Oleh Salman Sulaiman
8 September 2021, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Rossem merupakan seorang kartunis senior Kelantan pernah menempa nama dalam dunia komik Melayu dengan karyanya Konstabel Jabit yang disiarkan secara bersiri dalam akhbar Utusan Melayu/Mingguan Malaysia selama 15 tahun sejak 1978 sehingga 1993. Beliau berpengalaman mengadakan pameran peringkat tempatan dan antarabangsa.

Rossem telah mempamerkan beberapa koleksi lukisannya yang bertemakan rasuah dalam program yang disiarkan di Facebook BBTV pada  8 September 2021. Selain mempamerkan koleksi lukisannya, dia juga berkongsi pengalamannya sebagai kartunis yang terlibat lebih 40 tahun dalam dunia lukisan kartun. Program itu dihoskan oleh Shida Ludin selaku moderator. Rossem mempamerkan empat karikatur karyanya yang telah siap dilukis istimewa untuk program tersebut. Empat lukisan tersebut berkisar tentang rasuah yang dilakukan secara terang-terangan kerana perbuatan itu  sudah menjadi kebiasaan, rasuah bermusim menjelang pilihan raya, rasuah dilakukan oleh watak jerung namun watak bilis sahaja yang ditangkap dan virus rasuah yang perlu dibuang kerana sudah berakar di dalam otak para pelakunya.

Dalam program itu, Rossem telah melukis tiga kartunnya secara langsung ketika program diadakan. Lukisannya yang pertama merupakan wajah seseorang yang sedang lahap memakan satu objek yang disimbolkan dengan huruf “RM”. Kita melihatnya seperti makan dengan lahap apabila mendapati mulutnya begitu luas ternganga. Lakaran yang sangat mudah dan ringkas, namun jelas. Lukisan pertama itu menerangkan tema utama program tersebut iaitu berkenaan isu rasuah.

Kartun kedua pula berupa tiga subjek. Pertama, seorang lelaki yang mungkin sebagai masyarakat awam atau penguatkuasa. Subjek kedua ialah perasuah. Manakala subjek ketiga ialah tong sampah. Lelaki perasuah sedang diangkat oleh lelaki pertama untuk dibuang ke dalam tong sampah. Rossem ingin menggambarkan bahawa perasuh ini sepatutnya dibuang ke dalam tong sampah, mungkin sebagai najis atau barangkali sampah.

Lakaran ketiga juga ringkas, cuma berupa huruf yang membentuk perkataan rasuah itu sendiri iaitu R.A.S.U.A.H. Namun dua daripada enam huruf itu telah diubahsuai dengan begitu kreatif apabila huruf S dibentuk daripada lingkaran gari yang digunakan oleh pihak keselamatan ketika menangkap penjenayah. Kemudian huruf H pula, ditembusi peluru di bahagian palangnya memberi maksud di sesetengah negara luar orang yang terlibat dengan gejala rasuah ini ada yang dijatuhkan hukuman bunuh dengan cara ditembak.

Mengakhiri sesi pada petang itu, Rossem menyampaikan nasihat kepada para kartunis baru, katanya, “Melukis kartun ini tiada guru sebenarnya kerana tidak ada diajar di mana-mana fakulti dalam universiti di Malaysia kecuali bidang animasi sahaja yang ada. Kita perlu berusaha sendiri agar dapat melukis kartun dengan baik dan hendaklah dipastikan terlebih dahulu dengan karya tersebut sama ada kita ingin mengkritik atau sekadar untuk hiburan semata-mata.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.