Oleh Rasfan Abu Bakar
20 September 2021, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Datuk Dr. Anwar Ridhwan bukanlah nama asing dalam dunia sastera kebangsaan. Beliau merupakan Sasterwan Negara yang ke-10 dan telah menulis secara aktif semenjak tahun 1970-an lagi. Hingga kini, beliau masih lagi giat menulis disamping menjadi pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan .

Berbicara tentang perkembangan dunia penulisan kreatif di abad ke-21, Dr. Anwar menyatakan bahawa banyak perkara yang telah berubah, terutamanya yang berkaitan dengan dengan teknologi dan komunikasi. Hal ini dikatakan demikian kerana semuanya berada di hujung jari dan maklumat berubah dengan begitu pantas dan cepat. Justeru itu, menjadi kepentingan untuk penulis peka dengan kesahihan maklumat yang diterima itu.

Dr. Anwar juga menambah bahawa perkembangan revolusi industri 4.0 juga mempengaruhi kehidupan harian kita. Revolusi digital ini menuntut perubahan semua pihak agar dapat terus kekal bersaing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden, di samping memberikan kesan langsung kepada dunia pekerjaan.

Sungguhpun dunia bergerak kehadapan, sistem nilai dan budaya timur tetap perlu dipertahankan.  Hal ini perlu dilihat dengan lebih serius agar kehidupan kita lebih bermakna dan kemajuan pula tidak meminggirkan mana-mana pihak.  Jelas beliau lagi, isu integriti, masalah sosial, polarisasi kaum dan jenayah pemerdagangan manusia tetap berlaku, maka di sinilah pentingnya peranan penulis, terutamanya penulis muda, untuk mengetengahkan isu tersebut dan diolah menjadi satu naskhah yang tinggi nilai intelektualnya.

Selain itu, kaedah menulis juga berbeza dengan waktu dahulu. Jika dahulu penulis hanya menulis menggunakan teks sahaja, namun kini penulis harus lebih kreatif dalam persembahannya dengan menggabungkan teks dan multimedia. Gabungan ini akan menarik lagi minat anak-anak muda untuk membaca naskhah sastera kerana tidak lagi berasa bosan dan lebih interaktif.

Konsep buku virtual, teknologi augmented reality atau artificial intelligence perlu diteroka oleh penulis muda kerana menjadi ikutan terkini dalam dunia penulisan. Penguasaan elemen baharu ini akan memberikan satu nilai tambah dalam setiap naskhah kreatif yang dihasilkan kerana lebih kontemporari dan dapat menyebarluaskan, menyuburkan serta menarik minat pembaca muda untuk membaca.  Jika hanya bergantung kepada teks atau illustrasi sahaja, maka akan ketinggalan dan minat membaca sukar untuk dipupuk.

Menurut Dr. Anwar, gabungan naskhah kreatif dengan telefon pintar yang sudah dilengkapi akses internet ini membolehkan sesiapa sahaja membaca dengan mudah pada bila-bila masa. Hal ini menjadi satu bentuk pendemokrasian ilmu dan perlu diraikan dengan menghasilkan naskhah yang bergabung dengan teknologi agar idea penulis itu dapat divisualkan.

Walaupun penggunaan teknologi ini sangat penting, ketekunan penulis dalam menggunakan laras bahasa yang betul adalah lebih mustahak. Penulis perlu bermain dengan kata-kata yang bernas, menggunakan metafora dan bidalan dan tetap mengekalkan unsur-unsur keindahan estetika agar naskhah itu tampil hebat dan memukau. Setiap naskhah perlulah mempunyai unsur pengajaran dan teladan, di samping memberi ilmu dan membijaksanakan pembaca. Dengan teknologi sahaja, tanpa kandungan yang bermanfaat, tidak memberikan faedah kepada sesiapa jua.

Beralih kepada keadaan isu industri buku dan percetakan pula, Dr. Anwar berpendapat bahawa pada ketika ini, satu fasa perubahan bukan sahaja terjadi di negara ini, tetapi menjadi fenomena global. Buku yang dicetak masih ada permintaan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sebagai contohnya, buku berbentuk indie masih mempunyai kelompok pembacanya dan mempunyai komunitinya sendiri yang menyokong buku berbentuk sebegitu. Hal ini dikatakan demikian kerana tema buku sedemikian yang tidak terikat dan bebas.

Bagi buku sastera pula, mungkin pada masa akan datang akan dicetak berdasarkan kepada permintaan. Hal ini dikatakan demikian kerana cetakan digital tidak memerlukan jumlah yang banyak dan dapat dicetak pada jumlah yang sedikit dan cepat untuk disiapkan. Keadaan ini telah pun berlaku dan dijangka akan menjadi ikutan pada sedikit waktu lagi.

Sastera dalam Platform Digital

Ledakan teknologi telah merubah banyak perkara dalam hidup kita. Jika dahulu khalayak umum membaca surat khabar secara fizikal, kini membacanya secara digital. Dahulu ruangan sastera mempunya tempatnya yang tersendiri, kini semakin dipinggirkan kerana halaman surat khabar sudah semakin menipis dan terpaksa pula bersaing dengan ruangan yang lain. Justeru itu, penggunaan platform digital adalah jawapan kepada masalah ini. Kini, sudah tiba masanya ruangan sastera secara digital diperkasakan agar selari dengan peredaran zaman.

Masalah utama yang sering dikaitkan dengan platform digital ini ialah siapakah pihak yang ingin menerbitkannya dan adakah diyakini oleh khalayak umum? Justeru itu Dr. Anwar menyarankan agar pihak-pihak yang berautoriti agar segera merebut peluang ini untuk menjadi peneraju dalam platform digital dan mengkhususkanya dalam kandungan berbentuk sastera.

Sebagai contohnya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka atau universiti, mereka mempunyai kepakaran dan dikenali oleh umum. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak ini masih mengekalkan konsep editorial dan mempunyai prosuder yang tersendiri. Justeru itu, penyiaran naskhah sastera tidak akan dipertikaikan kerana telah melalui proses saringan yang sewajarnya. Yang berbeza ialah dahulu dicetak oleh akhbar, dan kini beralih pula pada platform digital.

Selain itu, pihak akhbar digital yang telah bertapak kukuh di Malaysia boleh juga mengambil inisiatif dengan memperuntukan ruangan tertentu untuk sastera agar kekal subur. Pada masa ini kandungan akhbar digital lebih galak menyiarkan kisah politik, gosip dan hiburan, sedangkan banyak lagi bentuk kandungan yang bermanfaat dapat dihidangkan kepada khalayak umum.

Mengakhiri perbualan, Dr. Anwar berpesan kepada penulis muda agar terus membaca dan mengkaji naskhah yang terdahulu kerana hasil karya yang bermutu dapat dicapai jika penulisnya mempunyai ilmu yang luas.

Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.