6 Disember 2021, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival Ekosistem Seni Malaysia (MAEF) 2021 anjuran Balai Seni Negara (BSN) bertujuan menghidupkan, menyokong dan membantu penggiat industri seni tanah air ke arah pemulihan ekonomi akibat COVID-19. Program di bawah Bitara Seni Tenggara yang berorientasikan kelestarian ekosistem seni ini cuba memberikan semula harapan kepada industri seni visual negara.

Berlangsung pada 3 sehingga 5 Disember 2021 lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), MAEF 2021 merupakan program utama berorientasikan kelestarian ekosistem seni yang bertumpu pada pameran karya, produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh pemain industri seni untuk diperkenalkan kepada khalayak.

MAEF 2021 memperlihat kesatuan ekosistem industri seni negara yang bukan hanya melibatkan pelukis dan galeri seni sahaja, tetapi didokong oleh pelbagai pihak yang turut menggerakkan industri ini, termasuk institusi pendidikan (sekolah seni), penyedia perkhidmatan seperti pembekal peralatan, rumah lelongan, penganjur acara, pembingkaian, pembungkusan, penghantaran, kurator, konservasi karya, rekaan dan penerbitan, serta perkhidmatan seni lain.

Pameran seni visual dalam MAEF 2021.

Terdapat juga aktiviti seperti bicara seni ekosistem, seni digital, dan metaverse, bicara seni bakat mahasiswa, bicara seni digitalisasi seni, dan bicara seni perjalanan seni mural, serta aktiviti senaman bersama-sama peserta oleh Alam Wakaka, demonstrasi seni karikatur Malaysia oleh Tazidi/Pauh/Rumah Kartun, bengkel mewarna arca oleh Nuriman Amri Abd. Manap, demonstrasi seni pensil oleh Uneh, pertunjukan fesyen oleh peserta Young Art Enterprenuer (YAE), dan “Bedah Buku Jejak Artis” oleh Dr. Issarezal. Ada juga persembahan muzikal Rebana Busking, gurindam Orkes Keroncong Arif Lukisan (OKAL), dan persembahan nyanyian oleh selebriti tanah air seperti Marsha Milan Londoh, Dafi, dan Idris Brown.

Sehubungan ini, Ketua Pengarah BSN, Amerrudin Ahmad berharap penganjuran MAEF 2021 mendapat sokongan berterusan daripada penggiat seni, serta seluruh masyarakat bagi melengkapkan gelung ekosistem, dan fasiliti seni visual Malaysia dalam mewujudkan ramai rakan strategi, pelapis dan pengiktirafan seni kearifan tempatan yang diwacanakan pada peringkat nasional.

Para pempamer yang menyertai MAEF 2021 dibahagikan kepada empat kategori, iaitu pendidikan (institusi pendidikan yang menawarkan kursus kesenian secara khusus, dan universiti awam/universiti swasta), penggiat/usahawan seni (penggiat seni dan budaya, termasuk dalam bidang perkhidmatan mural, graffiti commissioning dan yang mengeluarkan produk), muzium/galeri (galeri seni yang terdiri daripada organisasi kerajaan, dan swasta), dan penyedia perkhidmatan seni (memperkenalkan syarikat yang menawarkan produk atau perkhidmatan berkaitan seni).

Kategori pendidikan diwakili enam buah institusi pendidikan termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penggiat/usahawan seni pula dengan 16 buah termasuk Persatuan Kakiseni, dan YAE!; muzium/galeri diwakili 22 buah termasuk Galeri Shah Alam; dan penyedia perkhidmatan seni dengan 13 buah termasuk Art Market Malaysia.

Majlis perasmian MAEF 2021 disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dato’ Tom Abang Saufi, yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Dalam ucapan Dato’ Tom, beliau memberitahu bahawa aktiviti pelancongan seni dan budaya negara mencatatkan pulangan pelaburan sebanyak RM585.4 juta pada tahun 2019, serta merupakan antara agenda yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12, dan Dasar Kebudayaan Negara. Justeru, beliau berharap penglibatan dan hasil MAEF 2021 dapat memberikan impak positif dalam sinergi pelancongan negara.

Beliau turut mengumumkan pemberian sumbangan kepada para penggiat seni visual yang terlibat dengan MAEF 2021, iaitu insentif kewangan berjumlah RM3000 setiap seorang untuk memulih, dan merancakkan semula kegiatan kesenian masing-masing.

Ini merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan ekonomi dan kemakmuran bersama untuk para penggiat seni visual, dan wajar disokong oleh semua pihak agar hasilnya dapat dinikmati.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.