Oleh V. SURESH KUMAR
1 September 2021, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap masyarakat kaya dengan peribahasa yang merupakan ciptaan yang tidak terhingga nilainya kepada kelangsungan hidup masyarakat tersebut. Setiap peribahasa yang dicipta memperlihatkan penghayatan masyarakat pada masa dahulu yang begitu teliti terhadap elemen alam dan persekitaran selain hubungannya dengan kehidupan manusia. Peribahasa juga memperlihatkan usaha masyarakat tersebut dalam menyampaikan mesej tertentu secara halus dan dengan cara yang sopan bertujuan mendidik masyarakat tanpa mengguris perasaan.

Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan kearifan masyarakat Melayu lama dalam penghasilan peribahasa yang merupakan salah satu khazanah warisan yang penting turun-temurun. Penghasilan peribahasa yang melambangkan pemikiran bangsa Melayu mempamerkan sikap, tingkah laku, kepercayaan, amalan, budaya dan struktur sosial golongan tersebut. Peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu lama mencakupi pelbagai aspek kehidupan yang dekat dengan diri dan kerja yang dilakukan oleh mereka. Satu daripadanya ialah variasi peribahasa yang dicipta berasaskan konteks ekonomi dan penggunaan bahasa kiasan tersebut dalam membuka lebaran bicara dalam menyatakan pemikiran penutur.

Penglibatan masyarakat Melayu lama dalam aneka sektor ekonomi tradisional mendorong ciptaan pelbagai peribahasa hasil perolehan ilmu dan pengalaman daripada sektor yang diceburi. Misalnya, peranan dan sumbangan masyarakat Melayu lama dalam sektor pertanian, perikanan dan pertukangan membekalkan golongan ini dengan sejuta cabaran, dugaan dan juga pengalaman. Nilai ilmu, pengetahuan dan kemahiran golongan ini jelas dilihat dalam peribahasa yang dicipta agar menjadi panduan dan pengajaran hidup bagi generasi akan datang. Tidak kira peribahasa tersebut bersifat memuji, menegur, menyindir atau mengkritik sikap dan tingkah laku seseorang individu, tetap dilakukan dengan cara yang halus berpaksikan kesantunan bahasa.

Elemen yang mendasari penghasilan peribahasa berpaut pada gagasan pemikiran bangsa Melayu yang terhasil daripada pelbagai pengalaman yang dilalui atau dihayati dalam persekitaran hidup yang dipengaruhi oleh budaya kerja yang dilakukan. Pengalaman membantu membina kefahaman dan kefahaman ini diungkap dalam bentuk bahasa dan disampaikan secara halus sebagai teladan, nasihat dan pengajaran.

Sebagai contohnya, banyak peribahasa jelas menampakkan perkaitan antara aktiviti pertanian yang dilakukan sebagai pesawah dengan nasihat yang ingin disampaikan secara halus hasil pengalaman daripada kerja yang dilakukan. Peribahasa “berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak” menonjolkan gagasan pemikiran masyarakat Melayu lama terhadap keperluan berfikir dan minda yang matang untuk memanfaatkan peluang yang ada walaupun kurang baik tetapi masih berfaedah sementara menunggu keuntungan yang besar. Pembentukan personaliti dan soal moral ditekankan melalui peribahasa “ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi” yang menekankan keperluan sikap merendah diri walaupun berpangkat mahupun berilmu. Keperluan untuk membina kekuatan dan pengukuhan diri diterapkan dalam peribahasa “ada padi semua jadi, ada beras semua kerja deras” yang memberikan penekanan kepada kemampuan diri sebagai asas pencapaian matlamat atau membolehkan sesuatu pekerjaan dilakukan dengan cepat.

Peribahasa “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” pula menonjolkan gagasan pemikiran masyarakat Melayu lama terhadap harga diri dan keperluan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan pasti. Begitu juga dengan peribahasa “pisang tidak berbuah dua kali” yang membina minda agar lebih berhati-hati dan tidak tertipu atau terpedaya pada kali kedua. Malah, peribahasa “bagai mencurahkan air di daun keladi” menonjolkan gagasan pemikiran terhadap sikap sesetengah individu yang mengabaikan atau tidak mempedulikan nasihat dan pengajaran yang diberi. Kesemua peribahasa ini dapat membuktikan kebijaksanaan masyarakat Melayu lama dalam menggunakan pengetahuan daripada pengalaman dan pengamatan dari konteks aktiviti ekonomi bercucuk tanam lalu mentransformasikannya ke dalam bentuk susunan kata yang indah sebagai ilmu kehidupan.

Selain itu, kehidupan masyarakat Melayu lama yang bergantung kepada rezeki laut dan sungai. Penghasilan peribahasa yang berkaitan dengan pola ekonomi tersebut juga tidak dapat dinafikan kepentingannya sebagai sumber ilmu dan pengetahuan. Peribahasa seperti “alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal tangan”, “ikan lagi di laut, lada garam sudah di sengkalan”, “laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan”, “ikan biar dapat, serampang jangan pukah” dan “pukat terlabuh, ikan tak dapat” mempunyai makna yang mendalam kepada masyarakat untuk difikirkan. Kebergantungan masyarakat terhadap sungai dan laut sebagai sumber makanan memberi laluan kepada penghasilan pelbagai peribahasa yang membayangi pola pekerjaan dan latar persekitaran tersebut tetapi mampu memanfaatkan masyarakat secara umum. Mesej dan ilmu yang terkandung dalam peribahasa ini juga jelas menonjolkan kebijaksanaan orang tua-tua dalam membina minda dan merangsang pola pemikiran yang rasional dalam mengharungi kehidupan.

Malah, lakaran peribahasa juga tidak sunyi dalam persekitaran kerja-kerja pertukangan yang ditujukan sebagai peringatan, panduan dan pedoman yang berguna dalam meniti kehidupan. Hal ini dapat dilihat dengan terhasilnya peribahasa seperti “habis kapak berganti beliung”, “seperti pahat dengan penukul”, “beliung yang besar hayun, kecil makannya” dan “rumah siap pahat masih berbunyi”. Elemen pertukangan timbul sebagai lambang atau objek daripada persekitaran kerja yang dilakukan seterusnya dihubungkaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan agar masyarakat mendapat kefahaman yang mudah dan jelas akan makna peribahasa tersebut seterusnya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Senarai peribahasa ini tidak terhad kepada satu lokus yang kecil. Hal ini dipanjangkan lagi dan meliputi pelbagai bidang cakupan kerja. Yang jelas, setiap satu peribahasa jika diperhalusi mempunyai ilmu dan pengetahuan yang padu demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Setiap satu peribahasa juga tidak bebas daripada menerangkan satu-satu perkara demi membina minda. Hanya manusia yang perlu memperhalus makna tersirat yang dibawanya. Penekanan tetap disasarkan kepada usaha memberi peringatan, panduan dan pedoman dalam melakukan satu-satu kerja. Peribahasa yang terhasil daripada pengamatan ekonomi sebegini sudah tentu amat relevan dengan keperluan semasa masyarakat untuk difikirkan inti patinya dan dimanfaatkan dalam kehidupan. Perkara ini juga amat perlu dalam keadaan masyarakat yang terpaksa bersaing untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masing-masing dalam dunia yang semakin mencabar.

Namun demikian, penggunaan peribahasa pada zaman ini oleh generasi muda semakin pudar. Kemungkinan generasi muda melihat penggunaan peribahasa lebih dikaitkan dengan keperluan masyarakat pada zaman dahulu dan dilihat sebagai satu entiti yang tidak relevan dalam komunikasi seharian pada masa ini. Hal ini merupakan satu kerugian besar kepada generasi muda yang gagal menikmati dan menghayati keindahan peribahasa selain kekuatan ilmu yang terhimpun di dalamnya.

Walaupun pada masa ini masyarakat Melayu mula menceburi pelbagai sektor ekonomi melangkaui sektor tradisi, namun mutiara ilmu berkaitan dengan ekonomi yang terhimpun dalam peribahasa lama tetap penting dan masih dapat digunakan dalam pelbagai aspek. Sekiranya pemodenan dan perubahan zaman, selain perubahan peranan dalam institusi kekeluargaan, mula menghalang penilaian terhadap ilmu dan makna tersirat yang terkandung dalam peribahasa oleh generasi muda, maka peribahasa hanya tinggal sebagai satu ungkapan biasa yang dilafazkan semata-mata apabila perlu. Penghayatan sebenar terhadap keindahan makna peribahasa terus tenggelam dalam dunia yang begitu pantas bergerak.

Yang pastinya, peribahasa tidak mungkin akan hilang. Peribahasa tetap tersemadi dalam rangkuman ilmu selama-lamanya. Namun demikian, dengan adanya sikap acuh tak acuh masyarakat terhadap peribahasa, maka golongan ini mungkin lupa akan kepentingan peribahasa dan maknanya jika khazanah ini tidak dihayati dengan nilai akademik yang terhimpun di dalamnya. Menjadi satu kehilangan besar jika elemen ilmu, nilai kemanusiaan dan  kemasyarakatan yang disajikan melalui peribahasa Melayu ini terpinggir atau tenggelam dalam arus pemodenan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.