25 Ogos 2021, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program Ambang Merdeka yang diadakan pada 22 – 31 Ogos 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Keunikan Sabah Citra Kepelbagaian Malaysia”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP. Aninah Janang merupakan moderator program tersebut.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang keunikan kepelbagaian budaya Sabah kepada orang awam. Program tersebut menampilkan seorang orang ahli panel iaitu Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul yang merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul menerangkan tentang keunikan Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan di Sabah. Beliau menjelaskan bahawa masyarakat berbilang etnik di Sabah hidup dengan harmoni dan mempunyai tali perpaduan yang erat. Selain itu, beliau menekankan tentang kepentingan elemen pendidikan yang memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kebudayaan kepada generasi muda. Beliau  menambah bahasa merupakan elemen yang penting dalam suatu kebudayaan. Bahasa memainkan peranan penting untuk memelihara kebudayaan kerana bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dan digunakan untuk menjelaskan kebudayaan sesuatu etnik.

Beliau memberikan contoh bahawa bahasa Kadazan Dusun akan pupus dalam jangka masa 30-50 tahun akan datang sekiranya bahasa itu tidak dipraktikkan dalam masyarakat. Antara faktor yang menyebabkan bahasa etnik  hilang dalam masyarakat ialah mereka mahu bertutur dalam bahasa arus perdana seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.  Selain itu, beliau mahu masyarakat mewujudkan kebudayaan Malaysia agar semua lapisan masyarakat di negara ini mengetahui dan menghormati kebudayaan masing-masing. Beliau berharap agar masyarakat di Malaysia dapat mengekalkan dan memelihara kebudayaan masing-masing agar generasi akan datang dapat mewarisinya.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.