25 Ogos 2021, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seni teater merupakan satu seni yang rumit dan sukar. Teater menggabungkan beberapa cabang kesenian seperti tarian, nyanyian, lakonan dan muzik seni visual. Beberapa aspek penting diperlukan untuk menghasilkan satu pementasan teater yang bagus. Kemahiran penulisan kreatif diperlukan dalam teater untuk menghasilkan jalan cerita dan dialog yang menarik dan memberi kesan kepada penonton. Seni teater juga menggabungkan seni pengarahan, seni rekaan dan seni pertukangan dalam menghasilkan satu pementasan teater yang menetapi jalan cerita. Teater atau pementasan tradisional Melayu di Malaysia merupakan salah satu simbol budaya Melayu yang menjadi tarikan masyarakat kepada seni pementasan.

Pementasan teater Ola Bola the Musical telah diiktiraf oleh Tun Dr. Mahathir sebagai pementasan terbaik yang pernah dipentaskan. Teater tersebut merupakan naskah arahan Datin Dri Tiara Jacquelina telah disifatkan sebagai karja yang lebih baik daripada pementasan Miss Saigon iaitu sebuah pementasan yang paling berjaya di Broadway. Selain itu, pementasan teater Puteri Gunung Ledang juga merupakan antara karya yang terbaik. Teater yang dipentaskan pada Februari 2006 itu dibarisi dengan pelakon handalan, seperti Datin Sri Tiara Jacquelina, Stephen Rahman-Hughes, Adlin Aman Ramli, AC Mizal, dan ramai lagi bakat tanah air. Karya ini dihasilkan oleh gabungan mantab pengarah Zahim Albakri dan pengarah muzik Roslan Aziz memberi efek menarik kepada hasil pementasan.

Industri teater di Malaysia tidaklah berkembang pesat seperti teater di Broadway dan London di Amerika Syarikat berikutan beberapa kekangan yang dihadapi oleh penggiat seni tanah air. Kekurangan ini dapat dilihat apabila promosi yang dilakukan berkaitan dengan pementasan teater kurang mendapat sambutan umum. Dewan bahasa dan Pustaka serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara akan mengadakan festival teater setiap tahun. Pada tahun 2021, featival teater tidak diadakan akibat pandemik dan mungkin tahun-tahun akan datang juga menerima nasib yang sama. Selain itu, industri teater juga berdepan masalah berkaitan dengan politik apabila pihak kerajaan tidak mengiktiraf teater sebagai satu industri di negara ini sedangkan di negara-negara jiran, industri teater dilihat sebagai sesuatu yang simbolik kepada budaya masing-masing. Oleh sebab kerajaan tidak mengiktiraf teater, tiada pihak berwajib yang bertanggungjawab memantau masalah yang dihadapi oleh penggiat seni teater. Mereka seolah-olah dianaktirikan apabila pihak kementerian hanya menentingkan sektor pelancongan, sedangkan teater juga berupaya menjadi penarik kepada sektor pelancongan negara.

Dalam menempuh zaman yang serba moden yang semakin berkembang maju, kemunculan media elektronik dan panggung wayang yang banyak dibuka bak cendawan tumbuh selepas hujan telah mencantas perkembangan industri teater. Media elektronik seperti telefon pintar dan sebagainya dan panggung wayang yang menggunakan teknologi yang canggih menawarkan kualiti gambar yang memuaskan dan menarik masyarakat. Dibandingkan dengan pementasan teater yang dimainkan dan memerlukan imaginasi penonton untuk mentafsir jalan cerita dilihat agak sukar untuk menjadi tarikan pada masa kini. Namun begitu, boleh juga untuk diselitkan unsur teknologi seperti sistem bunyi  atau sistem lampu namun ianya memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi yang dilihat agak sukar untuk dilaksanakan.

Isu kekurangan infrastruktur juga menjadi penyumbang kepada kesukaran industri teater untuk berkembang. Dahulunya, teater berkembang pesat dan seringkali dimainkan di dewan-dewan pementasan seperti Panggung Drama di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Akibat daripada pandemik yang melanda, banyak pementasan ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang melarang sebarang aktiviti berbentuk perhimpunan. Oleh itu, dewan tersebut tidak dapat digunakan untuk pementasan.

Kompleks Budaya Negara dahulunya menjadi tempat latihan dan pementasan teater tetapi telah dijadikan ASWARA. Selain itu, banyak pusat latihan terpaksa ditutup akibat daripada desakan industri yang kurang menerima sokongan pihak atasan dan penonton. Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara menyediakan panggung untuk penggiat teater, tetapi banyak kekurangan pada panggung tersebut seperti prasarana yang tidak lengkap. Panggung tersebut tidak mempunyai kemudahan kalis bunyi, bunyi bising dari luar akan mengganggu latihan dan pementasan berlangsung. Selain pencemaran bunyi, masalah kesesakan lalu lintas juga membuatkan panggung tersebut tidak sesuai untuk digunakan kerana mempunyai masalah tempat letak kereta. Istana Budaya merupakan lokasi strategik yang mempunyai prasarana yang lengkap dan selesa tetapi memerlukan kos yang tinggi untuk menyewa. Jarang sekali penonton ingin mengeluarkan ratusan ringgit untuk tiket pementasan teater. Oleh hal yang demikian, agak sukar penggiat seni untuk mendapatkan tempat di Istana Budaya pada masa sekarang.

Teater melayu sering dikaitkan dengan persembahan yang berunsurkan bangsawan berlatarbelakangkan zaman dahulu kala yang menerapkan elemen peredaran masa. Teater yang dipentaskan juga menyelitkan budaya opera iaitu dengan selingan nyanyian dan tarian untuk menjadikan sesuatu persembahan itu menarik. Persembahan begitu semestinya menarik tetapi jika selalu dipentaskan plot yang sama maka penonton akan mula berasa bosan kerana sudah dapat menjangka pengakhiran. Selain itu, pada zaman dahulu, teater dijadikan sebagai hiburan di masa lapang dan juga sebagai alat perubahan sosial dan menerapkan propaganda semasa zaman Jepun. Jika dibandingkan dengan zaman sekarang, naskah karya yang leboh mementingkan plot yang terlalu biasa seperti percintaan antara dua darjat dan sebagainya. Hal ini juga membuatkan penonton semakin lama semakin tidak tertarik akan teater dan lebih menggemari karya lain.

Industri teater mempunyai stigma yang negatif dalam kalangan segelintir masyarakat. Ada yang mengatakan bahawa dengan menceburi bidang seni, susah hendak “cari makan“ kerana pendapatan yang tidak menentu. Teater juga dicap sebagai sesuatu kerjaya yang tidak dapat menjamin masa hadapan. Perkara ini berbeza dengan industri seni pementasan di luar negara yang rata-rata penggiat seni di sana mempunyai peluang yang luas, bahkan dijadikan sebagai kerjaya seumur hidup. Hal ini terjadi kerana sokongan daripada masyarakat terhadap industri tersebut.

Walaupun industri teater berdepan pelbagai cabaran, masih ada penggiat seni teater yang gah di Malaysia, seperti Nam Ron, Jit Murad, Ahmad Yatim, Roslina Khir dan ramai lagi. Industri teater ini boleh berkembang maju sekiranya masyarakat dan kerajaan memberikan sokongan penuh terhadap mereka yang terlibat. Dengan sokongan yang diberikan dapat memenuhi keperluan, sekali gus dapat mengembangkan industri seni hiburan tanah air dengan penghasilan karya agung berkualiti.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi