18 Jun 2021, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhamad Hakimi Abd Rani

Kuala Lumpur — Seni tanggam merupakan salah satu daripada keunikan seni bina masyarakat Melayu. Tanggam merujuk kepada kaedah penyambungan kayu yang tidak menggunakan paku dalam seni bina masyarakat Melayu. Tanggam juga merupakan penciptaan dan identiti bitara orang Melayu dalam usaha mereka menghasilkan sesuatu kaedah kerangka bangunan kayu yang bermutu, teguh dan kaya dengan nilai keindahan.

Masyarakat Melayu menggunakan seni tanggam untuk membina rumah dan membuat perabot pada suatu ketika dulu. Namun begitu, seni bina tanggam kini mulai diancam dengan kepupusan kerana tidak ramai lagi orang yang mampu untuk mengaplikasikan teknik tersebut. Walau bagaimanapun, masih ada individu yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan rumah tradisional, dan seorang daripadanya ialah Mohd Zain Abd Aziz.

Mohd Zain bukanlah pembuat rumah tradisional yang biasa sebaliknya beliau merupakan pembuat diorama atau replika rumah tradisional dalam bentuk berskala kecil. Beliau menghasilkan diorama rumah tradisional dengan menggunakan teknik yang sama untuk membuat rumah tradisional yang sebenar dengan berbekalkan pengalamannya hampir empat dekad dalam bidang pertukangan rumah.

Kini, Mohd Zain banyak menghasilkan replika rumah dan istana tradisional dengan bantuan Foo Loke Kee yang menyediakan tempat dan barangan keperluan. Replika hasil kerja tangan Mohd Zain mendapat perhatian pelbagai pihak, seperti di Muzium Negara dan juga pada peringkat antarabangsa, terutamanya di China. Bukan itu sahaja, hasil kerja tangan Mohd Zain turut mempunyai ramai peminat di negara itu.

Kisah kegigihan Mohd Zain dan Foo Loke Kee ini dapat diikuti secara penuh dalam majalah Dewan Budaya Bil.6/2021 yang diterbitkan pada bulan Jun 2021 ini.

Mohd Zain (kanan) dan Foo Loke Kee (kiri).
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!