang kebanyakannya hampir kosong memandangkan penganut tidak dibenarkan menyertai upacara sembahyang. Pihak berkuasa termasuk polis dilihat berada di Mahindarama Buddhist Temple bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Wakil tokong Dr Surya Dharamdass turut menggesa orang ramai agar mematuhi SOP dan meraikan sambutan Wesak di rumah memandangkan segala upacara keagamaan di tokong disiarkan secara maya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.