15 Jun 2021, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhamad Hakimi Abd Rani

Program memperingati 50 tahun pemergian pelakon terkenal, Nordin Ahmad telah diadakan melalui siaran facebook repair gambar lama pada 15 Jun 2021. Program itu diadakan hasil kerjasama suara senefilia dan saudagar reka. Bicara santai itu memfokuskan tentang perjalanan hidup dan karier seni allahyarham Nordin Ahmad sepanjang hayat beliau. Nordin Ahmad dilahirkan 4 Ogos 1929 di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan di kampung halamannya.

Penglibatan beliau dalam bidang seni bermula ketika beliau bekerja sebagai kerani di pengkalan tentera udara British di Seletar, Singapura pada tahun 1951. Atas dorongan rakannya, beliau mencuba nasib uji bakat yang diadakan di Utusan Melayu tetapi beliau gagal memikat hati pengarah, S. Ramanathan. Kemudian, Nordin Ahmad menerima tawaran bekerja sebagai buruh kasar di studio Malay Film Productions dengan harapan dapat menjadi pelakon. Beliau akhirnya muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Rayuan Sukma dan Juwita. Berkat kesabarannya, beliau kemudiannya muncul dalam sebagai pelakon utama dalam filem Permata di Perlimbahan tetapi filem itu tidak laris. Nama beliau kemudiannya tenggelam dan terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Namun begitu, beliau tidak berputus asa dan terus membaiki mutu lakonannya.

Seniman negara, Tan Sri P. Ramlee menjadi insan yang bertanggungjawab yang mengangkat kembali nama Nordin Ahmad dalam persada seni menerusi filem Semerah Padi pada tahun 1956. Tan Sri P.Ramlee memberikan kepercayaan kepada Nordin Ahmad untuk memegang watak utama dalam filem itu dan hasilnya namanya sebaris dengan bintang ternama dalam industri. Nordin Ahmad kemudiannya berhijrah ke Cathay-Keris Filem dan terus mencipta nama dalam bidang seni. Nordin Ahmad terus mengukuhkan namanya sebagai pelakon terbaik menerusi filem Hang Jebat, Chuchu Datok Merah, dan Sri Mersing. Nordin Ahmad kemudiannya diberikan peluang untuk menjadi pengarah filem. Antara filem yang diarahkan oleh beliau ialah Wan Perkasa, Kaseh Ibu, Naga Tasek Chini, Play Boy, Kekasih, Si Murai, Nafsu Belia, Keranda Berdarah, Mat Lanun, dan Lubang Neraka.

Nordin Ahmad telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning pada usia 41 tahun. Nama Ahmad Nordin terus diingati dalam ingatan peminat kerana mutu lakonannya yang bermutu tinggi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi