25 September 2021, 23:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setiap negara di seluruh dunia pastinya memiliki perayaan tertentu yang menjadi tradisi sejak zaman nenek moyang sehingga menjadi tradisi bagi masyarakat pada masa ini. Perayaan tradisi ini disambut dengan meriah setiap tahun tanpa gagal walaupun mencecah ribuan tahun lamanya. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan masyarakat Jepun yang tetap menyambut perayaan tradisi tertentu dan mempertahankannya hingga kini.

Atas dasar itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program bual bicara Cakna Ilmu Luar Jendela yang bertajuk “Hari Raya Samurai” yang disiarkan secara langsung di Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Program yang disiarkan pada 25 September 2021 itu menampilkan secara eksklusif empat orang gadis dari Tokyo, Jepun, iaitu Suzuna Matsuoka, Yuri Nakatani, Yumena Hosokai dan Miki Kobayashi, untuk berkongsi pengalaman tentang perayaan unik yang menjadi tradisi oleh masyarakat di sana. Yang menariknya, keempat-empat gadis Jepun ini amat fasih berbicara dalam bahasa Melayu ketika menceritakan setiap perayaan tersebut.

Menurut Suzuna Matsuoka, atau Suziena, perayaan yang diraikan oleh masyarakat Jepun hingga kini ialah “Setsubun” dan “Hinamatsuri”. Perayaan ini disambut sebagai kepercayaan menghalau unsur kejahatan pada setiap permulaan musim bunga dalam kalendar lama Jepun. Menurut kepercayaan masyarakat Jepun, musim bunga merupakan permulaan tahun baharu dan mereka perlu menghalau “roh” jahat untuk mengelakkan bencana pada tahun tersebut.

Perayaan setsubun.

“Orang Jepun menghasilkan anak patung yang diperbuat daripada kertas dan mengusap badan mereka dengan patung tersebut. Kemudian, patung itu dilepaskan di sungai untuk menghalau unsur jahat ke tempat lain. Itulah permulaan sambutan ‘setsubun’ dan ‘hinamatsuri’,” kata Suziena.

Manakala bagi Yuri Nakatani, atau Yarna, pesta salji turut disambut oleh masyarakat Jepun, terutamanya di kawasan utara Jepun. Pesta salji ini disambut dengan pelbagai aktiviti, antaranya termasuklah seni membuat patung salji.

“Pesta salji paling terkenal di Jepun ialah Pesta Salji Sapporo yang diadakan di wilayah Hokkaido. Pesta tersebut pernah dihadiri hampir 50 ribu pengunjung untuk melihat patung yang diperbuat daripada salji. Pesta salji di sini menjadi terkenal pada tahun 1972 kerana acara Olimpik musim sejuk diadakan di Sapporo pada tahun tersebut,” kata Yarna.

Bagi Yumena Hosokai, atau Yunaidah, pula, perayaan yang menarik di Jepun ialah Shichigosan dan Shougatsu. Shichigosan merupakan upacara untuk mendoakan kesihatan kanak-kanak di Jepun, manakala Shougatsu merupakan perayaan tradisional paling lama di Jepun yang wujud sebelum abad ke-6.

Shichi maknanya tujuh, go maknanya lima dan san maknanya tiga dalam bahasa Melayu. Jadi kanak-kanak berumur tujuh, lima dan tiga tahun diraikan dalam Shichigosan.  Perayaan Shougatsu pula adalah untuk menyambut ‘Toshigamisama’. ‘Toshigamisama’ ialah tuhan yang datang pada tahun baharu dan berjanji bahawa tanaman akan tumbuh dengan banyak dan setiap keluarga akan hidup dengan sihat,” ujar Yunaidah.

Akhir sekali, Miki Kobayashi, atau Mardiah, turut berkongsi pengalaman menyambut perayaan Tanabata, Obon yang disambut oleh orang Jepun tidak kira usia atau wilayah.  Tanabata ialah Perayaan Bintang yang berkaitan dengan musim di Jepun, manakala Obon pula berkaitan  dengan peristiwa agama Buddha yang disebut “Urabone”, yang dicatay pada tahun 606 Masihi.

“Pada hari sambutan Tanabata, orang menggantung sehelai kertas yang tercatat keinginan dan harapan mereka pada daun buluh. Buluh juga merupakan simbol daya hidup kerana tumbuh dengan sangat cepat dan daunnya mempunyai kekuatan pensterilan sehingga dianggap sebagai  suci sejak zaman kuno, seperti digunakan sebagai azimat,” ujar Mardiah.

Perkongsian tentang perayaan tradisional masyarakat Jepun ini jelas menunjukkan bahawa budaya dan tradisi sewajarnya dihargai dan dikekalkan hingga kini, terutamanya oleh generasi muda. Hal ini seharusnya dijadikan sebagai pengajaran oleh masyarakat Malaysia bahawa betapa pentingnya budaya dan tradisi dalam membentuk jati diri dan identiti agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.