Oleh Rozihani Mohamad
28 Julai 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kisah masyarakat sekali lagi menjadi fokus utama dalam program bual bicara Borak Rakyat anjuran Pusat Kebudayaan USIM. Pada saat gelombang ketiga COVID-19 melanda negara, dilaporkan ramai yang terkesan dan baru-baru ini banyak kes dikaitkan dengan tekanan emosi yang dialami oleh masyarakat. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang bermula pada bulan Mac 2020, displin kepatuhan semua pihak dalam usaha membendung penularan kes COVID-19 harus dipuji. Dengan penurunan kes COVID-19 secara konsisten seakan-akan memberi jiwa dan kehidupan baharu dengan harapan situasi kembali seperti sedia kala.

Namun begitu, kini masyarakat sekali lagi berhadapan situasi getir dalam situasi pendemik yang kian meruncing dan membimbangkan. Situasi ini bukan sahaja terkesan oleh oleh mereka yang terlibat dalam sektor pekerjaan swasta, pelancongan, perhotelan, bekerja sendiri dan tidak terkecuali mereka yang terlibat dalam industry kreatif. Dalam siri kedua Borak Rakyat yang menampilkan insan seni tanah air Aziz M. Osman dan Khir Rahman sebagai panel jemputan, apabila ditebak persoalan “survival” anak seni pada musim pandemik dan kekangan berkerja dalam industri kreatif, Aziz memulakan bicara dengan menyatakan bahawa industri kreatif turut menerima tempias apabila tidak dibenarkan mengadakan pengambaran dan sebarang penganjuran program hiburan tidak dibenarkan.

“Ada yang menganggap anak seni atau artis terdiri dalam golongan elit, eksklusif, dan jika lantang bersuara, ada yang kurang senang kerana dikatakan kita sudah memiliki dan lebih berkemampuan jika dibandingkan dengan golongan atau mereka yang sepatutnya menerima bantuan”. Tambahnya beliau melihat golongan anak seni ini dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu pencetus kreatif atau creator seperti pengarah, penulis skrip dan yang kedua iaitu pengamal industri seni terutamanya mereka yang bekerja di belakang tabir seperti krew, jurukamera, jurusolek artis dan sebagainya, mereka seolah terputus mata pencarian pada musim ini. Berlainan dengan creator, mereka masih mempunyai ruang untuk berkarya dan mencipta idea baharu untuk dijadikan sebagai konten.

Sebagai pelakon, penyanyi, pengarah, pelawak dan kini aktif sebagai pengacara Khir Rahman menyifatkan bahawa “survival” mengaitkan semua kerjaya seni termasuk penulis, pelukis, penulis skrip dan sebagainya. Anak seni dikaitkan dengan kerjaya berasaskan bakat. Dengan bakat tersebut, mereka membina kepercayaan masyarakat untuk memendengar, memerhati dan menonton secara visual melalui saluran media elektronik dan sebagainya. Baginya survival bukan perkara baharu yang dialami oleh anak seni, ianya telah berlaku sebelum musim pandemik di mana mereka perlu mencari ruang, peluang, mencipta nama untuk meletakkan nama dalam industri.

“Anak seni secara hakikatnya tidak diadili setimpal dengan hasil kerjanya. Namun disebabkan minat dan bakat mereka miliki kita lakukan dengan sebaiknya. Sebagai contoh, jika pelakon, mereka menerima bayaran secara sekali gus. Berbanding dengan penyanyi, komposer dan penulis lirik mereka menerima royalti. Walaupun nampak berbeza, namun semua pekerjaan seni yang lakukan perlu diikitiraf dan dihargai sebaiknya”. Khir tidak menyangkal bahawa artis kita tinggi dengan sifat ihsan dan mereka bersungguh-sungguh dalam menyampaikan karya, kerana jika ada kerja atau tawaran akan ada pendapatan yang diperolehi.  Namun tidak kurang juga artis atau anak seni yang tidak mempunyai kerja selama enam bulan dan segelintir masyarakat tidak tahu bagaimana mereka menghadapi getir hidup. Beliau terkilan dengan sikap segelintir pihak menganggap bahawa industri kreatif bukan bidang yang ‘berkepentingan’, baginya persepsi ini harus diubah sebaliknya melihat seni juga mendidik masyarakat dan anak-anak seni ini sedang bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, kedua panel menyambut baik langkah strategik kerajaan dalam usaha memulih industri kreatif melalui dana yang disalurkan. Walaupun tidak menyeluruh namun sedikit sebanyak ianya memberi sinar dalam merancakkan kembali indistri kreatif tanah air. Perkongsian Borak Rakyat yang diadakan yang secara dalam talian mendapat maklum balas dan perhatian komuniti seni melalui soalan dan pandangan yang dikemukakan oleh pelayar Facebook turut dikongsi oleh hos.  Borak Rakyat dengan slogan “Kritik Jangan Melulu, Borak Biar Berilmu” bersiaran selama 1 jam 30 minit menggunakan aplikasi Zoom disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan saluran YouTube rasmi Pusat Kebudayaan USIM.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!