Oleh Adib MN
26 Julai 2021, 00:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hima yang menyimpan kawasan penuh dengan seni lukisan batu antara terbesar di dunia, menjadi tapak keenam di Arab Saudi disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti diumumkan badan itu, Sabtu lalu.

Terletak di barat daya Arab Saudi, Hima memiliki 34 tapak sejarah termasuk prasasti dan perigi di sepanjang laluan yang pernah digunakan kafilah orang Arab Kuno yang berusia 7,000 tahun. Kawasan Kebudayaan Hima yang terletak di lokasi berbukit dan gersang itu, berdasarkan kenyataan UNESCO di laman webnya, mengandungi batu yang memaparkan lukisan mengenai gaya hidup masyarakat kuno ketika itu termasuk berburu, haiwan dan tumbuhan.

Kafilah pengembara dan tentera sering berkhemah di sekitar kawasan itu, meninggalkan lukisan dan petroglif di batuan sehingga akhir abad ke-20 tetapi tidak lekang sampai sekarang.

Inskripsi yang digunakan melibatkan pelbagai jenis tulisan termasuk Musnad, Aramaic-Nabatean, Arab Selatan, Yunani and Arab. Malah, Hima juga kaya dengan sumber arkeologi yang belum diterokai dan dicari gali lagi dalam bentuk batu tanda, struktur berbatu, makam, peralatan batu dan dinding purba.

Lokasi itu juga terletak di perhentian tertua yang diketahui kepada laluan kafilah dagang masyarakat kuno dengan telaga tertua sekurang-kurangnya 3,000 tahun, iaitu Bi’r Hima yang sampai sekarang masih menghasilkan air tawar. Malah, Hima terus menjadi laluan kafilah selepas kedatangan Islam apabila digunakan oleh jemaah haji membabitkan umat Islam dari selatan.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al Saud dilaporkan mengalu-alukan penyenaraian Hima oleh UNESCO itu.

“Negara ini memiliki warisan peradaban yang kaya. Usaha untuk memperkenalkannya kepada dunia sudah membuahkan hasil,” katanya seperti dipetik agensi berita Arab Saudi, SPA.

Pembukaan lokasi sejarah penting dalam peradaban manusia termasuk sebelum Islam itu menjadi antara usaha Arab Saudi menjadikan pelancongan antara sumber ekonomi negara, sekaligus mengurangkan pergantungan kepada hidrokarbon.

Pada tahun 2019, Arab Saudi mula mewujudkan visa pelancong buat kali pertama yang sebelum ini hanya mengehadkan kepada urusan tertentu sahaja seperti perniagaan dan haji serta umrah.

Sebelum Hima, lokasi lain disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO ialah Oasis Al Ahsa Oasis, sebagai Landskap Kebudayaan Berevolusi pada tahun 2018; Seni Lukisan Batu di Wilayah Hail (2015); Kota Bersejarah Jeddah yang menjadi ‘pintu masuk’ ke Makkah (2014); Daerah At-Turaif District di ad-Dir’iyah (2010) dan Tapak Arkeologi Al-Hijr yang dikenali sebagai Madain Salih (2008).

Madain Salih yang menjadi tapak pertama disenaraikan ialah tapak eskavasi terbesar tamadun Nabataean yang berada di luar Petra, Jordan yang memiliki 131 ruang makam dibina daripada bukit batu, tempat takungan air dan inskripsi termasuk daripada zaman pra-Nabataean. Bagaimanapun, makam itu tidak menyimpan sebarang mayat.

Kerajaan Nabataen ialah tamadun dengan wilayah di selatan Laut Merah hingga ke Hijaz bermula abad keempat sebelum Masihi hingga sekitar 106 selepas Masihi. Penyenaraian lokasi sejarah ini juga menjadi peralihan penting kepada Arab Saudi yang dalam sejarah modennya menyaksikan banyak kemusnahan dan pengabaian lokasi sejarah penting terutama yang pernah wujud sejak zaman Rasulullah SAW.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!