Oleh Nor Aini Hassan
13 Disember 2021, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di sebalik nama Taiping yang dibanggakan sebagai “Bandar Warisan” yang berdiri megah di utara Darul Ridzuan, pasti banyak antara kita tidak mengetahui titik tolak bermulanya kewujudan sebuah bandar yang menjadi pusat pentadbiran Daerah Larut Matang selama ini. Taiping dalam bahasa Cina bermaksud aman damai atau kedamaian abadi, iaitu nama bersempena tamatnya Perang Larut.

Taiping yang sangat terkenal dengan sejarah perusahaan perlombongan bijih timah dari perut buminya sekali gus memberikan impak kepada sejarah pembinaan jalan kereta api yang pertama di Tanah Melayu, iaitu dari Taiping ke Port Weld yang kini dikenali sebagai Kuala Sepetang − satu catatan sejarah penting yang merubah sosiobudaya dan sosiopolitik di Perak.

Stesen kereta api Port Weld.

Perusahaan bijih timah di Larut bermula apabila Che Long Jaafar Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif secara tidak sengaja telah menjumpai satu lokasi yang kaya dengan bijih timah di Kelian Pauh (kini dikenali sebagai Taiping).

Ketika Che Long Jaafar sedang mandi, beliau terlihat air sungai berwarna hitam kerana mengandungi bijih timah dan lokasi penemuan tersebut telah menjadi tapak bangunan Penjara Taping kini.

Pada tahun 1848, Che Long Jaafar telah membawa tiga orang pekerja Cina dari Pulau Pinang untuk bekerja sebagai pelombong bijih timah di Larut. Pada masa tersebut, Che Long Jaafar mempunyai seekor gajah peliharaan yang digelar Si Larut. Si Larut digunakan sebagai alat pengangkutan untuk mengangkut bijih timah yang dilombong.

Pada suatu ketika, Si Larut telah terlepas ke hutan dan apabila berjaya ditangkap semula, Che Long Jaafar mendapati kaki gajah berkenaan telah disaluti dengan lumpur yang mengandungi bijih timah. Lokasi tersebut adalah di Kelian Baru dan kini dikenali sebagai Kamunting. Dengan jumpaan sebuah lagi lokasi yang kaya dengan bijih timah tersebut telah menjadikan Che Long Jaafar seorang jutawan.

Che Long Jaafar telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah Larut dan seterusnya meletakkan asas pentadbiran yang mantap kepada anaknya, Menteri Ngah Ibrahim. Setelah Che Long Jaafar meninggal dunia pada tahun 1857, Menteri Ngah Ibrahim telah memindahkan pusat pentadbiran Larut dari kota yang diasaskan oleh ayahandanya di Bukit Gantang ke kotanya sendiri yang terletak di Matang.

Menteri Ngah Ibrahim telah menjadikan kota beliau di Matang tersebut sebagai rumah kediaman, pusat pentadbiran Larut, kubu pertahanan, gudang menyimpan bijih timah dan juga sebuah pusat perdagangan. Pendapat bulanannya dianggarkan antara $5000 hingga $6000 malah ada yang mengatakan jumlah pendapatnya sebanyak antara 186 ribu hingga $200 ribu. Menteri Ngah Ibrahim menerima hasil kutipan cukai bijih timah sebanyak $19.00 daripada setiap nilai satu bahara.

Menteri Ngah Ibrahim dikenali oleh pegawai dan orang Eropah sebagai Raja Larut atau Menteri Larut. Menteri Ngah Ibrahim telah membina jalan raya menghubungkan Kuala Larut ke kawasan perlombongan dan cabangnya menghubungkan kota ke Bukit Gantang dengan ukuran panjang kira-kira 11.3 kilometer (km).

Pada masa sama, Menteri Ngah Ibrahim mempunyai pasukan keselamatan sendiri yang diketuai oleh Kapten T. C. S. Speedy. Winstedt dan Wilkinson pernah menggambarkan Menteri Ngah Ibrahim seperti:

Seorang yang berwibawa; membina jalan, menubuhkan pasukan polis dan mentadbir negeri ala British.

Pada ketika itu, permintaan bijih timah sangat tinggi berikutan berlaku revolusi perindustrian di Benua Eropah. Bijih timah yang dieksport menerusi pelabuhan Pulau Pinang merupakan bijih timah yang terbaik dikenali sebagai “Straits Tins”. Perkembangan perindustrian papan timah dan perusahaan makanan dalam tin banyak bergantung pada bijih timah di tanah Melayu yang dieksport ke Britain dari pelabuhan Singapura.

Namun demikian, berlaku kekacauan yang tercetus akibat persengketaan oleh pelombong-pelombong Cina, perebutan takhta dan persaingan kuasa antara pembesar negeri telah memberi peluang kepada pihak British untuk campurtangan di Larut melalui Perjanjian Pangkor yang termeterai pada 20 Januari 1874 antara Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Raja Muda Abdullah di Selat Dinding.

Perjanjian yang menjadi titik tolak kepada campur tangan rasmi Inggeris di Perak itu turut memberikan kesan kepada kedudukan Che Ngah Ibrahim atau Menteri Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut.

Sehubungan dengan itu juga, James Wheeler Woodford Birch atau J.W.W. Birch telah dilantik sebagai Residen pertama di Perak, manakala Kapten T.C.S. Speedy dilantik sebagai Penolong Residen dan segala pentadbiran di Larut telah diserahkan sepenuhnya kepada beliau. Kapten T. C. S. Speedy telah merangka semula corak pentadbiran dengan teliti ke arah permodenan Larut dengan memperkenalkan sistem birokasi ala Barat.

Kapten T. C. S. Speedy membina jalan baharu dan membaiki semula jalan sedia ada seperti jalan dari Teluk Kertang ke Kelian Pauh dan ke Kota Bukit Gantang kerana jalan tersebut digunakan oleh gajah, kerbau, lembu serta kuda untuk membawa keluar bijih timah ke Pelabuhan Teluk Kertang dan keadaan jalan tersebut amat teruk serta berlumpur terutama ketika selepas hujan  turun. Perkembangan pesat perusahaan bijih timah di Matang menyebabkan meningkatnya kapasiti penggunaan jalan raya.

Menurut laporan Kapten T. C. S. Speedy, penggunaan kereta lembu di jalan dari Ujong Tembok ke Kelian Pauh dicatatkan sebanyak 2600 buah bagi setiap bulan antara Mei hingga Disember 1874. Kesesakan jalan raya telah membawa kepada cadangan untuk membina landasan keretapi dari Taiping ke kota pada tahun 1879.

Pada tahun 1879, cadangan untuk membina jalan kereta api ini telah disuarakan untuk menghubungkan Taiping ke Kota sahaja, namun pada 20 Februari 1880, pihak berkuasa Kerajaan British meluluskan membina jalan keretapi yang lebih jauh, iaitu dari Taiping ke pelabuhan Teluk Kertang (Wong Lin Kin 1914).

Perbelanjaan bagi pembinaan landasan keretapi tersebut diperolehi daripada kutipan cukai kepada pengusaha lombong bijih timah. Cukai dikenakan sebanyak $2.00 bagi setiap $10.00 atau satu bahara bijih timah mulai 1 Mac 1880. Kutipan ini akan berubah mengikut nilai harga semasa.

Kesan struktur landasan kereta api.

Sejarah tercatat pada tahun 1882 apabila kerja pembinaan landasan keretapi telah dimulakan, iaitu sejauh 13 km dari Taiping ke Port Weld dan secara rasminya sistem pengangkutan ini telah bermula di bumi Tanah Melayu pada 1 Jun 1885.

Jika dilihat daripada sejarah kereta api Tanah Melayu, kereta api pertama ialah kereta api kayu Johor. Landasan kereta api yang diperbuat daripada kayu tersebut hanya digunakan untuk kereta api ringan (light railway) yang menghubungkan Johor Bahru ke Gunung Pulai.

Kerja pembinaannya bermula pada 21 Julai 1869 hingga tahun 1879, namun masih belum siap penuhnya dan pada akhirnya terbengkalai. Inisiatif pembinaan kereta api tersebut diambil oleh Maharaja Abu Bakar. Menteri Ngah Ibrahim pernah datang ke Johor mengadap Maharaja Abu Bakar bagi mempelajari selok-belok pentadbiran moden untuk dilaksanakan di Larut.

Berdasarkan susur galur ini, dapat disimpulkan dengan jelas bahawa  sejarah pembinaan jalan kereta api di Malaysia khasnya dari Taiping ke Port Weld mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan Che Long Jaafar, seorang pemimpin Melayu di Larut.

Cetusan idea Inggeris untuk membina rangkaian pengangkutan yang lebih moden bagi menggantikan jalan raya sedia ada merupakan satu kesinambungan daripada perusahaan bijih timah yang diterajui oleh Menteri Ngah Ibrahim daripada ayahnya, Che Long Jaafar Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif, iaitu orang yang pertama menjumpai bijih timah di Larut.

Penglibatan Long Jaafar dan Menteri Ngah Ibrahim dalam perusahaan bijih timah di Larut mempunyai signifikan besar bukan sahaja kepada sejarah perlombongan bijih timah di Perak, bahkan memberikan cetusan gelombang ke arah pembinaan jalan raya yang lebih baik serta bermulanya sejarah pembinaan jalan keretapi. Hingga hari ini, keretapi telah menjadi sebahagian kaedah pengangkutan yang sangat penting di Malaysia. Sejarah pengangkutan di Perak terus berkembang dengan terbinanya Lapangan Terbang Tekah di Taiping. Lapangan Terbang Tekah dibina pada tahun 1926 oleh pihak British dan merupakan lapangan terbang yang pertama dibina di Tanah Melayu.

Lapangan Terbang Tekah, Taiping (17 Mac 1986).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.