Oleh Nur Atiesya
3 Disember 2021, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 1 Disember 2021 yang lalu, menerusi Berita Perdana TV1 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember pada setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia.

Dalam ucapan pengisytiharan tersebut, beliau berkata, “Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 November 2021 yang lalu, bersetuju untuk memasyhurkan satu tarikh dalam bulan Disember sebagai Hari Batik Malaysia. Pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang telah disumbangkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood, iaitu isteri kepada mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.”

Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah gerakan Malaysia Batik − Crafted for the World, untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa.

Batik secara umumnya dikenali sebagai seni menghias corak kain dengan motif hiasan dan bahan pewarna khusus. Seni batik ini dihasilkan dengan menggunakan teknik mencorakkan tekstil melalui proses penerapan lilin dan pencelupan benang. Teknik penghasilan batik ini pada dasarnya telah diketahui selama lebih dari seribu tahun dan telah menjadi sebahagian daripada budaya dunia terutama di Nusantara, malah merangkumi Negara-negara Asia Tenggara.

Seni batik berbeza-beza mengikut negara dan budaya di sesuatu kawasan. Di Malaysia, batik Malaysia dikenali sebagai satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

Menelusuri sejarah batik Malaysia yang penuh keunikan yang tersendiri, motif batik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh alam sekitar seperti flora dan fauna. Motif ini terhasil daripada kepekaan dan pemerhatian masyarakat tradisional terhadap alam di sekeliling mereka. Kebanyakan daripada penggiat seni batik ini mempercayai bahawa apa-apa sahaja yang menarik mengandungi falsafah yang tersendiri, justeru boleh dijadikan sebagai corak batik. Di samping itu, batik juga menjadi lambang penghargaan manusia kepada alam serta menjadi usaha untuk menerapkan unsur alam dalam kehidupan.

Di negara ini juga, batik digunakan secara meluas bukan sahaja sebagai pakaian harian, kain sarung atau pakaian majlis keramaian dan majlis formal, malah ada yang menggunakan batik sebagai alas meja, sarung cadar dan bantal, selendang dan lain-lain untuk kegunaan harian. Bukan itu sahaja, batik turut digemari oleh pelancong asing malah dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing kerana nilai keseniannya yang unik dan menarik.

Corak batik menjadi pilihan untuk kegunaan harian masyarakat masa kini.

Pada masa kini, terdapat banyak corak baharu batik yang digelar sebagai batik moden bagi memenuhi cita rasa manusia yang bertukar-tukar mengikut arus perubahan semasa. Pun begitu, batik tradisional masih kekal relevan dan tetap diminati sepanjang zaman.

Pada hakikatnya, batik ialah lambang identiti bangsa Melayu yang sememangnya perlu dibanggakan dan diraikan sepanjang masa merentasi zaman. Di Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) banyak memainkan peranan dalam menjaga warisan kesenian negara yang tidak ternilai ini. Hingga kini, MOTAC menjalankan usaha melalui kraf tangan Malaysia bagi membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global, sehinggalah membawa kepada perisytiharan tanggal 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia.

Pengisytiharan tersebut membawa harapan kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengamalkan pemakaian serta menghidupkan batik Malaysia. Usaha ini bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia apabila semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan melalui pemakaian batik tempatan.

Saya percaya, pengisytiharan Hari Batik Malaysia akan dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran industri batik negara.”

– YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.