26 Ogos 2021, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu  Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah menganjurkan program Kearifan Tempatan Sabah: Nyanyian Etnik Rungus yang diadakan pada 26 Ogos 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Kearifan Tempatan Sabah: Nyanyian Etnik Rungus”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang adat dan nyanyian yang diamalkan oleh masyarakat Rungus kepada orang awam. Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Dr. Raymond Majumah. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Dr. Raymond Majumah menerangkan tentang sejarah masyarakat Rungus di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa etnik Rungus banyak mendiami di bahagian utara Sabah terutama di Kawasan Kudat. Kota Marudu dan Pitas. Etnik Rungus dikategorikan sebagai salah satu daripada 40 etnik Kadazan Dusun oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun kerana terdapat banyak persamaan dari segi kebudayaan. Beliau menerangkan dengan terperinci tentang ciri-ciri nyanyian etnik Rungus.

Antara ciri-ciri nyanyian etnik Rungus ialah penggunaan padanan dalam nyanyian, menggunakan dua lapis ungkapan bahasa untuk maksud yang sama semasa nyanyian, banyak menggunakan istilah rinait dan alam kayangan, menggunakan unsur sumber alam seperti haiwan dan tumbuhan sebagai alat atau bahan kiasan dan tidak menggunakan iringan muzik. Contoh jenis lagu nyanyian Rungus ialah dhihohoi, ondi, sovolhi, rogima, lhumpatiw, suringgat, linsanon, sulangu, koligis, tonggipang, pasak badjong, antabhang, dan kalawot.  Adat itu seharusnya dipelihara oleh masyarakat kerana mempunyai kebaikan yang tersendiri.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.