Oleh Aisyah A.
18 Disember 2021, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keputusan pencalonan songket sebagai Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan atau Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah diumumkan pada 15 Disember 2021 dalam 16th Session of the Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang telah dijalankan secara dalam talian dari Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis dari 13 hingga 18 Disember 2021.

Kepentingan pengiktirafan ini dapat dilihat dalam usaha untuk melindungi kepentingan warisan kebudayaan tidak ketara di Malaysia di samping mengukuhkan hubungan serta jaringan kerjasama dengan UNESCO dan Negara Anggota Konvensyen 2003 yang lain dalam hal-hal berkaitan dengan warisan kebudayaan tidak ketara di peringkat global.

Melalui pengiktirafan UNESCO yang merupakan pengiktirafan tertinggi dunia ini juga, songket dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di negara ini dapat ditonjolkan. Hal ini juga dapat meningkatkan lagi kesedaran untuk melindungi kelestarian seni serta warisan turun-temurun pelbagai etnik dan kaum di Malaysia, termasuk pengamal seni dan warisan tersebut.

Songket merupakan lembaran kain yang ditenun dengan benang emas, perak dan pelbagai warna lain dan digelar sebagai “Ratu Kain” dalam tenunan Melayu. Perkataan “songket” berasal daripada teknik yang digunakan untuk menenun songket, iaitu “sungkit” atau “menyungkit”.

Proses tenunan songket.

Penggunaan benang emas menunjukkan nilai kain yang tinggi dan pemakainya dilihat mempunyai darjah kebesaran, kekayaan dan kekuasaan. Tidak hairanlah jika kain songket yang dianggap sebagai tekstil Melayu klasik yang mewah hanya digunakan oleh kerabat Diraja dan pembesar negara pada suatu zaman dahulu. Kini, songket telah dipakai oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya dalam majlis adat istiadat, perkahwinan dan sambutan perayaan.

Pada asalnya, songket hanya dijadikan sebagai kain sarung, samping atau kerudung. Namun begitu, fungsinya kini telah dikomersialkan dan digunakan sebagai hiasan dalaman seperti langsir, alas meja, hiasan dinding. Malah, ada juga yang menggunakannya sebagai perhiasan diri seperti beg tangan dan kasut. Kecantikan dan ketinggian mutu songket terletak pada kesesuaian corak dan jenis kain yang digunakan. Songket yang merupakan seni budaya yang tersimpan pelbagai makna tersendiri boleh didapati di rantau Melayu Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Perusahaan kain songket di Malaysia adalah boleh didapati di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Sarawak.

Kesimpulannya, pengiktirafan UNESCO kepada Songket dapat mengangkat nama Malaysia di mata dunia sebagai satu daripada negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan tidak ketara dan boleh menjadi satu lagi tarikan pelancong yang mampu membuka peluang ekonomi kepada negara melalui industri berkaitan.

Bukan itu sahaja, hal yang demikian juga merupakan satu bentuk pengiktirafan bagi para pengamalnya dalam memastikan warisan seni budaya ini kekal terpelihara. Pengiktirafan ini dapat memberikan galakan kepada generasi muda untuk berkecimpung dalam seni tenunan songket, sejajar dengan permintaan dan nilai pasaran yang tinggi bagi songket. Hal ini penting bagi memastikan Songket dapat diwariskan dan diperturunkan kepada generasi akan datang.

Komuniti pengamal atau pengusaha songket juga akan terus didorong untuk membawa inovasi baharu terhadap reka bentuk dan motif tenunan songket dalam mempamerkan pemikiran, pandangan dunia identiti dan peradaban budaya bangsanya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.