14 Jun 2021, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhamad Hakimi Abd Rani

Petaling Jaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah membuka penyertaan filem tempatan yang layak bertanding dalam kategori  yang telah ditetapkan untuk menyertai Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31). Penyertaan itu dibuka bermula dari 15 Jun 2021 hingga 15 Julai 2021.

Penganjuran FFM31 yang dijangka berlangsung pada bulan oktober 2021 melibatkan penyertaan filem cereka berdasarkan kepada syarat yang telah ditetapkan oleh FINAS. Syarat pertama yang telah ditetapkan oleh FINAS ialah filem cereka itu mesti dikeluarkan di Malaysia dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem bagi tahun 2018, 2019, dan 2020 untuk tayangan di pawangam Malaysia dalam format DCP/35mm/format digital serta tempoh masa tayangan sekurang-kurangnya 60 minit. Syarat kedua ialah filem yang masih belum pernah menyertai Festival Filem Malaysia dan filem yang ditayangkan paa tahun 2018, 2019 dan 2020 sahaja. Syarat ketiga ialah pengeluar filem mesti mempunyai lesen pengeluaran filem dari FINAS, melainkan mereka yang dikecualikan di bawah seksyen 34A Akta FINAS 1981. Syarikat yang masih belum mendapat lesen walaupun sudah melakukan permohonan lesen tersebut boleh memberikan nombor rujukan fail FINAS yang berkenaan.

Sementara itu, kategori yang dipertandingkan dalam FFM31 terdiri daripada filem terbaik, pengarah terbaik, pengarah harapan, pelakon lelaki terbaik, pelakon wanita terbaik, pelakon pembantu lelaki terbaik, pelakon pembantu wanita terbaik, pelakon kanak-kanak terbaik, pelakon lelaki harapan, pelakon wanita harapan, lakon layar terbaik, cerita asal terbaik, sinematografi terbaik, penyunting terbaik, skor muzik asal terbaik, penataan seni terbaik, penataan bunyi terbaik, lagu tema terbaik, rekaan busana terbaik, kesan khas visual terbaik, tatarias terbaik dan poster terbaik.

Syarat penyertaan dan muat turun borang penyertaan FFM31 ini boleh didapati menerusi pautan www.finas.gov.my/borang-penyertaan-ffm31.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.