20 November 2021, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada zaman moden ini, amalan bertamu dan menziarahi antara satu sama lain semakin terpinggir disebabkan kecanggihan alat komunikasi. Melalui panggilan video, kita dapat berhubung secara bersemuka dengan insan-insan yang kita sayangi walaupun beribu-ribu kilometer jauhnya. Namun, apabila situasi menjadi mudah dan senang kita melupakan amalan bertamu sedangkan amalan tersebut dituntut dalam Islam. Semasa zaman Rasulullah S.A.W, amalan bertamu ini amat digalakkan kerana tetamu yang datang ke rumah dianggap membawa rezeki kepada tuan rumah yang dikunjungi. Bukan sahaja amalan bertamu semakin terhakis dalam masyarakat moden hari ini tetapi pengetahuan berkaitan adab bertamu juga semakin cetek.

Bertamu dalam Kamus Dewan bermaksud  datang atau berkunjung. Secara umumnya, bertamu merupakan kunjungan ke rumah orang lain yang tujuannya untuk megeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Masyarakat Melayu merupakan bangsa yang penuh kesopanan dan kesusilaannya mempunyai nilai-nilai hidup yang murni termasuklah amalan bertamu. Masyarakat Melayu sangat menghormati tetamu dan menerima tetamu merupakan satu penghormatan kepada tuan rumah. Safinah Mohamad dalam tulisan Shida Irwana Omar dan Badaruddin Mohamed yang bertajuk “Amalan Hospitaliti Dalam Masyarakat Melayu Tradisional dan Sekarang: Kajian Kes Program Inap Desa di Jalan Bharu, Pulau Pinang” mengaitkan penerimaan tetamu dan tuan rumah dengan nilai orang yang menabur budi dan orang yang terhutang budi iaitu tuan rumah merupakan orang yang menabur budi manakala tetamu merupakan orang yang terhutang budi. Tambahan pula, orang Melayu merupakan penganut beragama Islam sangat mementingkan amalan bertamu.

Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mengeratkan silaturahim dan ukhwah antara satu sama lain. Menurut ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, amalan ziarah ialah merupakan amalan sunat dan sangat dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW kerana sesiapa yang mengamalkannya mampu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Tuntutan amalan ini menjadi lebih berat jika saudara kita itu berada dalam kesusahan atau pun terlantar sakit. Namun begitu, dalam berziarah dan berkunjung, kita sebagai seorang yang beragama Islam sewajarnya mengikut panduan yang digariskan oleh Islam agar segala tindak-tanduk kita tidak menjadi punca kepada terputus atau merenggangkan hubungan silaturrahim. Adab ziarah dan bertamu bukanlah hanya terletak kepada satu pihak sahaja, sebaliknya kedua-dua pihak, iaitu tuan rumah dan tetamu. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa menjaga kelakuan dan adab kita agar amalan kunjung-mengunjungi ini mampu mengeratkan hubungan silaturahim, dan bukanlah sebaliknya.

 

Adab Tuan Rumah

Bagi tuan rumah, tetamu yang bertandang ke rumahnya merupakan satu amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Bukan itu sahja, tuan rumah juga harus memuliakan tetamu yang mengunjungi rumahnya kerana ianya merupakan perbuatan yang terpuji. Hal ini seperti kisah Nabi Ibrahim AS yang memuliakan tetamu dan telah disebut dalam Al-Quran melalui surah ad-Dzariyat, ayat 24 hingga 27. Berdasarkan ayat tersebut, telah digariskan beberapa adab yang boleh diikuti sebagai tuan rumah ketika melayani tetamu yang bertandang ke rumah masing-masing. Antaranya termasuklah:-

  1. Segera mempersiapkan juadah

Selepas mempelawa tetamu masuk, nabi Ibrahim AS terus berusaha mempersiapkan juadah. Namun, masyarakat pada hari ini asyik bersembang sehingga lambat atau ada kalanya terus terlupa menghidangkan juadah buat tetamu masing-masing.

  1. Tidak perlu bertanya soalan sama ada sudah makan atau belum kepada tetamu.

Ada antara tuan rumah juga sekadar manis mulut bertanyakan kepada tetamunya sama ada sudah makan atau belum. Tuan rumah akan menarik nafas lega jika tetamunya memberitahu yang mereka sudah makan. Dalam hal ini, sudah tentulah tetamu akan malu jika mereka menjawab kepada tuan rumah yang mereka masih belum makan.

  1. Tidak memaklumkan atau memberitahu juadah yang sedang dipersiapkan kepada tetamu

Melalui kisah Nabi Ibrahim AS, kita mengetahui bahawa baginda secara senyap-senyap memberitahu isterinya agar menyiapkan hidangan untuk tetamu baginda yang datang. Namun, ada antara tuan rumah ini dengan lantang dan kuat mengarahkan isterinya menyiapkan hidangan buat tetamu yang berziarah.

  1. Menyediakan juadah yang terbaik mengikut kemampuan

Dalam hal ini, ada di kalangan tuan rumah yang kedekut untuk menghidangkan juadah kepada para tetamunya atau pun mereka hanya menghidangkan hidangan yang tidak digemari atau disukai oleh mereka. Sebaliknya, tuan rumah perlu menghidangkan hidangan yang terbaik dan bukannya lebihan atau pun bukan kegemaran mereka semata-mata.

  1. Pastikan juadah mudah dicapai

Jika kita menghidangkan bebrapa jenis hidangan buat tetamu, sudah tentulah mereka hanya mencapai yang dekat dengan mereka. Hal ini kerana mereka malu atau pun tangan mereka tidak boleh mencapainya. Jadi, adalah menjadi tugas tuan rumah untuk menghulurkan hidangan yang jauh kepada para tetamu mereka.

  1. Pelawa tetamu makan

Ada antara tuan rumah hanya menghidangkan hidangan tanpa mempelawa tetamu mereka untuk menikmati hidangan tersebut sedangkan sebagai tuan rumah kita perlu pelawa tetamu untuk makan.

 

Adab Tetamu

Adab berziarah juga bukan hanya tergalas di bahu pihak tuan rumah semata-mata. Bahkan kita sebagai tetamu yang berziarah juga perlu mengkiut adab-adab yang digariskan dalam Islam agar tujuan berziarah dapat dicapai. Pelbagai kisah ketidakpuasan hati pihak tuan rumah boleh kita baca di laman media sosial semasa musim perayaan. Ada yang berakhir dengan pergaduhan dan bermasam muka yang  sememangnya bertentangan dengan tujuan berziarah dalam Islam. Antara adab sebagai tetamu ketika berziarah termasuklah-

  1. Memilih waktu yang sesuai untuk berziarah

Sebagai tetamu, kita perlu memilih waktu yang sesuai untuk bertandang kecuali jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau berlakunya kecemasan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan at-Tirmizi).  Adalah lebih elok, jika kita dapat maklumkan terlebih dahulu kedatangan kita. Hal ini adalah sebaliknya jika tuan rumah tersebut membuat rumah terbuka.

  1. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah

Perbuatan ini merupakan antara adab yang dibuat oleh Rasulullah ketika baginda berziarah. Ketika berziarah ke rumah Ubadah bin Somit, baginda mendoakan tuan rumah tersebut dengan doa yang bermaksud: “Orang yang berpuasa berbuka di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

  1. Tidak duduk terlalu lama sehingga membuatkan tuan rumah tidak selesa

Ada antara kita ketika berziarah, akan duduk dan berborak terlalu lama  sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di pihak tuan rumah. Nabi S.A.W pernah mengingatkan umatnya mengenai hal ini melalui sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan adalah selama sehari dan semalam. Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih dari itu adalah sedekah.  Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah boleh mengeluarkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

  1. Makan dengan segera hidangan yang telah dihidangkan dan tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  2. Jauhi perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan atau menyakiti tuan rumah.
  3. Mengetuk pintu atau membunyikan loceng sebanyak tiga kali dan tidak berdiri langsung mengahadap pintu rumah.

Perbuatan tersebut adalah untuk memelihara maruah dan menjaga aurat penghuni yang berada dalam rumah yang kita kunjungi. Bahkan Rasululullah S.A.W mengelak daripada berdiri berhadapan pintu sebaliknya memilih sama ada di sudut kira mahu pun kanan ketika mendatangi rumah sahabat baginda.

  1. Memberi salam dan berjabat tangan

Ringanlah mulut kita untuk memberikan salam ketika berzirah kerana amalan tersebut sebenarnya membezakan antara umat Islam dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Setelah memberikan salam, berjabatlah tangan sesama mahram. Adab ini merupakan antara tuntutan Rasulullah S.A.W bagi menggambarkan perasaan kasih, gembira dan hormat. Huzaifa Ibnu Yaman menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Apabila dua orang beriman bertemu antara satu sama lain dan selepas mereka memberikan salam saling berjabat tangan, maka mereka dibersihkan daripada dosa mereka sebagaimana daun gugur daeipada pokok.” (Riwayat at- Tabarani).

Tuntasnya, amalan berziarah antara satu sama lain mampu memekarkan silaturrahim bukan sahaja antara sanak saudara semata-mata tetapi juga jiran dan masyarakat. Namun, ianya juga menjadi antara punca yang boleh merenggangkan dan memutuskan silaturahim sesama kita disebabkan oleh kegagalan kita untuk menjadi tuan dan rumah tetamu yang baik dan beradab. Amalan ziarah-menziarahi menjadi satu budaya indah masyarakat kita jika disulamkan dengan adab berziarah dalam Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan tersebut dapat menjadi antara asbab seseorang manusia untuk mengecap nikmat syurga. Mudahan selepas ini kita tidak lagi disajikan dengan cerita kurang enak oleh pihak tuan rumah ketika menerima tetamu masing-masing di laman sosial.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.