21 Disember 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Populasi warga emas di Malaysia kini terus meningkat. Menurut laporan perangkaan suku pertama tahun 2021, komposisi penduduk warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama. Kadar jangka hayat bagi lelaki ialah 73 tahun, manakala bagi wanita pula ialah 77 tahun.

Peningkatan jangka hayat ini menjadikan Malaysia sebagai negara menuju tua pada tahun 2020. Dijangka juga populasi warga emas akan terus meningkat dua kali ganda menjadi 14 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi di Malaysia menjelang tahun 2044 dan menjadi “negara berusia”. Lebih mengejutkan lagi, dijangka pada tahun 2056, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara yang “berumur”.

Penambahan populasi warga emas seiring dengan masalah yang sering kali kita dengar. Perubahan fizikal tubuh seperti lemah anggota kaki dan tangan, tidak seimbang dan mudah letih juga tidak dinafikan. Malah, semakin meningkat usia semakin tinggi risiko mengalami gangguan emosi seperti kemurungan dan kecelaruan. Warga emas yang tinggal sendiri tanpa penglibatan anggota keluarga atau jiran tetangga mengundang kepada masalah kemurungan.

Dalam kalangan masyarakat kita, rata-rata masih beranggapan perubahan yang berlaku dalam kalangan warga emas, khususnya gangguan emosi, disebabkan oleh proses penuaan. Tanggapan ini ada benar dan ada salahnya. Seseorang individu mungkin mengalami kemurungan yang melampau dan berpanjangan sekiranya tidak dirawat. Perubahan tingkah laku, emosi keterlaluan, mudah marah, mudah menangis dan reaksi yang tidak rasional menjadi salah satu tanda warga emas itu mengalami kemurungan.

Tambahan pula, pandemik COVID-19 yang melanda negara turut memberikan kesan kepada warga emas. Kawalan pergerakan yang terhad, isolasi di dalam rumah, tiada penglibatan aktiviti kemasyarakatan dan sosial serta pendedahan kepada internet di dalam telefon pintar menjadi punca kepada berlakunya tahap aktiviti yang rendah dan kurang aktif.

Kajian juga melaporkan bahawa ketika pandemik COVID-19 melanda, kebanyakan warga emas mudah berasa cemas, takut atau tertekan. Kawalan jarak fizikal dan sekatan perjalanan juga menyebabkan mereka merasa terasing atau kesepian. Keadaan ini menyebabkan warga emas lebih berisiko mendapat obesiti, tekanan dan penyakit kronik.

Kemerosotan tahap fizikal seseorang dapat dilihat oleh mata kasar. Walau bagaimanapun penurunan tahap emosi dan mental sukar dilihat. Pemeriksaan untuk warga emas yang memerlukan rawatan tetap bagi kes melibatkan gangguan emosi dan mental menjadi cabaran bagi golongan profesional kesihatan. Hal ini disebabkan oleh masalah ini tidak kelihatan dan sering kali disalah tafsir sebagai proses penuaan.

Stigma negatif terhadap gangguan emosi dan mental dalam kalangan warga tua juga mengakibatkan keengganan warga emas untuk mendapatkan pertolongan. Justeru itu, ahli keluarga terdekat disarankan untuk sentiasa mengenal pasti perubahan tingkah laku atau emosi bagi kedua ibu bapa mereka. Pemeriksaan awal dan rawatan dapat membantu warga emas ini agar kualiti kehidupan mereka lebih terjamin.

Gangguan mental dan neurologi yang kerap kali berlaku kepada golongan warga emas ini dinamakan sebagai demensia. Kemurungan mempengaruhi sekitar lima hingga tujuh peratus populasi warga emas di dunia. Kajian Kesihatan Nasional 2015 di Malaysia menunjukkan bahawa statistik gangguan kesihatan mental pada pesakit berusia 60 tahun ke atas adalah sebanyak 24 peratus. Jumlah ini dianggap sesuatu yang amat menyedihkan dan tindakan perlu diambil.

Masalah kemurungan akan berterusan dan berulang-ulang. Hal ini menyebabkan gejala teruk yang mempengaruhi perasaan, pemikiran dan pengendalian aktiviti harian seperti tidur, makan dan bekerja. Terdapat kajian berkaitan kepekatan folat yang lebih rendah dalam darah dan sistem saraf menyebabkan kemurungan, gangguan mental, dan demensia. Golongan penyelidik juga merumuskan bahawa adanya kaitan antara kemurungan dengan penyakit alzheimer dalam kalangan warga emas.

Kemurungan juga memberikan kesan berbahaya dan menyebabkan perubahan terhadap tabiat makan seseorang. Hal ini mengakibatkan kegemukan, atau menyebabkan kehilangan selera makan yang besar sehingga tahap tenaga berkurang. Keadaan ini dikenali sebagai anoreksia geriatric jika berlaku kemurungan yang teruk dan berpanjangan.

Warga emas yang mengalami kemurungan juga mengalami kadar insomnia dan kehilangan ingatan yang lebih tinggi. Mereka juga mempunyai tempoh reaksi yang lebih lama daripada biasa. Tempoh ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada bahaya yang mungkin mengganggu aktiviti harian, seperti memasak, memandu atau pekerjaan lain, yang memerlukan tumpuan dan fokus.

Menurut satu kajian di Malaysia yang diterbitkan di British Journal of Community Nursing, sebanyak 59.1 peratus warga emas mengalami kemurungan dan faktor terbesar yang dipengaruhi ialah status perceraian, tahap pendidikan yang rendah dan pendapatan isi keluarga yang rendah.

Tambahan pula hasil dari kajian Dr. Azliyana Azizan, Pensyarah Kanan Fisioterapi bidang Geriatrik, mengatakan bahawa warga emas perlu meningkatkan kadar aktiviti fizikal dan senaman bagi mengurangkan gangguan kemurungan ini. Senaman dan aktiviti berjalan selama  20 hingga 40 minit selama tiga kali seminggu dalam tempoh enam minggu dapat mengurangkan tanda kemurungan dalam kalangan warga emas.

Pandemik COVID-19 kini menjadi asbab utama bagi golongan ini kekal aktif, meskipun ketika di rumah. Segala bentuk aktiviti seperti berjalan di keliling rumah, naik dan turun tangga, bangun dan duduk di kerusi dapat dilakukan. Menurutnya lagi, aktiviti berjalan ini berkaitan dengan hipotesis endorfin yang dikaitkan senaman mempunyai kesan positif terhadap kemurungan kerana peningkatan rembesan β-endorfin. Endorfin ini dapat meningkatkan emosi yang positif di dalam badan.

Warga emas yang mengalami kemurungan dan sepi disarankan untuk memulakan senaman dengan muzik bersama-sama pasangan atau melakukan aktiviti fizikal seperti berkebun. Warga emas yang berkebun secara konsisten dapat mengurangkan kemurungan. Hal ini disebabkan terdapat aura tanaman, seperti bau wangi, warna-warni dan hasil tanaman dapat menimbulkan rasa gembira dan kepuasan.

Hidup dengan kemurungan amat sukar, tetapi rawatan segera dapat membantu meningkatkan kualiti hidup. Rawatan yang kerap kali diberikan dalam bentuk ubat-ubatan ataupun menggabungkan rawatan perubatan dan terapi gaya hidup, termasuklah senaman.

Setiap ahli keluarga dan warga emas haruslah sentiasa aktif dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik. Senaman yang konsisten, kekuatan hubungan dengan ahli keluarga terdekat dan rakan serta kualiti tidur yang baik dapat membantu mengurangkan kemurungan golongan warga emas.

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi