Oleh Nur Suria
6 Disember 2021, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di Malaysia, terdapat kira-kira 140 ribu orang Asli yang dibahagikan kepada tiga etnik utama, iaitu Semang, Senoi dan Melayu Proto. Suku kaum Mahmeri dalam kumpulan Senoi ialah masyarakat orang Asli yang telah lama bertapak di Pulau Carey, Selangor.

Masyarakat Mahmeri dikenali sebagai orang hutan. Mereka juga disebut sebagai orang pesisir dan ada juga yang menggelar mereka sebagai orang laut. Namun begitu, menurut Dr. Samsur Rijal Yahaya yang merupakan Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya dalam kajiannya tentang orang laut, masyarakat Mahmeri tidak boleh dipanggil sebagai orang laut kerana tidak cukup kategori atau ciri-ciri orang laut. Orang laut mempunyai sembilan ciri khusus dan antara ciri orang laut tersebut ialah kebolehan mereka menyelam antara lima hingga 13 minit.

Masyarakat orang Asli Mahmeri kini melalui proses perubahan yang merupakan satu revolusi kehidupan. Revolusi pada kali ini tertumpu pada penghasilan serta pengeluaran produk kraf yang bernilai tinggi dan merupakan nilai komersial yang menjadi daya tarikan utama pelancong dalam dan luar negara. Pengekalan motif rekaan Mahmeri berupaya menonjolkan keunikan dan mempamerkan nilai estetika yang tersendiri.

Umum mengetahui masyarakat orang Asli khususnya Mahmeri sememangnya sentiasa menghargai alam sekeliling mereka. Pokok-pokok tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya. Menurut kepercayaan masyarakat Mahmeri, pokok tidak akan ditebang jika ada helang berkeliaran di kawasan tersebut kerana hal yang demikian memberikan petanda yang tidak baik buat si penebang.

Gambar hiasan

Kraf ukiran kayu berbentuk topeng dan patung merupakan antara penghasilan karya kreatif terkenal oleh orang Asli Mahmeri Pulau Carey dan lazimnya digunakan sebagai perhiasan. Antara yang menarik perhatian ialah ukiran patung harimau berantai yang merupakan satu daripada ukiran arwah Pak Pion, orang Asli Mahmeri yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, kemudian seni ukiran ini diteruskan hingga hari ini.

Kerja mengukir bukanlah kerja yang mudah kerana memerlukan kebolehan dan kemahiran seseorang tukang; melibatkan banyak proses; serta memerlukan persiapan yang rapi. Pada kebiasaanya, kayu nyirih batu digunakan bagi sesebuah kraf ukiran kayu kerana uratnya yang halus, merah dan berat. Proses menyiapkan sesebuah ukiran kayu mengambil masa beberapa hari berdasarkan saiz dan kerumitan sesebuah ukiran.

Kini, kraf ukiran kayu telah mendapat sentuhan baharu melalui rekaan produk pelancongan dan pelbagai guna seperti penanda buku, magnet peti ais dan rantai kunci dengan saiz yang lebih kecil di samping mengekalkan motif kesenian itu sendiri.

Selain itu, anyaman mengkuang juga merupakan kraf warisan yang dihasilkan oleh orang Asli Mahmeri. Dahulunya, kraf tangan berasaskan anyaman mengkuang ini digunakan sebagai perhiasan untuk pengantin, tangkai pemegang serta digunakan untuk perayaan menuai padi bagi orang zaman dahulu. Uniknya, produk anyaman mengkuang yang dahulunya berbentuk perhiasan diri seperti hiasan kepala dan rantai kini telah diubahsuai menjadi produk baharu, antaranya menerusi penghasilan produk anting-anting, penanda buku, rantai kunci dengan rekaan motif serta penggunaan warna yang menarik. Teknik pewarnaan moden juga telah digunakan menggantikan teknik terdahulu yang menggunakan kunyit bagi menghasilkan warna asli. Produk ini terhasil hasil daripada imaginasi kreatif masyarakat Mahmeri.

Antara hasil tangan orang Asli Mah Meri.
Sumber: visitselangor.com

Terdapat beberapa pantang larang dalam menghasilkan sesuatu anyaman. Menurut Puan Maznah, usahawan kraf orang Asli Mahmeri, daun mengkuang tidak boleh dipotong semasa bulan mengambang serta hendaklah memastikan diri bersih terlebih dahulu, suci daripada sebarang kekotoran sebelum memulakan proses anyaman. Selain itu, anyaman hendaklah dilakukan pada waktu pagi dan malam sahaja kerana jika dilakukan pada waktu tengah hari, hasil anyaman tersebut kebiasaannya akan putus-putus dan tidak cantik.

Aktiviti menganyam ini juga berkait rapat dengan perasaan dan emosi seseorang. Bagi menghasilkan anyaman yang cantik, seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan hati yang tenang dan gembira. Sesebuah hasil kraf anyaman perlu melalui proses anyaman seperti melayur, menjemur kemudian merebus sebelum terhasilnya sesebuah kraf yang cantik.

Hal ini jelas membuktikan bahawa tidak mudah untuk menghasilkan sesebuah kraf yang penuh identiti dan keunikan ini, malah memerlukan pengalaman dan kemahiran khusus dalam berkarya serta banyak cabaran yang perlu diatasi bagi penghasilan sesebuah karya kreatif.

Pada akhirnya, revolusi telah mengubah kehidupan masyarakat orang Asli Mahmeri secara total dan holistik yang secara langsung telah mengubah cara hidup dan ideologi pemikiran mereka serta memberikan impak yang besar terhadap sosioekonomi komuniti kraf orang Asli Mahmeri.

Karya kraf warisan orang Asli Mahmeri yang dahulunya tidak komersial kini telah mula dijual secara dalam talian, iaitu di MyCraftShoppe dan E-Kraf Bazar serta berjaya dikomersialkan sehingga peringkat antarabangsa seperti di Thailand, Paris, London dan lain-lain.

Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan orang Asli Mahmeri perlu diteruskan bagi menghasilkan banyak lagi produk kesenian serta melahirkan pelapis generasi baharu untuk mengekalkan warisan budaya masyarakat orang Asli Mahmeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.