17 September 2021, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 6 Julai 2021 yang lalu , Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Wilayah Sabah telah menganjurkan sebuah Wacana Kearifan Tempatan Sabah yang bertajuk “Inovasi Sigar Alternatif Pelestarian Budaya Kadazandusun” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP bagi memperlihatkan secara meluas budaya Kadazandusun kepada dunia luar. Wacana ini dikendalikan oleh Hafifi Haroce dan ahli panel Yang Bahagia, Dr. Rosliah Kiting, Pensyarah Kanan Falkulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sigar menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada kain penutup kepala perempuan, iaitu ketika turun ke sawah. Dr.

Rosliah Kiting menyatakan bahawa sigar ini merupakan pelengkap pakaian tradisi Kadazan Dusun untuk lelaki yang digunakan dalam pelbagai acara atau suatu pekerjaan, manakala bagi kaum perempuan pula disebut sebagai siro.

Siga (etnik Tangara).

Istilah lain yang merujuk kepada sigar adalah “siga” bagi etnik Tangara, “sigar” bagi etnik Bundu, Liwan, Tindal. Sundi pun bagi etnik Lotud atau “sigal” dalam etnik Rungus, sigar kotupu bagi suku kaum Tatana. Hiasan di kepala ini mempunyai persamaan dengan destar atau deta di Negeri Sembilan, tanjak di Selangor, tengkolok di Perak, manakala setangan di Kelantan dan Terengganu. Semua istilah ini merujuk kepada pelitup kepala, tetapi berbeza dari segi bentuk mengikut etnik dan kawasan tertentu.

Di Sabah, sigar diperbuat daripada tekstil jenis dastar yang ditenun dikenali sebagai Podong dalam kalangan masyarakat Iranun. Kemudiannya, dihiaskan dengan renda berwarna kuning. Kain dastar ini berukuran 42 inci lebar dan 42 inci panjang. Latar kain ini mempunyai dua warna, iaitu warna hitam dan warna merah. Penggunaan renda kuning ini bukan bermakna si pemakai itu kaya dengan emas semata-mata atau memiliki harta yang boleh dibanggakan, tetapi warna kuning ini adalah simbolik kekeluargaan kekal yang berasal daripada Tamadun Nunuk Ragang. Masyarakat Kadazandusun menjadikan warna emas kekuningan kekal sebagai lambang persaudaraan atau kekeluargaan yang sukar luntur walaupun terpisah jauh atau lama waktu yang panjang. Pemakaian sigar melambangkan keharmonian, kekeluargaan dan kepahlawanan kepada pemakai yang diukir dalam sulaman kain dastar kemudiannya dijadikan sebagai sigar.

Sigal (etnik Rungus).

Antara keperluan inovasi terhadap sigar termasuklah untuk kelestarian budaya Kadazan Dusun. Keunikan pakaian tradisi ini semakin luntur dan kurang diaplikasikan dalam pemakaian generasi kini. Keadaan ini dapat dilihat penggunaan pelengkap pakaian ini sangat tidak memberangsangkan dalam beberapa jenis sambutan ataupun perayaan yang melibatkan pakaian tradisi.

Proses membuat inovasi sigar ini mempunyai lima aspek penting, iaitu pemilihan bahan, penentuan motif, penyimpanan, hiasan dan lipatan. Inovasi sigar ini dimulakan dengan pemilihan bahan, iaitu kain sarung. Kajian berkaitan motif yang terdapat corak pakaian tradisi etnik dalam rumpun Kadazan Dusun menggambarkan kehidupan masyarakat yang akrab dengan alam sekitar. Motif ini dijadikan panduan dalam memilih kain yang dipilih untuk dijadikan sebagai sigar inovasi agar masih ada nilai dan makna dalam budaya masyarakat Kadazan Dusun.

Secara lazimnya, motif yang sering digunakan berdasarkan alam semula jadi dan haiwan, seperti pucuk rebung, bunga-bungaan, burung dan sebagainya. Motif-motif tersebut diilhamkan daripada kegiatan harian. Penggunaan motif ini menggambarkan keakraban masyarakat Kadazan Dusun terhadap alam sekitar. Misalnya penggunaan motif burung yang menggambarkan kepentingan burung dalam masyarakat ini, iaitu sebagai ubat bagi burung bubut, pembawa berita bagi burung longkug, pembawa rezeki bagi burung tiou dan sebagainya. Motif geometri juga menggambarkan kreativiti masyarakat ini dalam menghasilkan kraftangan dan binaan.

Antara inovasi pembuatan sigar termasuklah teknik lipatan. Kemahiran melipat akan menghasilkan sigar yang cantik, padat dan kemas. Motif yang diletakkan pada pucuk sigar memerlukan kepakaran memilih dan melipat untuk mempastikan motif yang dikehendaki dapat dihasilkan. Bahagian kemuncak dilipat dalam bentuk segi tiga, sementara bahagian bawah dilipat dalam bentuk gulung kemudian dibentukkan menjadi bulat sesuai dengan saiz kepala pemakai.

Akhir sekali, menjahit turut menjadi elemen penting dalam pembuatan sigar. Kemudiannya menghias menggunakan renda kuning atau merah. Secara umumnya, kain sarung yang telah dibentuk dikelilingi dengan renda. Namun demikian, hiasan tersebut tidak mempunyai had dari segi bentuk dan jumlah. Hal ini bergantung kepada kreativiti pembuat dan sesuai dengan kehendak pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, inovasi sigar ini mempunyai pelbagai manfaat, iaitu menarik dan mudah dibuat, kos pembuatannya juga murah dan mampu mengekalkan identiti bangsa. Inovasi sigar sememangnya memiliki nilai dan kelas yang tersendiri kerana keunikan bentuknya dan cara penghasilannya memerlukan penelitian yang mendalam. Penggunaan inovasi sigar menjelaskan adab pemakaian dalam konteks pembuatannya sebagai pelestarian khazanah bangsa yang sangat bernilai daripada luput ditelan zaman bagi mengekalkan budaya Kadazan Dusun pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.