6 Oktober 2021, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya Kerajaan Selangor meneruskan pemberian subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor setelah edisi pertama yang diedarkan pada Januari lalu menerima sambutan yang hangat daripada orang ramai. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merupakan salah satu insentif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor yang memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta kepada industri pelancongan Selangor.

Sebanyak RM1 juta  telah diperuntukkan untuk Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0  merangkumi 10 000 unit baucar bernilai RM100 setiap satu yang akan ditawarkan kepada umum menerusi aplikasi e-dagang terkemuka; Shopee bermula 22 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga baucar pembelian habis ditebus. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ini boleh digunakan untuk membeli pakej pelancongan negeri ini yang ditawarkan secara khusus oleh 28 Agensi Pelancongan Negeri Selangor yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini. Tempoh perjalanan atau penggunaan baucar pula bermula dari 22 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022.

Majlis pelancaran itu telah berlansung di Sunway Lagoon yang merupakan taman tema terbesar di Malaysia dan turut disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial rasmi Facebook Tourism Selangor. Majlis itu telah disempurnakan oleh Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor. Barisan tetamu kehormat memeriahkan majlis ialah Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor; Ishak Maulan, Penolong Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor; dan Calvin Ho, Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks.

Hee Loy Sian berharap agar pemberian baucar itu dapat merancakkan semula industri pelancongan di Selangor.  Beliau juga menyeru kepada semua pengusaha industri pelancongan Selangor menyokong Kempen “Pusing Selangor Dulu!” dan “Splendid Selangor; Take me Anywhere!” yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak Tourism Selangor.

Kempen Pusing Selangor Dulu memberi penekanan kepada inisiatif promosi pelancongan domestik dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak hotel, agensi pelancongan, media dan syarikat penerbangan. Tarikan pelancongan negeri Selangor dapat dipromosikan secara lebih meluas menerusi kempen ini yang giat dijalankan di laman digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor di laman Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok, dan saluran YouTube, dengan tanda pagar #PusingSelangorDulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.