28 Ogos 2021, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program Ambang Merdeka yang diadakan pada 22 – 31 Ogos 2021. Tajuk siri perkongsian pada kali ini ialah “Patriotisme dan Anak Seni”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP. Syafa Aziz merupakan moderator program tersebut.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyemai dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan orang awam. Program tersebut menampilkan seorang orang ahli panel iaitu Syamel yang merupakan penyanyi popular tanah air. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Syamel menerangkan tentang keunikan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan dan hidup dengan harmoni. Selain itu, Malaysia juga terkenal dengan tempat pelancongan yang cantik dan kelazatan makanan yang mampu menarik perhatian ramai. Beliau menjelaskan bahawa artis perlu membawakan imej dan mesej yang positif kepada masyarakat seperti semangat cintakan negara, saling hormat-menghormati antara satu sama lain, bekerjasama dan lain-lain lagi. Beliau juga menambah karya kreatif mampu memperkenalkan negara di peringkat antarabangsa melalui lagu-lagu tradisional seperti Joget Malaysia dan filem yang menonjolkan elemen kebudayaan dan kesenian tempatan.

Selain itu, beliau menyatakan lagu patriotik boleh memainkan peranan untuk membangkitkan dan menyemarakkan semangat patriotik menerusi penulisan lirik yang baik. Selain itu, penyusunan lagu patriotik yang mengikut peredaran zaman boleh menarik perhatian khususnya golongan muda. Hal ini demikian kerana mereka cenderung untuk mendengar rentak muzik yang terkini. Beliau berharap agar masyarakat di Malaysia dapat mengekalkan dan memelihara keharmonian agar generasi akan datang dapat mewarisi negara dalam keadaan yang stabil.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.