Oleh Habsah Abby
24 Disember 2021, 22:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lahad Datu – Bagi menghargai penggiat industri seni yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengadakan Program MOTAC Bersama Komuniti@Lahad Datu, bertempat di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah.

Menurut MOTAC, “Majlis yang diadakan pada hari ini hanya melibatkan penerima di sekitar Lahad Datu sahaja selepas mengambil kira pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).”

Menurut Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, “Dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, MOTAC sentiasa komited dalam membantu serta memberikan sokongan kepada Badan Bukan Kerajaan (BBK), para penggiat serta pemain industri bagi merancakkan semula industri seni budaya negara.”

Dalam satu kenyataan pada hari ini, MOTAC menyatakan, “Program MOTAC Bersama Komunti@Lahad Datu ini bertujuan untuk membantu para penggiat seni budaya dan warisan melalui bantuan kewangan kepada BBK yang meliputi persatuan kebudayaan serta komunti kraf yang melaksanakan dan memartabatkan program-program dan aktiviti berteraskan seni, budaya dan warisan negara; dan sumbangan kepada penggiat industri seni dan kraf yang diharap dapat membantu mereka bangkit berkarya semula setelah sekian lama terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.”

Antara penerima bantuan pada petang ini terdiri daripada mereka yang aktif dalam bidang seni dan budaya seperti bidang muzik, penulisan, seni visual, sejarah, tarian, seni mempertahankan diri, kraftangan dan warisan kebudayaan.

Dalam majlis yang diadakan ini, sebanyak 10 orang penerima BBK terdiri daripada persatuan etnik seni dan budaya yang menerima peruntukan sebanyak RM3000 setiap satu. Turut menerima sumbangan ialah 13 orang komuniti kraf (mewakili 78 penerima) berjumlah RM500 seorang.

Jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy, “Saya berharap semua pihak akan terus berpadu tenaga dan bersama-sama memastikan program dan aktiviti seni budaya dapat terus disemarakkan. Semoga sinergi positif yang wujud pada ketika ini dalam kalangan kita dapat diperkukuhkan lagi.”

Saya juga berharap semua penggiat kebudayaan dapat menyesuaikan diri melaksanakan program atau aktiviti seni budaya dalam suasana norma baharu.

Pada majlis tersebut, yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap Adun Segama, YB Datuk Mohamaddin Ketapi, dan Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, serta pengurusan tertinggi MOTAC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.