3 Ogos 2021, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah menganjurkan program Syarahan Darul Iman yang telah diadakan pada 3 Ogos 2021.  Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Hubungan Malaysia-China dalam Konteks Ketamadunan dari Zaman Bahari Hingga Zaman Kini”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Cisco Webex dan Facebook PPAL UMT.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang hubungan Malaysia-China dalam konteks ketamadunan dari zaman bahari hingga zaman kini. Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerangkan tentang sejarah awal hubungan Alam Melayu dengan China. Beliau menyatakan bahawa hubungan tersebut sudah wujud sejak Dinasti Han lagi. Hubungan Alam Melayu dengan China menjadi lebih jelas ketika abad ketujuh Masihi semasa Dinasti Tang dan kerajaan Sriwijaya. Pada era pemerintahan Dinasti Ming, hubungan antara kerajaan China dan kesultanan Melayu Melaka menjadi lebih pesat. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perdagangan, pengajian agama Buddha, bahasa pemerintahan, dan lingua franca ketika era tersebut. Pada tahun 1405, Maharaja Ming telah menubuhkan akademi bahasa Si Yi Guan untuk melatih jurubahasa. Bahasa Melayu diletakkan di bawah Jabatan Bahasa-bahasa Islam dengan bahasa Arab, bahasa Parsi dan beberapa bahasa yang lain.

Pada peringkat kedua perbincangan pula membincangkan tentang penghijrahan masyarakat Cina ke Tanah Melayu. Penghijrahan itu berlaku disebabkan oleh golongan Cina bekerja di lombong bijih timah dan dibawa masuk oleh British. Sebelum mencapai kemerdekaan, masyarakat Cina dan India telah mendapat kewarganegaraan Tanah Melayu berdasarkan prinsip jus soli. Tanggal 31 Mei 1974, Malaysia dan China telah memeteraikan hubungan diplomatik dan hubungan itu terus dipertingkatkan. Hasilnya, China kini menjadi rakan dagang penting untuk Malaysia dan telah menyumbang perkembangan pesat ekonomi Malaysia. Hubungan itu bukan sahaja tertakluk pada ekonomi sahaja bahkan melibatkan pendidikan, kebudayaan, sosial dan bidang-bidang lain.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!