7 September 2021, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seni tenunan tradisional telah menghasilkan banyak corak yang indah dan klasik dalam tenunan ikat seperti kain songket, kain ikat loseng dan kalin limar di negara kita. Tenunan ikat sebenarnya bersifat universal dan boleh didapati di seluruh dunia. Antara contoh kain tenunan ialah pua di Sarawak, geringing di Bali dan kasuri di Jepun. Kain tenun, limar dan songket merupakan kain warisan tradisional yang popular semasa pemerintahan Che Siti Wan Kembang, seorang ratu yang memerintah Kelantan dari tahun 1610-1677. Namun, ke mana hilangnya kain limar dii negara kita?

Dalan usaha untuk memperkenalkan kain limar kepada masyarakat Malaysia, pihak National Textile Museum Negara telah mengambil inisiatif dengan mengadakan satu program bicara dalam talian bertajuk “Ke Mana Hilangnya Limar” pada 7 September 2021 yang boleh ditonton secara langsung melalui laman rasmi Facebooknya dan aplikasi zoom. Program bicara secara maya ini berlangsung lebih kurang sejam telah menjemput pakar dalam bidang tenunan limar, Prof. Dr Norwani Md Zawawi selaku ahli panel dan Rosidah Abdullah yang bertindak sebagai moderator.

Budaya tenunan limar berasal dari Patani atau Kelantan Tua yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Langkasuka. Hal ini dapat dibuktikan melalui penemuan bukti kain limar masih ada ditenun di Patani dan Surat Thani. Bahkan, ahli panel pernah ke sana untuk membuat kajian dan mendapati adanya persamaan antara tenunan tersebut dengan kain limar di Kelantan walaupun namanya adalah berbeza iaitu kain Chuan tani. Kain limar merupakan kain ikat pakan yang ditenun mengikut warna, corak dan motif tradisional. Kain limar mempunyai beberapa jenis dan corak dan jika corak dan motif itu bersifat lebih moden, ianya boleh doipanggi sebagai “kain ikat pakan”.

Struktur kain limar terbahagi kepada dua iaitu kain limar lepas atau kain selendang dan kain punca potong. Jenis kain limar pula terbahagi kepada lapan iatu (i) kain limar biasa; (ii) kain limar bersongket; (iii) kain limar Terengganu; (iv) kain limar bersurat; (v) kain limar telepuk; (vi) kain limar ikat loseng; (vii) kain limar pelangi dan (viii) kain limar bersulam. Manakala, corak kain limar ini adalah lebih kurang sama seperti kain songkat iaitu corak bunga penuh, corak bunga. bertabur, corak teluk berantai, corak jalur berdiri, corak jalur melintang dan corak bersurat. Kain limar corak bersurat biasanya digunakan sebagai kain ikat pinggang oleh pahlawan yang ingin pergi berperang dan digunakan sebagai penutup kain keranda. Kain limar digunakan sebagai kain selendang, kain kembang dan kain sarong.

Kepupusan pengeluaran ikat limar bermula semasa berlakunya Perang dunia Kedua iaitu pada tahun 1945. Para penenun terpaksa menghentikan atau mengurangkan operasi kerana kenaikan harga benang sutera dan kapas. Selain itu, kepupusan kain limar juga disebabkan beberapa penenun yang mengetahui teknik ikat tenun ini telah meninggal dunia dan sebilangan kecil yang mengetahuinya tidak akan mengajar penenun yang lain kerana ianya dianggap sebagai rahsia keluarga yang perlu dijaga. Di samping itu, proses menenun ikat limar hanya diajarkan secara lisan tanpa adanya catatan bertulis yang menyebabkan teknik ini tidak dapat diwarisi dengan lebih sempurna. Tenunan ikat limar ini juga semakin pupus kerana kebanyakan penenun lebih suka menenun songket daripada kain limar disebabkan tenunan jenis ini mengambil masa yang lama.

Semoga program tersebut dapat menambah pengetahuan masyarakat Malaysia berkaitan kain limar dan faktor kepupusan  kain ini di negara kita. Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan kain limar bolehlah mendapatkan buku bertajuk Ikat Limar: The Ancient Malay Textile yang ditulis oleh panel jemputan, Prof Dr Norwani Md Zawawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi