27 Oktober 2021, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang diadakan pada 26 Oktober 2021 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Dalam ucapan pelancaran DAKEN 2021, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa dasar itu menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Meskipun negara berjaya melakar kecemerlangan melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1971, namun usianya telah melepasi separuh abad. Sehubungan dengan itu, penggubalan DAKEN 2021 tepat pada masanya untuk terus memperkasakan kebudayaan negara. Menurut beliau, DAKEN merupakan dokumen holistik yang akan dijadikan panduan dalam merencana pembangunan seni, budaya dan warisan negara. Inisiatif itu seiring menjadikan sektor tersebut sebagai pemangkin sosioekonomi Keluarga Malaysia.

Tujuh teras utama yang digariskan dalam DAKEN 2021 berkaitan dengan pelaksanaan seni, budaya dan warisan pada masa hadapan yang merangkumi; Budaya nilai tinggi, Keharmonian masyarakat, Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, Pembangunan dan pengembangan budaya, Pemerkasaan budaya, Penjanaan ekonomi kebudayaan dan Kecemerlangan budaya. Dasar itu akan dilengkapi dengan 39 strategi dan 95 pelan tindakan bagi tempoh pelaksanaan selama lima tahun (2021-2025). Pelaksanaan DAKEN melibatkan empat institusi penting iaitu institusi kekeluargaan, institusi pendidikan, institusi kemasyarakatan dan institusi perkhidmatan.

Sementara itu, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang hadir semasa pelancaran menyatakan bahawa DAKEN akan menjadi insprirasi dan iltizam untuk MOTAC bagi memastikan kelestarian seni, budaya dan warisan agar dapat diwarisi generasi seterusnya. DAKEN berperanan untuk mencorak seni, budaya dan warisan negara agar lebih terarah dan kompetitif pada masa hadapan.“DAKEN ini turut berpayungkan Rukun Negara dan Perlembagan Persekutuan. Ringkasnya, dasar ini milik kita bersama yang perlu difahami, hayati dan hargai. Dasar ini tidak akan meminggirkan mana-mana pihak selari dengan agenda pembangunan sosioekonomi negara. Keadaan ini bermakna rakyat bebas untuk sama-sama mengambil bahagian dalam usaha merealisasikan agenda DAKEN 2021”, ujar Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi