13 Julai 2021, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kelat bukan sebarang kelat,

Kelat mengkudu ada khasiatnya,

Silat bukan sebarang silat,

Silat Melayu kaya falsafahnya.

Siri webinar Warisan Tidak Ketara anjuran Jabatan Warisan Negara hasil kolaborasi bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merupakan suatu siri diskusi yang mengangkat dan memberikan pengetahuan tentang khazanah bangsa kepada masyarakat. Siri webinar ini bermula sejak 30 Mac yang lalu dan mengetengahkan pelbagai tema warisan negara seperti teater, perubatan tradisional, pantun, anyaman kraf dan banyak lagi. Siri kali ini membincangkan tentang peranan dan kehebatan srikandi dalam Dunia Persilatan Melayu.

Umum mengetahui bahawa seni silat Melayu telah diiktiraf sebagai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 12 Disember 2019. Hal ini membuka ruang yang lebih luas untuk mengembangkan seni silat dalam dan luar negara.

Panel pertama, Bibi Aishah Golbal Shah telah mempelajari seni silat sejak berumur 9 tahun. Beliau yang kini merupakan Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mendapat didikan daripada ahli keluarganya sendiri dan kemudiannya mula menceburkan diri dalam acara silat olahraga dan silat persembahan.

Beliau menyatakana bahawa golongan wanita khususnya gadis remaja masa kini perlu tahan lasak. Kaum Hawa boleh menyelamatkan diri dengan seni silat yang mempunyai seni dan teknik tersendiri tanpa perlu menggunakan banyak tenaga. Dengan teknik yang betul, serangan boleh ditumpukan pada bahagian anggota musuh yang lemah tanpa mengira keadaan fizik penyerang.

Zaharah Hatan mula mengenali seni silat sejak berumur 16 tahun. Panel kedua ini kini merupakan Ketua Dewan Srikandi Sunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) dan menjadikan ketangkasan Puteri Saadong sebagai inspirasi. Beliau menyatakan bahawa kepantasan dan kebijaksanaan Puteri Saadong wajar dicontohi wanita pada zaman ini. Beliau turut menambah Puteri Saadong mempunyai ketangkasan dan berani namun dalam masa yang sama, beliau bersikap lemah lembut. Sifat ini terzahir mengikut keperluan keadaan. Seni silat bukan sahaja boleh menjadi gaya hidup sihat tetapi silat juga boleh menjadi sebagai sumber kekuatan jiwa dan mental.

Puteri Saadong, Tun Fatimah, Siti Zubaidah merupakan antara srikandi persilatan Melayu yang wajar diangkat ketokohannya. Golongan wanita di Malaysia tanpa mengira kaum perlu diberikan ruang yang luas untuk meneroka seni silat yang berasal dari Kepulauan Melayu terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina Selatan dan Thailand Selatan.

Meskipun seni silat Melayu sudah mula diterima masyarakat dunia seperti di Amerika Syarikat, Belanda, Jepun, masih terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu untuk mempelajari seni tersebut. Strategi dan promosi berterusan wajar dijalankan agar seni silat boleh berdiri seiring dengan seni bela lain dari luar negara. Siri webinar itu boleh diikuti melalui Facebook Jabatan Warisan Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.