9 September 2021, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menganjurkan program Siri Syarahan ATMA yang telah diadakan pada 9 September 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Sumbangan Bidang Arkeologi Terhadap Alam dan Tamadun Melayu” yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook ATMA.

Program tersebut  menampilkan  Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad selaku ahli panel merangkap Timbalan Pengarah ATMA. Pada peringkat pertama perbincangan, beliau memperincikan empat sumbangan utama bidang arkeologi terhadap alam dan tamadun Melayu, iaitu menyumbang dari sudut keilmuan dalam bidang arkeologi, merangsang ekonomi tempatan terutamanya dalam bidang pelancongan, menyumbang kepada pembangunan negara menerusi pembinaan infrastruktur dan pemeliharaan warisan serta membina jati diri negara dan bangsa.

Menerusi syarahan tersebut, beliau menjelaskan bentuk muka bumi Alam Melayu dan penghuninya pada era purba. Kerajaan awal di Alam Melayu terdiri daripada kerajaan agaria dan kerajaan maritim. Kerajaan agaria memfokuskan bidang pertanian sementara kerajaan maritim pula menjana ekonomi melalui aktiviti laut. Beliau memberikan contoh tapak arkeologi di Malaysia seperti di Lembah Bujang, Bukit Bunuh, Gua Niah, Sungai Batu dan lain-lain lagi.

Selain itu, penemuan artifak yang berharga di tapak arkeologi boleh menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Beliau memberikan cadangan kepada pihak kerajaan untuk memperkasakan industri pelancongan arkeologi kerana mampu memberikan sumbangan kepada perkembangan ekonomi negara. Pada peringkat kedua perbincangan pula beliau menjelaskan bahawa bidang arkeologi dapat membina jati diri sesuatu bangsa melalui bukti penemuan artifak. Beliau menjelaskan bahawa penemuan artifak itu dapat menjadi bukti penting asal usul sesuatu bangsa dan negara. Program ini turut disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.