20 Disember 2021, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah enam kali ditangguhkan pementasan akibat pandemik COVID-19, Teater Muzikal Sudirmania 2020 menemui khalayak dengan gerbang dan persembahan gahnya pada 16 hingga 19 Disember 2021 yang lalu.

Malam hujung minggu di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, Matic Jalan Ampang dirasakan seperti malam tahun 80-an, seakan berjalan di hari-hari hebahan konsert gergasi Sudirman di Jalan Chow Kit pada tahun 1986.

Anjuran utama oleh Parallact 08, pementasan ini juga hasil kerjasama besar bersama MaTIC, CENDANA, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Revolution Stage, sebuah rumah pementasan teater kelolaan Khairunazwan Rodzy.

Peranan Khairunazwan Rodzy sebagai pengarah dan penulis, meronakan takah luar biasa dalam persembahan para pelakon dan penari, penggiat sinografi, pemain muzik, dan jiwa pementasan itu sendiri.

Beliau juga kini sudah berdiri di platorm pengarah buat kali ketiga bagi pementasan Teater Muzikal Sudirmania. Skrip asli ini juga adalah tulisan dan garapan Khairunnazwan sendiri yang memberi tempat dan ruang interpretasi dalam kehidupan beberapa manusia di malam konsert Sudirman di Jalan Chow Kit menggunakan lagu-lagu Sudirman yang menggambarkan jiwa kepenyanyian beliau sendiri.

Drama rencam emosi ini menampilkan konflik dan drama manusia berlatarkan hari-hari konsert Sudirman pada tahun 1986 yang dianjurkan di Jalan Chow Kit. Percintaan, perbalahan, hubungan kekeluargaan dan persahabatan, pengkhianatan dan kesetiaan digarap mesra melalui babak dan lagu-lagu seniman Sudirman, dengan sentuhan dramatis Khairunazwan sebagai penulis.

Barisan pelakon Teater Muzikal Sudirmania.

Depiktasi ini juga menunjukkan bagaimana realiti kehidupan beliau, Sudirman sebagai ahli seni, serta apa yang dilalui oleh peminat-peminat dan masyarakat yang hidup sezaman dan semasa dengan beliau. Secara tak langsung, Khairunazwan memberi gambaran suara dalaman seniman dan penyanyi agung itu melalui drama dan konflik watak Ramlan, Yusuf dan lain-lain.

Muzikal ini menemui penonton dengan persembahan dan bunyi gah melalui hasil kerja Pengarah Muziknya, Eli Nyson diikuti ahli-ahli pemain muzik yang penulis teruja menggambarkan, berjaya menangkap jiwa malam meraikan kesenian muzik Sudirman. Berdasarkan reaksi dan maklumbalas penonton, titik cemerlang pementasan malam itu bermula dengan bunyi dan muzik yang dihasilkan pemuzik-pemuzik berkenaan.

Kerencaman seni koreografi kendalian koreografer Akid Jabran juga dilaksanakan dengan cemerlang oleh para dramawan. Selain itu, yang mencuri tumpuan juga adalah nilai produksi yang bermain peran memberi nyawa buat pentas dan cerita. Selain kekemasan dan kelengkapan prop, begitu juga takah kualiti permainan lampu yang menggarap cerita dan naratif pementasan.

Cereka berkenaan manusia dan muzik Sudirman itu dimarakkan lagi dengan persembahan bersemangat oleh para pelakon, yang diketuai Akmal Sulaiman sebagai Ramlan, watak utama muzikal itu dan Sara Sulaiman sebagai Zeti. Manakala yang mencuri tumpuan penonton dengan persembahan menakjubkan ditampilkan oleh Kirin Muhamad dan Dzeelfa Zainal sebagai Yusuf dan Laila. Babak-babak kunci seperti babak pembuka dan penutup dijulang emosi oleh getaran gema nyanyian Kirin Muhamad melagukan muzik-muzik Sudirman.

Persembahan luar jangkaan dan menghiburkan (juga merembeskan air mata) oleh Azril Suhaili, Sarah Aisyah, Erry James, Yana Mat Dan, Andika Azhar, Hazirah Norizan dan Ron Isa juga bakal menjadi sebutan penonton dalam persembahan nostalgia pada malam itu.

Lebih daripada 15 buah lagu Sudirman disusun dan dipersembahkan oleh para dramawan, dibuka oleh Jauh di Sudut Hati, disusuli Mat Disco, Aku Penghiburmu, Hilang Berganti, Tanah Pusaka, Basikal Tua, Merisik Khabar, Pulang Dari Kilang, Aku Penganggur, Milik Siapakah Gadis Ini, Punch Card, Mama, Di Dalam Sepi itu, Pelangi Petang, Chow Kit Road, Nilai Cintamu, Bimbangkan Terluka Lagi, Hujan dan Air Mata dan dijulang penutup tirai dengan adikarya beliau yang ikonik, Salam Terakhir.

Digalas dengan julukan ‘pementasan Teater Muzikal Sudirmania 2020’, ia sepatutnya dipentaskan pada pertengahan tahun 2020. Namun menemui nasib yang sama seperti kegiatan industri lain di negara, pementasan Teater Muzikal Sudirmania kali ketiga ini terpaksa ditangguhkan lebih setahun.

Walaupun berlaku perubahan pelakon dan tarikh akibat situasi yang tidak dijangka, setelah beberapa kali penangguhan dan penjadualan semula, dengan tarikh baharu 16 hingga 19 Disember 2021, penggiat seni dan teater, Parallact 08 dan Revolution Stage berjaya menyusun dan mengelola sebuah pementasan yang luar jangkaan, penuh nostalgia dan menghidupkan malam meraikan jiwa Sudirman buat penonton.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!