5 Disember 2021, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar ‒ “Dalam usaha menjadikan Perlis destinasi ekopelancongan yang terbaik, beberapa strategi wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Antaranya, penduduk setempat perlu dididik tentang kepentingan warisan alam semula jadi dan pengurusan pemuliharaan dalam melindungi alam sekitar,” demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau Gua Bukit Ngulang tengah hari semalam.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis melakukan tinjauan di Gua Bukit Ngulang, Perlis.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Pengerusi Kelab Sukarelawan Pelancongan Negeri Perlis, Encik Zulkifli Md Jusoh dan Pengusaha Riverview Homestay, Encik Mohd Azrif Md Amin.

Dalam titah DYTM Raja Muda Perlis juga, baginda menekankan strategi lain yang boleh dimanfaatkan, iaitu dengan meningkatkan kesedaran terhadap penduduk tempatan, menyediakan hospitaliti dan kemudahan terbaik, pengurusan acara yang lengkap, serta memperkenalkan rangkaian maklumat untuk pelancong dan pengunjung.

Pada masa yang sama, teknologi terkini hendaklah dipergiatkan dengan cara mempromosikan ekopelancongan menerusi media sosial kerana ramai yang mencari rujukan melalui sumber dalam talian seperti laman web, blog, vlog dan ulasan secara langsung oleh personaliti terkenal yang menjadikan sesuatu destinasi itu tular.

Rombongan DYTM Tuanku Syed Faizuddin menerokai keunikan alam di Perlis yang berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan pilihan masyarakat.

Tambah DYTM Tuanku Syed Faizuddin, “Pelancongan lestari perlu diwujudkan, antaranya termasuklah melalui pemuliharaan terhadap spesies terancam yang diperketat bagi menjadikan kawasan tersebut dikenali di negara lain dan sebagai subjek perundangan pemuliharaan alam.”

Terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih milik Encik Rasmadi Hassan, Encik Marzuki Yeem dan Puan Siti Rabedah Ismail dalam kariah Santan Baroh bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM700 setiap seorang, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah dalam Program MAIPs Peduli Khas COVID-19.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosioekonomi asnaf MAIPs berupa sumbangan peralatan dapur tiga tungku untuk perniagaan warung makanan yang diusahakan oleh Encik Zulkufli Mohamad di Batu 3 1/2, Jalan Santan Padang Pauh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.