Oleh Dr. Rosmani Omar
7 November 2021, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Teater bangsawan, Takhta Berdarah yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4 hingga 7 November 2021 mengangkat kembali kisah bangsawan dan sejarah bangsa untuk dihayati oleh masyarakat pada masa ini.

Teater ini memaparkan sejarah salah satu kerajaan Melayu yang wujud di Nusantara, iaitu kerajaan Kesultanan Siak Sri Indrapura yang pernah menjadi wilayah naungan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan kemudiaannya beralih kepada Kerajaan Johor-Riau. Raja Kecil Siak, Sultan Abdul Jalil Rahmad tewas dalam mempertahankan takhtanya dalam Kerajaan Johor-Riau. Walaupun telah beralih takhta menjadi Yang Dipertuan Besar Kerajaan Siak, baginda masih meneruskan peperangan ke atas Kerajaan Johor-Riau dan keadaan ini sekali gus melanggar sumpah yang pernah dilafazkan, iaitu baginda tidak akan menyerang Johor-Riau selepas kalah menentang Opu-Opu Daeng Lima Bersaudara. Perlanggaran sumpah tersebut menyebabkan baginda tidak siuman dan keadaan ini menjejaskan pemerintahan ke atas Kerajaan Siak.

Pertelingkahan antara Yang Dipertuan Muda Raja Alam dengan Tengku Mahmud

Turut ditampilkan dalam teater yang melibatkan tujuh babak ini ialah perebutan takhta antara kedua-dua anakanda Raja Kecil Siak, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Alam dengan Tengku Mahmud yang menyebabkan seluruh Kerajaan Siak mengalami huru-hara dan pada masa yang sama Tengku Kamariah, permaisuri baginda gering dan mangkat. Kemenangan yang berpihak kepada Tengku Mahmud menjadikan Raja Kecil Siak semakin tidak siuman kerana Yang Dipertuan Muda Raja Alam terpaksa keluar dari Siak. Keadaan tersebut menyebabkan baginda sentiasa berada di sisi makam permaisuri baginda sehingga baginda mangkat. Menutup tirai teater ini ialah monolog Tengku Mahmud dan Raja Alam yang menyesal akan perbuatan masing-masing dan bermuhasabah akan diri tentang peri pentingnya persefahaman dan sikap bertoleransi dalam mengekalkan persaudaraan dan takhta kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Teater ini dipersembahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan. Pementasan ini dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia, KPM dan English Language Teaching Center dengan usaha sama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bahagian Profesionalisme Guru, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional dan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dan dipentaskan oleh Kolej Vokasional Gombak dan Kelab Seni Seri Kenchana Malaysia. Teater ini turut dijayakan oleh Kumpulan Kesenian Citra Ugik, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Team Production, Suara Alam, Pak Malit dan Mak Shamsiah, Busana Herin Mansor, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kolej Vokasional Gombak, DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Menteri Besar Selangor dan Incorporated.

Objektif pementasan ini adalah untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia, meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia tentang kemahiran seni berbahasa terutamanya puisi Melayu tradisional dan memelihara serta memulihara khazanah warisan bangsa Malaysia, iaitu teater bangsawan.

nyanyian
Persembahan nyanyian.

Selain nilai sejarah melalui teater, pelbagai aspek bahasa dan budaya ditonjolkan dalam teater ini yang menjadikan teater ini bertambah menarik dan menghiburkan. Antaranya adalah melalui selingan tambahan (extra turn) seperti tarian Pakerena Tuppu Salewangeng, nyanyian Fatwa Pujangga, deklamasi sajak, nyanyian lagu asli, persembahan silat, persembahan Pajaga Makkunrai Wajo dan dendangan syair.

Persembahan silat.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, KPM, YBhg. Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid yang berkesempatan hadir menonton teater tersebut mengucapkan tahniah kepada penganjur dan beliau menyatakan bahawa,

Pementasan ini merupakan satu usaha kolaboratif yang paling baik dan satu perancangan yang besar dan ia menghasilkan sesuatu yang saya rasa lebih hebat daripada blockbuster, dan ini bukan sahaja melibatkan pelajar dari kolej vokasional tetapi juga sokongan daripada pihak luar… Pementasan ini merupakan sesuatu hasil yang baik kepada pendidik dalam melihat kemenjadian murid.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, KPM, YBhg. Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid (tengah) semasa menghadiri persembahan Takhta Berdarah.

Barisan pelakon yang menjayakan teater ini terdiri daripada para pelajar diploma Kolej Vokasional Gombak dan Raja Lawak Musim ke-3, iaitu Talam, Aziz dan Epul serta dibantu oleh penari, pesilat, pemuzik serta persembahan secara berpasangan dan individu.

Turut hadir menyaksikan teater ini ini ialah YBrs. Puan Farah Mardhy Aman (Pengarah English Language Teaching Center), Puan Hajah Zanariah Haji Ahmad (Pengarah Bahagian Pendidikan dan Teknikal Vokasional, KPM), Tuan Haji Yahya Shefee (Pengarah Kolej Vokasional Gombak), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YM Leftenan Bersara Tengku Aman Shah YAM Tengku Seri Asmara Akram Shah (Pengerusi Kumpulan Kesenian Citra Ugik), YBrs. Dr. Haji Muhd. Yusof Ibrahim (Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor), YM Andi Muhd. Irvan Zulfikar (Kerajaan Tuwung, Barru, Sulawesi Selatan), Encik Abu Bakar Effendie Hasjim (Timbalan Presiden CIOFF Malaysia, UNESCO) dan YM Raja Halinuddin Raja Halid (Waris Keturunan Raja Kecil Siak).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi