5 Disember 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seni merupakan satu abstrak yang sangat luas dan sukar ditakrifkan dan dinilai. Hal ini termasuklah penciptaan imej atau objek dalam lapangan bidang seperti seni lukis, seni arca, pembuatan percetakan, fotografi dan media visual serta audio yang lain. Selain menjadi luahan kreativiti manusia, seni juga melambangkan adat dan budaya di sesetengah tempat.

Seperti di Negeri Sembilan, terdapat beberapa kelainan dalam perkembangan seni di negeri yang memiliki adat Perpatih dan Temenggung itu berbanding dengan negeri lain. Dalam menjejaki warisan seni di negara ini, seniman Malaysia dengan kerjasama Balai Seni Negara telah melakukan pemetaan seni visual di seluruh negeri di Malaysia berlandaskan ekosistem seni sedia ada.

Pemetaan seni ini turut mengenal pasti karya awam, lorong seni, persatuan, komuniti dan kolektif seni, galeri, studio dan kediaman di seluruh negara. Selain itu, pemetaan ini juga bertujuan mengenal pasti keberadaan perkhidmatan operasi dan pengurusan seni yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelantar seni visual negara.

Hingga 30 November 2021, sebanyak 34 ekosistem seni di Negeri Sembilan telah dikenal pasti yang terdiri daripada 13 karya awam, lapan lorong seni, satu persatuan dan komuniti, lapan galeri studio serta empat ekosistem seni lain.

Bagi ekosistem seni karya awam, ekosistem ini merupakan karya seni arca, tugu, replika, monumen dan juga instalasi awam. Antaranya ialah mercu tanda kapal layar yang terletak di bulatan Batu 6, Kampung Teluk Kemang. Mercu tanda ini melambangkan aktiviti sukan pantai di sekitar Port Dickson yang telah dibina oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Selain itu, terdapat juga beberapa seni arca awam lain di sekitar daerah Jelebu seperti replika tengkolok di Muzium Jelebu, mercu tanda tipografi Jelebu serta replika tangan dan buah-buahan yang melambangkan adat menyambut dan mengalu-alukan tetamu. Di samping itu, terdapat juga replika pokok di AEON Nilai dan mercu tanda tipografi Kuala Klawang serta beberapa mercu tanda lain seperti arca pintu gerbang yang terdapat di Muzium Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Selain karya awam, lorong seni merupakan jejak seni kedua tertinggi di Negeri Sembilan. Lorong seni merupakan lukisan dinding termasuklah mural dan grafiti. Antara lorong seni yang paling popular di Negeri Sembilan ialah lorong seni yang terletak di Jalan Dato Sheikh Ahmad, Bandar Seremban apabila terdapat lebih daripada 30 lukisan mural dengan pelbagai cerita tempatan dan teknik lukisan dinding.

Sumber: Portal Majlis Bandaraya Seremban.

Lorong Seni Seremban sepanjang 250 meter ini memaparkan pelbagai lukisan mural bertemakan sejarah Malaysia dan Negeri Sembilan khususnya. Namun begitu, lorong tersebut kini dalam proses naik taraf dengan kemudahan awam untuk keselesaan pengunjung bagi menjadikan ia sebagai tempat tarikan pelancong.

Sumber: Portal Majlis Bandaraya Seremban.

Bagi persatuan, komuniti dan kolektif pula, mereka merupakan sekumpulan penggiat seni yang menjalankan program dan aktiviti bersama kumpulan sasaran. Terdapat Persatuan Pelukis Negeri Sembilan yang aktif menghasilkan lukisan dan pameran. Mereka telah menjalankan pameran seni di Galeri Istana Seri Menanti pada Januari lalu.

Sementara itu, satu-satunya kolektif yang terdapat di Negeri Sembilan buat masa ini merupakan Rats Seremban. Kolektif ini ditubuhkan pada tahun 2019 dan bermula sebagai komuniti papan selaju yang kemudiannya berkembang menjadi komuniti grafiti disebabkan oleh penglibatan pelukis grafiti dalam kolektif ini.

Rats Seremban mempunyai 10 orang ahli utama yang terdiri daripada empat orang pelukis grafiti dan enam orang ahli papan selaju. Mereka aktif dalam memenuhi ruang awam dan lorong-lorong seni dengan lakaran grafiti yang menarik dan bertemakan budaya Negeri Sembilan di sekitar Seremban, Port Dickson dan Lembah Klang.

Kolektif ini bercita-cita untuk mewujudkan budaya jalanan yang sihat dengan mengangkat seni grafiti supaya diterima masyarakat sebagai satu seni dan bukannya budaya vandalisme, seterusnya melahirkan komuniti belia yang aktif dan kreatif kerana dengan penubuhan komuniti seperti ini dapat mengelakkan aktiviti yang tidak sihat dalam kalangan golongan belia.

Mereka percaya bahawa lukisan mural dan grafiti boleh menjana dan mencantikkan semula ruangan atau lorong yang terabai bahkan dapat dijadikan kawasan tarikan pelancong. Komuniti ini mahu meluaskan seni mereka ke daerah lain selain Seremban dan Port Dickson.

Di samping itu, terdapat juga beberapa Galeri Studio di Negeri Sembilan. Galeri Studio merupakan satu ruang awam dan persendirian yang menjalankan aktiviti dan program seni bersama kumpulan sasaran. Antaranya ialah Studio Chincarok yang dimiliki oleh seniman Sharon Chin. Studio ini terletak di Lot 1699, Jalan Toh Kee Kah, Port Dickson. Studio ini telah mula beroperasi pada tahun 2018 dan merupakan ruang penghasilan karya beliau yang banyak dipamerkan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Selain lukisan, beliau juga mahir dalam seni cetakan. Lebih menarik lagi, Sharon menggunakan bahan terpakai seperti sudu, kotak jus dan susu untuk menghasilkan seni cetakan di studio beliau.

Seterusnya, galeri yang paling popular di Negeri Sembilan ialah Galeri Istana Lama Seri Menanti. Galeri ini merupakan ruang seni yang berada di Istana Diraja Seri Menanti. Istana yang dibina pada tahun 1902 ini merupakan sebuah istana lama dengan keunikan binaan yang tidak menggunakan sebarang paku dalam pembinaannya.

Sumber foto: Portal Rasmi Majlis Daerah Kuala Pilah.

Istana Seri Menanti memiliki ciri seni bina Minangkabau yang unik, berketinggian 65 kaki dan mempunyai 99 tiang kayu. Kerawang dengan pelbagai motif bunga juga menjadikan istana ini sebagai sebuah istana lama yang istimewa dengan sejarah seni bina Melayu. Galeri yang ditempatkan di ruang istana lama ini juga mempamerkan bahan peninggalan sejarah seperti senjata api, pakaian serta dokumen adat dan tradisi berkaitan diraja dan adat perpatih.

Ekosistem yang lain pula ialah perkhidmatan pengurusan seni, kedai peralatan seni, universiti dan sekolah seni, servis lelongan karya seni dan lain-lain. Satu daripada perkhidmatan pengurusan seni yang terdapat di Negeri Sembilan ialah Syarikat Studio Art Eden Enterprise yang dimiliki oleh Mohd Fairuz Paisan yang juga merupakan seorang pengkarya dan usahawan seni.

Studio Art Eden ini telah mula beroperasi pada tahun 2004 dan menyediakan pelbagai perkhidmatan seni termasuklah servis pemasangan karya seni, perkhidmatan ubah suai galeri seni, penghasilan prop latar belakang untuk pementasan teater dan pementasan persembahan konsert, perkhidmatan catan mural dinding dan arca awam, konsep hiasan dalaman dan juga servis rundingan seni.

Encik Fairuz yang juga dikenali sebagai Po’oi telah menghasilkan karya seni di seluruh dunia. Antara karya seni yang telah dihasilkan oleh beliau ialah projek mural dan menyepuh emas di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2004, projek mural kapal persiaran di Hamburg Germany pada tahun 2005 dan 2006, serta banyak lagi projek antarabangsa yang lain.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa karya seniman Malaysia diiktiraf dan diangkat di peringkat dunia. Maka itu, kita hendaklah bersama-sama menyokong dan memartabatkan warisan seni di Malaysia dengan menghargai dan mengiktiraf karya seniman tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.