26 Oktober 2021, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha untuk terus mengarkibkan seni, budaya dan warisan negara selari dengan usaha pelestariannya, Kementerian, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan secara maya program Minggu Budaya Malaysia (MBM) 2021 bermula dari 25 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2021. Program ini merupakan cetusan idea Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Dr. Noor Zari bin Hamat yang bertemakan ‘Bangkit Asal’ iaitu membawa maksud mengangkat atau menghidupkan kembali seni budaya dan warisan negara.

MBM 2021 merupakan salah satu usaha awal MOTAC bagi menterjemahkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang dilancarkan pada 26 Oktober 2021. Program itu juga merupakan program eksklusif MOTAC sebagai wadah manifestasi kepelbagaian seni, budaya dan warisan di Malaysia dengan cara menyediakan ruang bagi mengekspresi keragaman budaya selain mendorong interaksi budaya dalam usaha memperkukuhkan kebudayaan secara inklusif.

Program tersebut melibatkan sepuluh jabatan dan agensi di bawah MOTAC seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Muzium Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan lain-lain lagi. Pelbagai aktiviti menarik telah diatur kepada para pengunjung seperti pengarkiban, pendidikan seni, budaya dan warisan, seni persembahan, seni visual kandungan mansukrip terpilih dan pelbagai program lain sepanjang enam hari program ini berlangsung. Program tersebut dimulakan dengan majlis perasmian pada 25 Oktober 2021 dan telah dirasmikan oleh Menteri MOTAC, Dato’ Seri Hajah Nancy  Shukri.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap program ini dapat menyemarakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara dalam norma baharu dan percaya pelaksanaan program ini juga seiring dengan perancangan strategik dalam Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC bagi memperluaskan aspek promosi untuk menarik minat pelancong mengunjungi Malaysia apabila pintu sempadan dibuka kelak.

Para pengunjung boleh melayari laman sesawang www.mbm2021.com dan platform Facebook MOTAC pada 25 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2021 dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari bagi mengetahui segala pengisian program MBM 2021. Pada hari pertama program ini contohnya, pengujung boleh mengikuti wawancara berkaitan kraftangan Malaysia dengan tajuk seperti Kraf Memperkasa Ekonomi Rakyat dan Inisiatif Pembangunan Produk Kraf: Reka Bentuk Tradisi dan Moden Yang Seiring. Pada hari kedua, pengunjung boleh mengetahui berkaitan arkib moden dan pintar 2030 dan temu bual bersama Ketua Pengarah PNM atau pun wakilnya dan lebih banyak aktiviti menarik pada hari berikutnya sehinggalah majlis penutup program ini yang dijadualkan akan berlangsung pada 30 Oktober 2021.

Bukan itu sahaja, masyarakat Malaysia juga boleh menyertai pelbagai pertandingan anjuran MOTAC bersempena program MBM 2021 seperti Pertandingan Eja jawi oleh PNM dan Pertandingan Kuiz Warisan anjuran JWN. Marilah kita selaku keluarga Malaysia meriahkan program MBM 2021 anjuran MOTAC dengan melayari platform Facebook MOTAC mahu pun laman sesawang yang dibangunkan khusus dan menyertai pertandingan yang dianjurkan bersempena program MBM 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.