Oleh Pena Mutiara
23 September 2021, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan manusia biasa yang luar biasa. Hingga hari ini, setelah lebih 40 tahun meninggal dunia, nama P. Ramlee sentiasa hidup dan menjadi sebutan rakyat dan pemimpin negara ini. Hal ini menjadi tanda dan bukti jelas betapa sumbangan dan jasa yang pernah diberikan oleh seniman agung negara ini tetap dikenang dan dihargai

Mantan Menteri Luar ketika zaman Tuanku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri, Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie, menyifatkan ketiadaan P. Ramlee diibaratkan sebagai terpadamnya pelita tunggal yang menerangi alam seni dan budaya negara. P. Ramlee sebelum pergi menghadap Tuhan telah mencipta lebih kurang 1000 lagu.  Lagu-lagu ciptaan Allahyarham menjadi kegemaran semua peringkat usia pendengar, tidak kira sama ada muda atau tua.  Lagu-lagu ciptaan dan nyanyian P. Ramlee masih lagi malar segar hingga ke saat ini.

Ramlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, merupakan seniman yang berjaya dalam dunia yang diceburinya. Allahyarham berjaya menjadi penyanyi dan pencipta lagu yang terkenal. P. Ramlee dapat bermain muzik dengan baik, bijak berlawak, berlakon dan pandai mengarah filem komedi serta drama masyarakat. Filem P. Ramlee mendapat sambutan hangat sewaktu ditayangkan, terutama filem komedi lakonan dan arahan beliau. Masyarakat tidak pernah jemu dan bosan menonton filem P. Ramlee yang ditayangkan di layar televisyen. Setelah P. Ramlee meninggal dunia, orang yang boleh menjadi seperti P. Ramlee belum lagi ditemui di negara kita. Nyatalah kehilangan P. Ramlee benar-benar satu kehilangan yang sukar dicari ganti.  Ketiadaan P. Ramlee cukup dirasakan oleh kebanyakan orang, baik rakyat jelata mahu pun pemimpin negara.

Menurut Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie yang pernah menjadi Pengerusi Jemaah Pengadil Pesta Filem Asia suatu masa dahulu, banyak anggotanya menganggap P. Ramlee sebagai “Charlie Chaplin Asia” kerana bakatnya yang serba boleh dalam bidang seni lakon, seni mengarah, seni muzik, seni suara, seni cipta, seni kata, seni drama dan apa-apa yang bersangkut paut dengan perfileman.

Allahyarham Abdullah Hussain, penulis terkenal di tanah air, dalam catatannya berjudul “P. Ramlee Dalam Kenangan” dalam majalah Dewan Masyarakat, Jun 1973, menulis, “Ramlee telah tiada lagi. Tetapi namanya akan terus disebut zaman-berzaman. Namanya akan dicatat di dalam sejarah bangsanya sebagai manusia budaya yang pertama, yang telah menjulang nama bangsa dan negaranya dalam dunia perfileman. Dia akan hidup seribu tahun lagi, seperti yang pernah diucapkannya.”

Pernah suatu ketika dahulu pada tahun 1980-an, sebuah syarikat perfileman berura-ura untuk menerbitkan sebuah filem tentang riwayat hidup P. Ramlee sebagai usaha untuk mengenang jasa dan nama tokoh filem Melayu itu. Walau bagaimanapun, entah di mana silapnya, usaha syarikat tersebut tidak menjadi kenyataan.  Dengan kata lain, filem yang dicadangkan itu tidak berjaya dihasilkan.

Sememangnya menghasilkan filem tentang perjalanan hidup seorang tokoh, apatah lagi tokoh itu bukan sebarangan orang, tidaklah mudah.  Justeru itu, agaknya tidak banyak filem-filem yang memaparkan riwayat hidup dan perjalanan tokoh dunia tertentu tidak banyak difilemkan. Menghasilkan filem tentang tokoh amat sukar dan tidak wajar dibuat dengan sambil lewa.

Filem Gandhi misalnya, mengambil tokoh India yang terkenal itu sebagai watak utama. Gandhi menceritakan riwayat hidup Mahatma Gandhi dan liku-liku perjuangannya menuntut kemerdekaan di India. Filem ini satu daripada filem yang hebat dan mendapat sambutan luar biasa pada peringkat antarabangsa.  Banyak sebab yang menyumbang dan menjadikan filem ini hebat dan terkenal.

Pelakon utamanya, Ben Kingsley, berjaya menghidupkan watak Gandhi yang telah meninggal dunia sekian lama itu dalam bentuk, gaya dan rupanya yang sebenar, sama seperti ketika beliau hidup.  Apabila melihat Ben Kingsley, kita seolah-olah melihat Gandhi yang sebenar. Pengarahnya, Richard Attenborough, menghabiskan masanya selama lapan tahun untuk mencari pelakon yang memiliki wajah mirip Mahatma Gandhi. Gandhi dijelmakan ke dalam filem setelah 18 tahun Richard Attenborough membuat penyelidikan. Pelakon yang memainkan watak Gandhi itu terpaksa melakukan beberapa latihan dan cara hidup untuk menyesuaikan dirinya dengan diri Mahatma Gandhi. Tidak hairanlah filem Gandhi arahan Richard Attenborough dinobatkan sebagai filem terbaik tahun 1982.

Untuk tidak melupakan nama dan jasa P. Ramlee, ada pihak tertentu berusaha menyuburkan kembali lagu dan filem karya beliau dan ada pula yang mengabadikan nama P. Ramlee pada tempat atau bangunannya. Persoalannya, cukupkah hanya setakat itu sahaja usaha kita sebagai mengenang jasa seniman agung itu?

Sehubungan itu, ada baiknya kita merenung kata-kata daripada Sidang Pengarang Dewan Masyarakat, Jun 1973, “Membalas budi seniman P. Ramlee yang demikian besar bukan sekadar menyebut namanya, bukan sekadar meletakkan namanya pada tempat-tempat dan bangunan atau jalan raya. Tetapi lebih daripada itu, iaitu berusaha memadamkan kepedihan kehidupan yang dilaluinya sehingga dia terpaksa mengabadikan kehidupan diri kepada golongan pemeras yang menjadi kaya oleh bakatnya yang besar itu.”

Jadi, sejauh manakah kita telah berusaha untuk lari dan tidak menjadi mangsa seperti yang dialami oleh P. Ramlee? Inilah persoalannya yang perlu dijawab apabila kita cuba membicarakan tentang P. Ramlee dan dunianya.  Persoalan ini bukan sahaja berkaitan dengan sosiobudaya, tetapi menjadi persoalan ekonomi dan politik.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi