24 Oktober 2021, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Negeri Selangor kini telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Sudah pasti ramai dalam kalangan kita yang sedang mencari destinasi percutian untuk dikunjungi bersama rakan-rakan atau ahli keluarga, khususnya bagi melepaskan rindu terhadap keindahan pemandangan matahari terbenam. Individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di negeri Selangor dalam Fasa ini. Kunjungi pantai yang tersenarai di bawah untuk anda merancang percutian hujung minggu nanti!

1) Pantai Remis, Kuala Selangor

Pantai Remis terletak 20km di bahagian selatan Daerah Kuala Selangor iaitu di mukim Jeram. Baru-baru ini, pantai itu dikatakan “kembali bernyawa” ekoran pengumuman kemasukan negeri Selangor dalam Fasa 3. Pantai Remis merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin digemari oleh orang ramai. Pantai Remis sentiasa dibanjiri dengan pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar seperti ikan bakar, kerang rebus dan kerang bakar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

2) Pantai Kelanang, Banting

Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon kayu bakau dan pokok ru. Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya anda membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini untuk keseronokan anak anda!

3)Pantai Cunang, Kuala Langat

Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan ini terletak di Tanjung Sepat. Pantai Cunang merupakan pantai dengan pasir yang memutih sepanjang kawasan hutan bakau. Pantai Cunang merupakan kawasan rehat tradisional yang diusahakan oleh masyarakat peribumi Mah Meri. Pantai Cunang kini telah berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan negeri Selangor, dimana ianya dihiasi dengan rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan juga kedai kraftangan. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan berbasikal di pantai ini.

4) Pantai Bagan Lalang, Sepang

Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di daerah Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian pandai kegemaran seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini merupakan waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir. Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut!

5) Pantai Redang, Sekinchan

Sekiranya anda berada di daerah Sabak Bernam serta inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula? Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut dan anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut yang pastinya segar! Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk anda berehat.

6) Pantai Morib, Banting

Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer? Pantai Morib ini terletak di daerah Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih daripada satu jam dari daerah Klang. Pantai ini amat popular dengan aktiviti pantai seperti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut. Ianya sememangnya sebuah lokasi yang amat sesuai dikunjungi bersama insan tersayang!

Siapa kata negeri Selangor tidak mempunyai pantai yang menakjubkan? Luangkan masa hujung minggu anda dengan mengunjungi pantai yang telah disenaraikan di atas. Bukan sahaja anda boleh menikmati pemandangan laut yang luas, malah anda juga boleh menggunakan kemudahan yang tersedia di pantai tersebut. Jadi sekiranya anda tidak tahu ke mana destinasi pelancongan anda selepas ini, kunjungi pantai yang terdapat di Negeri Selangor pada cuti hujung minggu anda!

Namun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis di negeri Selangor.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.