10 Oktober 2021, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam usaha untuk terus mendekatkan seni budaya warisan bangsa kepada masyarakat Malaysia khususnya gnerasi muda, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tetap meneruskan pelbagai program walaupun negara masih lagi dibelenggu dengan pandemik Covid-19. Buktinya, pada hujung minggu ini iaitu pada 8 dan 9 Oktober 2021, JKKN menganjurkan Festival Kota Selatan 2021 @Online secara dalam talian melalui Facebook JKKN TV. Festival itu menggabungkan keunikan seni budaya dari tiga buah negeri selatan Malaysia iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Majlis pelancaran festival yang berlangsung selama dua hari ini disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Pada hari pertama, sesi Citra Malaysia “Senam Pagi Dalam Talian” bersama artis tari kumpulan kesenian JKKN Negeri Sembilan mengambil tempat. Selepas itu, festival diteruskan dengan persembahan pelbagai jenis tarian seperti Tarian Selamat Datang, Tarian Puteri Ledang, Tarian Zapin Tenglu (Pak Akob) dan Tari Ghazal (Empat Dara). Siri webinar bertajuk Datuk Laksamana Hang Tuah dan Empayar Kesultanan Melayu Melaka kemudiannya mengambil tempat dengan dua ahli panel iaitu Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, DRS. Mohd. Nasruddin Rahman dan Mantan Sarjana Tamu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias bertindak sebagai moderator. Hari pertama diteruskan dengan pelbagai program seperti Pertandingan Lagu Loghat Negeri Sembilan, demonstrasi makanan seperti Masak Lada Ikan Pari dan Laksa Johor, jualan produk, persembahan artis, ceramah agama, tazkirah rohani dan banyak lagi.

Festival Kota Selatan 2021@Online bersambung pada hari kedua bermula dengan sesi senam pagi. Sesi diteruskan dengan Jom Bepantun oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Wira Dr. Noor Zari Hamat. Kemudiannya, festival diteruskan dengan demonstrasi masakan seperti Lauk Haram Jadah, sesi jualan produk seperti batik Melaka, pertandingan tarian zapin Johor, Pertandingan Bintang Asli, konsert anak negeri, ceramah agama, tazkirah rohani dan banyak lagi. Festival ini diharapkan dapat memperkenalkan kepelbagaian seni warisan budaya ketiga-tiga negeri selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan melalui persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan dan perkongsian ilmu melalui sesi webinar kepada masyarakat Malaysia. Syabas diucapkan kepada JKKN atas penganjuran Festival Kota Selatan 2021@Online yang meriah walaupun hanya secara dalam talian!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.