15 Ogos 2021, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor (JKKNJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBP Wilayah Selatan) menganjurkan program Intelek Seni Seminar Kearifan Tempatan yang telah diadakan pada 15 Ogos 2021.

Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Adat Berpukong Masyarakat Banjar” yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook JKKN Johor. Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang adat berpukong yang diamalkan oleh masyarakat Banjar kepada orang awam.

Program yang menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman; Pemangku Dekan Kolej Universiti Selatan, Johor Bahru sebagai ahli panel, manakala Encik Razid Sahran; Timbalan Pengarah DBP Wilayah Selatan sebagai moderator program. Program ini turut disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Dalam sesi wacana ini, Prof. Madya Dr. Mohd Saipuddin menerangkan sejarah masyarakat Banjar di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa adat dan tradisi masyarakat Banjar sudah mengalami saduran asimilasi daripada etnik Jawa dan Dayak. Mereka banyak mendiami di daerah Kerian, Perak.

Beliau juga menerangkan dengan terperinci tentang adat perkahwinan masyarakat Banjar. Adat berpukong merupakan satu kaedah untuk membedung bayi yang diamalkan oleh masyarakat Banjar. Teknik itu dibuat bertujuan untuk memudahkan bayi tidur dengan cara menimang. Bayi yang ingin dipukung akan berada dalam kedudukan seperti sedang duduk di atas buaian. Bayi yang ditidurkan melalui posisi ini akan berasa lebih selesa jika bayi itu mengalami selsema.

Beliau menambah, ketika ibu sedang menghayun buaian, berlakunya proses komunikasi bukan verbal antara ibu dengan anak melalui hubungan mata. Selain itu, teknik itu merupakan cara terbaik untuk memberikan susu botol kepada bayi. Hal ini demikian kerana bayi itu tidak tersedak disebabkan oleh bayi berada dalam posisi duduk. Adat itu seharusnya dipelihara oleh masyarakat kerana mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.