28 September 2021, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan Majlis Polemik Sejarah Malaysia sesi ke-47 yang diadakan pada 28 September 2021. Tajuk  program ini ialah “Tamadun Awal Negara Dari Perspektif Sumber Sarjana China”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook Arkib Negara Malaysia. Dr. Mardiana Nordin bertindak selaku moderator dalam program tersebut.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang pengaruh sumber sarjana China kepada tamadun negara. Program tersebut menampilkan tiga  orang ahli panel iaitu Dato’ Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia; Dr. Nasha Rodziadi Khaw, pensyarah Universiti Sains Malaysia dan Muhammad Suhail Ahmad yang merupakan Pengerusi Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Dato’ Goh Hin San menerangkan tentang sejarah kedatangan tamadun China ke Tanah Melayu. Tamadun China mempunyai hubungan perdagangan dengan kerajaan tamadun Kedah Tua. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan relau peleburan besi di tapak arkeologi Sungai Batu. Tapak peleburan besi itu berasal dari tahun 672 Masihi. Selain itu, pelayar terkenal China, Yi Jing belayar ke Pelabuhan Palembang pada tahun 671 Masihi. Beliau tiba 11 tahun lebih awal dari penubuhan kerajaan Sriwijaya. Kemudian, beliau meneruskan pelayaran ke Semenanjung Tanah Melayu dan singgah di Sungai Batu, Kedah. Catatan yang dibuat oleh Yi Jing telah membuktikan bahawa Kedah Tua telah menjadi pusat perdagangan yang penting dari barat dan timur.

Pada peringkat kedua perbincangan, Dr. Nasha menerangkan bahawa Semenanjung Tanah Melayu memiliki lokasi geostrategik yang terletak antara laluan perdagangan China dan India. Kesibukan laluan perdagangan Selat Melaka dan Laut China Selatan ini telah menyebabkan berlakunya proses urbanisasi dan perkembangan ekonomi yang pesat di Semenanjung Tanah Melayu. Hubungan ufti antara China dan kerajaan Nusantara memberika keuntungan kepada kedua-dua belah pihak dari sudut ekonomi dan politik kerana keadaan itu memberikan monopoli perdagangan yang amat menguntungkan kepada kedua-dua belah pihak.

Pada peringkat terakhir perbincangan, Muhammad Suhail Ahmad menerangkan bahawa tentang Tugu Bukit Pelindung Negara yang dikurniakan oleh kerajaan Dinasti Ming kepada Kesultanan Melayu Melaka yang ditadbir oleh Parameswara. Anugerah itu bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan tersebut bahkan mengiktiraf kedaulatan kerajaan Melaka sekali gus menghidari ancaman dari kerajaan Siam Ayutthya. Namun begitu, tiada bukti penemuan arkeologi untuk membuktikan kewujudan artifak ini. Walau bagaimanapun, petikan  penuh artifak itu dapat ditemui dalam rekod rasmi Dinasti Ming iaitu Ming Shi Lu. Bukan itu sahaja, artifak ini turut menjadi subjek utama perbincangan dalam kalangan ahli sejarah sejak dari dahulu lagi.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.