26 Ogos 2021, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan kaya dengan seni kraf tangan. Salah satu daripada seni kraf tangan di Negeri Sembilan yang masih bertahan dan mendapat perhatian masyarakat Negeri Sembilan, khususnya di Kuala Pilah, ialah tikar pandak.

Proses membuat tikar pandak.

Tikar pandak yang dihasilkan dan diperbuat daripada daun mengkuang atau daun palas telah berkembang dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan, khususnya masyarakat  Melayu di Kuala Pilah, sejak dahulu lagi. Tikar pandak bukan sahaja dijadikan barangan keperluan perhiasan dinding di rumah, malahan digunakan dalam majlis-majlis perkahwinan, bertunang dan adat istiadat istana di Negeri Sembilan. Di samping itu, Tikar Pandak menjadi bahan wajib dalam masyarakat Melayu Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih.

Tikar pandak mempunyai dua saiz, yang berbeza, iaitu empat segi panjang dan empat segi tepat. Di bahagian atas Tikar Pandak tersebut dihiasi dengan pelbagai awan larat atau motif-motif supaya kelihatan lebih cantik dan menarik. Perubahan bentuk tikar pandak  telah  dikesan  sejak  zaman  Neolitik  hinggalah  sekarang.  Perubahan  bentuk motif dan awan larat yang terdapat pada Tikar Pandak adalah dari segi saiz motif dan awan larat yang digunakan. Bentuk tikar pandak masa ini mengalami perubahan sesuai dengan peredaran zaman,  dihiasi  dengan  kain  baldu  dan  bukan  lagi  dianyam  dengan menggunakan daun mengkuang atau daun palas.

Tikar pandak empat segi panjang.

Tikar pandak merupakan jenis tikar mengkuang yang paling awal dicipta, iaitu sejak zaman nenek moyang kita lagi. Tikar pandak dihasilkan berdasarkan bentuk empat segi tepat dan empat segi panjang. Bahagian atas tikar pandak pula ada yang berlapis sehingga dua dan tiga tingkat (bertingkat-tingkat) dihiasi dengan pelbagai motif agar kelihatan lebih menarik.

Dalam majlis perkahwinan di Negeri Sembilan, bagi yang mengamalkan adat perpatih, tikar pandak ini memainkan peranan yang amat penting. Semasa majlis akad nikah misalnya, pengantin  lelaki  hendaklah  duduk  diatas  tilam  kecil  yang beralaskan tikar pandak yang berbentuk empat segi panjang.

Dalam proses penghasilan tikar pandak, motif dan awan larat sememangnya dititikberatkan. Antara motif yang menjadi pilihan termasuklah motif tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna. Motif tumbuh-tumbuhan lebih digemari berbanding dengan motif haiwan. Bahagian  tumbuh-tumbuhan yang  digunakan pula adalah seperti daun, buah, bunga dan akar.

Walau bagaimanapun, motif flora merupakan paling popular dan disukai. Motif flora kelihatan cukup menarik dan sesuai dijadikan sebagai perhiasan dinding. Antara motif flora dan fauna  yang sering digunakan termasuklah lawi ayam, motif tampuk buah manggis dan pucuk rebung turut, yang menjadi pilihan bagi kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi