27 Oktober 2021, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemergian pengarah tersohor negara, Mohamad Mohd. Khalid atau Mamat Khalid, kembali kepada sisi Pencipta pada 24 Oktober 2021 membuatkan seluruh negara amat terasa dengan ketiadaannya. Mamat Khalid dan hasil karyanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Semua drama dan filemnya lengkap mengandungi unsur hiburan, pendidikan dan memberitahu sesuatu (easter egg).

Pemergiannya membawa penulis untuk mengunjungi kembali filem Rock yang dihasilkan oleh Mamat pada tahun 2005 yang merupakan bahagian pertama dalam trilogi Rock. Trilogi tersebut adalah rakaman cinta dan cita-cita anak muda. Unsur semiotik, terutamanya pada bahagian tingkap, diletakkan dengan baik untuk “dibaca” oleh penonton.

Filem merupakan medium yang membentuk pemikiran masyarakat, medium kritikan dan juga sebagai dokumentasi sejarah yang merakam sesuatu peristiwa atau fenomena dalam masyarakat. Menurut Hassan Muthalib, Mamat menjadi perakam sejarah hiburan tanah air dan menggunakan filem-filemnya untuk mendedahkan tragedi yang berlaku ke atas muzik rock dan pemuda-pemuda yang terlibat dengannya dalam era 1980-an dan kemudian era kejatuhan rock pada tahun 1990-an.

Pengaruh rock di Malaysia pada tahun 1980-an adalah suatu bentuk fenomena nasional kerana melibatkan pembawaan budaya luar yang sukar untuk diterima oleh masyarakat pada ketika itu. Fenomena rock dianggap sebagai sesuatu yang membawa unsur negatif. Dengan rakaman sejarah ini, Mamat Khalid mahu memperbetulkan persepsi negatif tersebut dan memperlihatkan bahawa golongan rockers ini juga mempunyai aspirasi dan wawasan seperti orang lain.

Filem Rock pada tahun 2005 arahan Mamat Khalid.

Tingkap merupakan simbol kebebasan dan di situlah cara watak utama filem  ini, iaitu Zack, untuk melihat dunia. Menurut Luana Krause, tingkap adalah simbol keterasingan dan kesunyian. Tingkap juga menjadi penghalang yang memisahkan antara dua watak yang mempunyai motif berbeza. Imej pertama Zack dalam adegan imbas kembali ialah beliau berdiri di tingkap rumahnya bersama gitar, sehingga beliau didatangi oleh Amy Mat Piah. Ketika inilah kita diperkenalkan dengan watak utama dan objektif mereka, iaitu bertanding di Battle of The Band.

Setelah digesa oleh ayahnya untuk menghadiri temu duga perkhidmatan awam, Zack ditunjukkan berada antara dua bidang tingkap di biliknya.  Dua tingkap ini seolah-olah menggambarkan dua dunia yang sedang “diperhatikan” oleh Zack, iaitu cita-cita beliau untuk menjadi artis rock dan realiti hidup bahawa beliau perlu mencari kerja yang stabil dan sesuai dengan kelulusannya. Di tingkap ini jugalah Zack didatangi oleh seekor burung belatuk yang memberi beliau ilham dan panduan spiritual sebelum membuat keputusan. Dalam beberapa rujukan tamadun, burung belatuk adalah simbol binatang yang tidak berputus asa. Menurut pengkritik filem Hassan Muthalib, fizikal burung belatuk yang berwarna-warni itu seperti menggambarkan fizikal seorang rockers.  Apakah Zack akan berjaya dalam pencarian makna hidupnya?

Syot tingkap juga diambil sebagai jukstaposisi; ketika adegan Zack sedang bermain di saringan Battle of The Band, ibunya serta ibu kekasihnya, Kathy berbual tentang masa depan anak-anak mereka. Ketika Zack buat pertama kalinya tidak mengikut Rimba Bara bermain muzik, Zack digambarkan berada dalam rumah antara dua bidang tingkap. Salah satu tingkap tersebut tertutup. Satu peluang atau harapan mungkin tidak akan terbuka lagi dan Zack perlu membuat keputusan penting berkaitan hidupnya.

Pada penghujung filem, tingkap sekali lagi memainkan peranan penting. Zack melihat keluar dari tingkap rumah dengan rasa gembira dan optimis ketika majlis perkahwinannya. Kedua-dua tingkap terbuka melambangkan Zack mempunyai pilihan yang luas dalam hidupnya, iaitu dapat meneruskan pekerjaan hariannya dan juga terus bermain muzik. Namun hal ini tidak diketahui oleh Zack sendiri, sehinggalah beliau menemui surat Kathy beberapa tahun selepas itu.

Ada beberapa lagi unsur semiotik yang diatur dalam filem ini yang menghantar beberapa makna. Adegan klip video lagu Dari Sinar Mata menunjukkan ahli Rimba Bara bermain muzik di muzium. Apakah ini sekadar satu parodi kepada klip video rock kapak yang sering membuat penggambaran luar atau apakah yang akan dipamerkan sebenarnya? Genre muzik rock kapak ataupun cita-cita golongan muda di Malaysia dalam bidang seni?

Persoalan jati diri tidak dilupakan oleh seniman jiwa besar seperti Mamat Khalid. Watak Amy Mat Piah mempersoalkan pemilihan nama kumpulan mereka yang diambil daripada bahasa kebangsaan. Beliau memberi contoh beberapa nama kumpulan rock yang menggunakan bahasa Inggeris, dengan tanggapan bahasa Inggeris atau bahasa asing lebih menyerlahkan identiti mereka sebagai artis rock. Adegan ini menunjukkan bahawa anak bangsa masih tidak yakin dengan bahasa sendiri, malah dunia seni juga tidak yakin dengan bahasa kebangsaan. Hal ini dapat dikaitkan dengan kemunculan nama-nama kumpulan rock kapak pada era tersebut yang banyak menggunakan bahasa Inggeris. Ironinya, mereka membincangkan hal ini di bawah atap rumah kampung. Anak-anak muda ini bercita-cita tinggi tetapi tanpa tunjangan yang teguh, perjuangan mereka sekadar berlegar di kampung halaman sendiri.

Tingkap rumah kampung merupakan cara Mamat Khalid melihat dunia. Impian yang besar tetap dapat dicapai tanpa meninggalkan jati diri. Pada penghujung hayatnya, Mamat Khalid bekerja dengan sangat kuat. Karya-karyanya ditinggalkan untuk menjentik dan mendidik dalam jenaka. Mamat berfikir untuk bangsanya dan kita perlu terus melihat dari tingkap yang betul untuk menghargai perjuangan seninya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.