5 November 2021, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karya seni visual dinilai dengan memahami asas dan prinsip seni. Asas seni seperti titik, garis, bentuk, rupa, jalinan dan warna mempunyai karektor dan makna yang tersendiri. Prinsip seni dihasilkan dengan perancangan yang teliti sebelum diorganisasikan menjadi karya untuk dipersembahkan kepada masyarakat. Setelah karya berada dalam pameran, terserahlah kepada khalayak untuk menilai dan pengkarya perlu berlapang dada akan semua pujian atau kritikan.

Kemunculan wabak penyakit berskala pandemik COVID-19 bermula awal tahun 2020 di Wuhan, China yang seterusnya merebak ke seluruh dunia telah mengubah landskap kehidupan sejagat terutamanya dalam bidang kesihatan, keselamatan, ekonomi, agama termasuklah bidang pendidikan yang menerima tempias yang utama.

Bagi para pendidik dan penuntut dari fakulti yang berteraskan pengajian seni visual atau seni lukis yang terdapat di pelbagai universiti awam tentu sekali ada bezanya pengajian secara semuka dengan secara atas talian termasuklah dalam sesi penilaian karya seni visual. Penilaian karya seni visual seperti lukisan, catan, seramik, fesyen, arca dan lain-lain dilihat lebih sesuai dibuat secara bersemuka seperti lazimnya sebelum ini. Penilai dapat melihat, menyentuh, menghidu dan merasai kesan estetikanya secara langsung. Perasaan ini biasanya menzahirkan rasa aroma seni yang tersendiri.

Mutakhir ini, proses penilaian markah terpaksa berubah dengan dibuat secara atas talian. Kuliah tidak dapat berlangsung di universiti manakala proses penghasilan dan perkembangan karya oleh pelajar hanya dibuat dari rumah. Karya akhir pula hanya dapat kepada pensyarah secara pembentangan atas talian. Jesteru itu, bermain di fikiran, adakah markah yang diberikan kepada para pelajar boleh dianggap tepat berbanding pemarkahan secara langsung? Bagaimana pula kesahihan karya dapat dibuktikan apabila proses kreatif ini disiapkan di luar pemerhatian pensyarah?

Dr. Norzuraina Mohd Nor

Untuk itu, penulis telah mendapatkan pandangan daripada Dr. Norzuraina binti Mohd Nor, pensyarah di Jabatan Seni dan Rekabentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Beliau mengakui terdapat perubahan dalam kaedah penilaian karya di mana kaedah penilaian telah beralih kepada kaedah penilaian norma baharu pasca pandemik COVID-19. Jika sebelum ini, karya tiga dimensi dapat disentuh dan dirasai. Kini penilai perlu menggunakan pengalaman dan pengetahuannya hanya secara visual dan gerak rasa untuk menghakimi seluruh proses pengkaryaan. Beberapa prosedur dibuat secara sistematik agar setiap proses pengembangan idea sehingga ke karya akhir dapat diikuti. Para pelajar perlu menepati setiap prosedur penyediaan bahan dan dokumentasi seperti proses perbentangan proposal, pemilihan subjek ungkapan, lakaran  sehinggalah ke lukisan akhir. Malahan, setiap perkembangan proses ini perlu dibentangkan kepada penyelia secara berkala.

Sebagai contohnya, proses penyediaan sesebuah karya catan akan dimulai dengan penyediaan subjek ungkapan (subject matter). Fasa awal ini akan dituruti ke fasa sumbang saran dalam sesi perbincangan dengan pensyarah. Huraian dan penerangan idea dibuat untuk maju ke proses ke seterusnya. Bukti dokumentasi inilah yang telah berubah di mana setiap perincian perbincangan sama da penambahan atau pengurangan idea karya merangkumi bahantara, teknik, teori dan media yang akan digunakan perlu direkodkan oleh para pelajar. Ia dijadikan fail dokumentasi dan disusun satu per satu agar penilai dapat mengikuti setiap fasa dengan jelas. Fail dokumentasi ini pula disusun dan dijadikan salah satu kriteria pemarkahan dalam proses penilaian akhir.

Pada masa ini, rubrik pemarkahan telah disediakan oleh pihak jabatan namun ia telah disesuaikan oleh para pensyarah selagi proses penilaian ini masih dibuat secara bukan bersemuka. Di sini, para pensyarah perlu menggunakan pengetahuan dan pengalamannya untuk menganalisa setiap jenis karya yang dinilai. Secara dasarnya, rubrik yang sedia ada masih relevan dari segi kriteria dan skala pemarkahan.

Dr. Norzuraina menjelaskan bahawa karya seperti seni catan yang indah tentu sekali dapat dihayati jika dapat disentuh, dirasa atau digunakan dengan tujuan estetika. Dalam fasa ini, beliau perlu menggunakan imiginasi dan beberapa rujukan sekitar untuk memahami nilai karya walaupun hanya dilihat secara atas skrin.

Ideosinkrati

Menggunakan pengalaman sebagai seorang yang banyak terlibat dalam penghasilan dokumen-dokumen pendidikan berkaitan Pendidikan Seni di Malaysia, ini membantu Dr Norzuraina dalam memahami dan membayangkan karya yang dipersembahankan secara simulasi. Beliau mengakui walaupun kaedah penilaian ini tidak memenuhi kepuasan penilaian secara bersemuka, namun ia merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan buat masa ini.

Pengalaman sebagai guru seni, pegawai penulis buku teks di Kementerian Pendidikan Malaysia dan pengkaji karya-karya seni visual di Malaysia dapat membantu Dr. Norzuraina memahami dan membayangkan karya yang dipersembahkan. Beliau mengakui walaupun kaedah penilaian ini tidak memenuhi kepuasan penilaian secara semuka, namun ia merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan buat masa ini.

Beliau turut mengakui situasi ini memang mencabar dunia pendidikan. Beliau mengambil inisiatif dengan mempertingkatkan cara penyampaian maklumat yang lebih fleksibel dalam kuliah secara atas talian. Memahami para pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang, tentu akan berlaku kekurangan dan kelemahan dalam perjalanan kelas dan sesi penghasilan karya. Namun, setiap masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan cara yang berhemah dan bersesuaian.

Cara fikir di antara pensyarah dengan pelajar juga perlu berjalan selari dan erat. Para pelajar juga seharusnya memainkan peranan mereka bagi menentukan fokus dan matlamat pengkaryaan mereka bagi setiap mata pelajar yang diambil. Belajar dengan inisiatif secara kendiri perlu diamalkan agar pelajar mampu mengekplorasi proses penghasilan karya walaupun tanpa infrastruktur yang mencukupi seperti bengkel atau mesin-mesin yang diperlukan semasa proses penghasilan karya. Perkara ini jika diambil dari sudut positif ia akan memberi impak yang positif kepada  kemenjadian pelajar dalam meneroka dan memodifikasi bahan dan teknik bagi menghasilkan karya yang berkualiti.

Bloom

Pembelajaran secara aktif berupaya memastikan para pelajar tidak ketinggalan mengikuti pembicaraan dalam kuliah. Pensyarah yang mampu mencuri perhatian pelajar akan dapat menterjemahkan suasana pembelajaran dan pengajaran dengan lebih berkesan. Dengan pendekatan baru yang lebih anjal, matlamat untuk memastikan proses pengkaryaan dapat diteruskan adalah lebih diutamakan. Di sini, rubrik pemarkahan yang disediakan sekali lagi dapat memandu sesi penilaian secara berterusan.

Dr. Norzuraina juga sentiasa mengambil inisiatif tambahan dengan merujuk kepada para pelukis yang lebih arif antaranya seperti Haslin Ismail yang sinonim dengan karya-karya media campuran,  Juhari Said dengan karya-karya cetakan, Khairudin Zainudin dengan gaya catan dan ramai lagi. Malah, beliau turut merujuk kepada kurator dari galeri-galeri untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan maklumat yang perlu untuk dikongsi bersama pelajar.

Sebagai rumusan, proses penilaian karya seni oleh pensyarah tetap perlu dilaksanakan dengan mengambil seberapa banyak inisiatif yang dinamik sepanjang pandemik COVID-19 ini berlangsung. Bagi pihak pelajar seni visual, mereka berperanan memainkan usaha yang sama dengan fokus kepada setiap perkembangan pengkaryaan sehingga di akhirnya, karya yang dipersembahkan mampu dinilai sebagai hasil seni yang berkualiti sebagai potfolio seorang graduan yang berjaya.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.