30 November 2021, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Populasi warga tua semakin meningkat bukan sahaja di seluruh dunia bahkan juga di Malaysia seiring dengan kecanggihan dan kepesatan teknologi kemudahan kesihatan yang ditawarkan. Walaupun jangka hayat mereka semakin bertambah, warga emas selalunya mengalami penurunan keupayaan daya fizikal seperti pergerakan, pendengaran dan penglihatan selain mudah terdedah kepada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung. Hal ini menyebabkan mereka memerlukan sokongan sosial daripada individu lain terutamanya darah daging mereka sendiri dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup mereka hari demi hari.

Namun begitu, situasi pada hari ini yang menuntut masyarakat bekerja keras dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi keluarga menyebabkan berlakunya pengabaian terhadap warga tua oleh anak mereka. Pada hakikatnya, kedudukan warga tua adalah tinggi dalam budaya Melayu.

Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Dasar Warga Tua Negara (DWTN) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan warga tua sebagai mereka yang telah meningkat usia dan berumur 60 tahun ke atas. Dari perspektif Islam pula, warga emas merujuk kronologi kehidupan manusia yang bermula daripada bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua.

Malaysia merupakan antara negara yang masih berpegang pada konsep ketaatan kepada orang tua dan nilai budaya timur, justeru anak-anaklah yang bertanggungjawab untuk menjaga orang tua baik dari segi adat mahupun agama sepertimana tulisan Roziah Omar dalam bukunya yang bertajuk Kesihatan dan Gaya Hidup: Isu-isu Semasa Kesihatan Masyarakat.

Bukan itu sahaja, masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai masyarakat yang penuh dengan adat dan sopan-santun memandang tinggi dan menghormati sesiapa pun yang lebih berusia daripada mereka sehinggakan individu yang melanggar aturan tersebut dianggap melakukan kesalahan besar yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga.

Dalam budaya Melayu, terdapat nilai kesopanan terhadap orang yang lebih tua khususnya dalam kalangan saudara-mara. Antaranya adalah seperti menunduk ketika berjalan di hadapan orang tua tanda menghormati dan memuliakan; bertutur kata dengan bahasa yang halus dan merendahkan nada suara; meminta izin sebelum keluar ke mana-mana; dan mencium tangan orang yang lebih tua ketika bersalaman.

Orang Melayu juga sangat menjaga tutur bahasanya dengan orang yang lebih berusia. Hal ini boleh dilihat melalui sistem gelaran yang diguna pakai oleh orang Melayu dalam kalangan adik-beradik seperti along, angah, abang, kakak dan sebagainya. Sistem gelaran disebutkan sebagai tanda orang yang lebih muda menghormati golongan yang lebih tua daripada mereka.

Walau bagaimanapun, beberapa faktor dilihat telah menyebabkan anak pada masa kini berhadapan dengan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab menjaga orang tua mereka sehingga berlakunya pengabaian dan penderaan. Antara faktor tersebut ialah struktur keluarga luas semakin beransur pupus disebabkan proses penghijrahan anak-anak muda ke kawasan bandar, jarak geografi dan ketiadaan keluarga asas yang tinggal berdekatan dengan warga tua, golongan wanita yang turut sama menggalas peranan mencari rezeki yang menyebabkan orang tua mereka terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga dan memelihara cucu mereka, peningkatan jangka hayat hidup manusia, dan perubahan sosial dalam komuniti kita pada hari ini.

Undang-undang yang terpakai secara amnya bagi kes penderaan warga tua di Malaysia adalah sama seperti dalam kes keganasan rumah tangga yang melibatkan isteri atau suami, iaitu Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521).

Hal ini membawa maksud secara asasnya, warga tua di Malaysia sememangnya dilindungi oleh undang-undang daripada didera oleh individu lain termasuk ahli keluarga sendiri. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah mendefinisikan orang dewasa tidak berkeupayaan sebagai seseorang yang pada keseluruhannya atau sebahagian nyata tidak berkeupayaan atau lemah oleh sebab kehilangupayaan fizikal atau mental atau tidak sihat atau usia tua yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga pesalah. Definisi ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya seorang warga tua tinggal sebagai anggota keluarga, maka ia dikategorikan sebagai orang dewasa yang tidak berkeupayaan dan mereka dilindungi di bawah akta tersebut. Pengabaian dan penderaan terhadap mereka membolehkan individu yang mendera mereka didakwa di mahkamah.

Dr. Noran Naqiah Hairi bersama Dr. Clare Choo dalam kajian mereka, “Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative” menyatakan bahawa 9.6 peratus daripada 291 responden yang berusia lebih daripada 60 tahun mengalami lebih daripada satu bentuk penderaan.  Hasil kajian mereka juga mendapati bahawa penderaan yang paling biasa atau umum juga merupakan penderaan psikologi berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh penjaga mereka.

Anak-anak perlu dididik sejak kecil agar menghormati dan menyayangi kedua-dua orang tua mereka. Jika tidak dipantau dan dibiarkan berlarutan, masalah pengabaian warga tua akan lebih membarah dalam masyarakat kerana soal kebajikan keluarga tidak lagi dipedulikan.

Pengabaian dan penderaan terhadap warga tua ini merupakan perkara yang memalukan di Malaysia kerana negara ini berpegang pada nilai norma yang menghormati dan menyanjung tinggi ahli masyarakat yang lebih tua. Undang-undang yang lebih spesifik perlu dikuatkuasakan bagi melindungi warga tua daripada menjadi mangsa pengabaian dan penderaan anak dan menantu mereka.

Bersama-samalah kita berusaha untuk membela nasib warga tua di Malaysia yang sering dipandang umpama kain buruk yang tiada nilainya. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa yang tua, manakan ada kita yang muda pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.