14 Jun 2021, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhamad Hakimi Abd Rani

Kuala Lumpur Sektor pelancongan merupakan antara sumber pendapatan utama negara dan kini sedang berdepan dengan cabaran ketika negara berperang dengan wabak COVID-19. Oleh itu, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini sedang giat membuat perancangan untuk merancakkan kembali sektor pelancongan sebaik sahaja wabak COVID-19 dapat dikawal. Antara inisiatif yang sedang dirangka oleh kerajaan ialah mempromosikan produk kraf tempatan.

Promosi produk kraftangan itu dijalankan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan memfokuskan kepada produk kraftangan setiap negeri. Agensi itu juga akan membantu masyarakat untuk memberikan latihan dan elaun bagi mempelajari pembuatan produk kraftangan dan seterusnya melahirkan usahawan baharu pasca COVID-19. Selain itu, pihak kementerian juga memberikan bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) penggiat seni untuk meneruskan kegiatan seni. Berikutan dengan situasi semasa, pihak kerajaan tidak membenarkan anak seni membuat persembahan secara langsung sebaliknya menggalakkan mereka mengadakan program secara atas talian.

Kerajaan mahu meningkatkan lagi hasil pendapatan negara melalui sektor pelancongan. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan Dasar Pelancongan Negara pada tahun lepas yang memfokuskan kepada kelangsungan industri pelancongan dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih utama di peringkat global. Dasar tersebut sudah pun dirancang oleh kerajaan sejak tahun 2017 lagi.  Antara inisiatif pihak kerajaan merancakkan semula industri pelancongan ialah mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan. Zon ini dijangka dapat meningkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta menarik lebih ramai pelabur dalam bidang teknologi digital sektor pelancongan.

Selain itu, pihak kerajaan berhasrat mahu menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World. Hasrat ini mampu dicapai kerana Malaysia terkenal dengan kekayaan dan kelestarian sumber semula jadi yang boleh memacu ekonomi melalui ekopelancongan. Usaha ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Peranan sektor pendidikan juga penting untuk memacu sektor pelancongan negara. Sektor pendidikan melalui sekolah dan institut pengajian tinggi perlu menawarkan lebih banyak bidang yang berkaitan dengan pelancongan seperti hospitaliti, chef, pengurusan pelancongan dan lain-lain lagi. Keadaan ini boleh membantu sektor pelancongan negara kerana negara mempunyai tenaga kerja yang terlatih dan cekap.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.