9 Julai 2021, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hasil kolaborasi antara Tourism Malaysia, SHARP dan Chilli Pepper Films membuahkan kejayaan apabila memenangi  Anugerah Khas bagi kategori “Best Camerawork” dalam World Media Festival yang ke-21. Bertempat di Hamburg, Jerman, festival tersebut memberikan anugerah khusus untuk menghargai kreativiti dalam media sepanjang tempoh 21 tahun, termasuklah penghasilan kreativiti dalam audiovisual, merangkumi cetakan dan dalam talian. Anugerah dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Television and Corporate Media Awards, dan Tourism and Travel Media Awards. Ekoran penularan pandemik COVID-19, para pemenang diumumkan secara dalam talian melalui laman web rasmi World Media Festival pada 6 Julai 2021.

Video bertajuk “Amazing” yang berdurasi dua minit setengah itu memenangi Anugerah Khas “Magic Eye” untuk kategori Best Camerawork. Individu yang menerajui kreativiti penghasilan video tersebut ialah pengarah filem, Mark Toia dari Chilli Pepper Films. Kreativiti video turut menggabungkan idea kreatif melalui projek usaha sama Tourism Malaysia dan SHARP yang dinamakan “Truly Aquos 8K, Truly Asia Malaysia”. Projek yang menonjolkan kreativiti dan kualiti terbaik ini merupakan yang pertama di Malaysia, yang merakam video menggunakan teknologi 8K. Selain itu, produksi kreatif juga berjaya mendapat tempat bersama-sama empat pemenang lain di bawah kategori Iklan untuk Anugerah Emas Intermedia-Globe 2021 bagi kategori Tourism and Travel Media. Video “Amazing” turut berkongsi pengiktirafan dengan empat video bertema lain dari Thailand, Jepun, dan Austria. Senarai penuh pemenang dipaparkan di Hall of Fame 2021 dalam laman web rasmi World Media Festival.

Melihat kandungan video tersebut, “Amazing” memaparkan intipati sebenar Malaysia yang pelbagai warna, budaya dan kaum, di samping tarikan luar biasa yang ada di seluruh negara. Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Encik Zulkifly Md Said mengatakan, “Pengiktirafan ini tidak akan dapat dilakukan tanpa usaha dan bantuan semua orang yang terlibat. Kepada pasukan produksi, tahniah atas pencapaian yang wajar ini.” Beliau juga berharap dapat mengadakan kolaborasi lebih lanjut dengan SHARP. “Masih banyak tarikan di Malaysia yang perlu diketengahkan melalui lensa SHARP, terutama destinasi luar biasa, flora dan fauna yang memukau pandangan, dan sumber semula jadi yang asli, ” demikian kata Encik Zulkifly dalam menzahirkan harapannya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN SHARP dan Pengerusi SHARP Electronics Malaysia, Robert Wu pula menyatakan penghasilan video “Amazing” merupakan satu misi penting kerana video itu menjayakan kempen Visit Malaysia yang pertama kali dirakam dalam teknologi 8K. “Teknologi 8K membolehkan resolusi ultrarealistik yang belum pernah dilakukan sebelumnya, yang menghasilkan semula gambar sehingga kelihatan hidup pada pandangan mata penonton. Pengalaman visual yang mendalam ini tiada duanya dan kami berasa bangga kerana diiktiraf dalam anugerah ini,” kata Robert Wu. SHARP juga akan terus memberikan sokongan kepada Tourism Malaysia dengan menampilkan video pemenang penghargaan di seluruh rangkaian global SHARP melalui panel TV Aquos. Video “Amazing” yang mula ditayangkan di platform Youtube pada tahun lalu, kini sudah meraih 60 juta tontotan. Bagi yang belum menikmati video yang memenangi anugerah dalam World Media Festival ke-21, boleh kunjungi https://www.youtube.com/watch?v=2VgN8VdGuGk.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!